Amerika Musuh Umat Islam
Oleh: Farid Wadjdi
Menentukan negara mana yang merupakan sahabat dan mana yang merupakan musuh adalah sangat penting dalam hubungan politik antarabangsa dan sangat menentukan dasar sesebuah negara. Memahami siapa lawan dan siapa kawan akan menentukan hala tuju dasar politik luar negeri; sekaligus memudahkan penetapan pendirian dalam aspek politik, diplomasi, ekonomi dan ketenteraan. Hal ini juga akan melindungi kepentingan strategik negara. Hal ini kerana, pada hakikatnya politik luar negeri suatu negara dan interaksi negara dalam hubungan politik antarabangsa pastinya bertujuan untuk menjaga kepentingan negara itu.
Oleh itu, sesebuah negara mesti benar-benar membezakan pihak mana yang selari dengan kepentingan negaranya dan mana yang justeru merugikannya. Hal ini akan mencegah infiltrasi dan dominasi asing yang jelas-jelas merugikan negara tersebut. Banyak negara yang lemah, tunduk, dan dieksploitasi oleh kepentingan negara-negara lain kerana tersalah menilai siapa kawan dan siapa lawan. Penjajah yang sepatutnya mesti dianggap musuh malah dianggap rakan kongsi atau sahabat rapat. Kesudahannya, negara tersebut akan dikawal dan terus dijajah dalam pelbagai bentuk, seperti ekonomi atau politik, meskipun tidak semestinya melalui penjajahan ketenteraan.
Kejelasan tentang siapa lawan dan siapa kawan akan menentukan prioriti ancaman; menghindarkan politik yang pragmatik, naif dan emosional, sekaligus sangat menentukan pakatan yang akan dibina dalam dinamika politik antarabangsa. Dengan demikian, kerjasama dengan negara rakan boleh memberikan keuntungan secara ekonomi dan politik. Bukan sebaliknya. Lebih mendasar lagi, kejelasan tentang siapa kawan dan siapa lawan akan menjaga identiti politik dan kebebasan dalam membuat keputusan sesebuah negara. Dengan itu, setiap keputusan tidak dikawal oleh negara lain.
Dalam pandangan Islam, untuk menentukan siapa kawan atau lawan dalam politik antarabangsa, diperlukan kesedaran politik (al-wa’yu as-siyâsî). Dalam kitab Mafâhîm Siyâsiyyah li Hizb ut-Tahrir, dinyatakan bahawa terdapat dua tonggak kesedaran politik. Pertama: Pandangan global (tidak terperangkap dalam tribalisme, termasuk belenggu nasionalisme, atau regionalisme). Kedua: Dari sudut pandang yang khusus (min zâwiyat[in] khâshshah), iaitu akidah Islam.
Dengan kesedaran politik ini, kita dapat menentukan dengan tepat kedudukan negara mana yang menjadi kawan dan mana yang menjadi lawan, khususnya terhadap negara besar seperti Amerika. Dengan pandangan global, sangat jelas bahawa Amerika ialah negara imperialis yang mempunyai visi mengendalikan dunia untuk kepentingan kapitalismenya. Politik luar negeri yang dibangunkan oleh negara tersebut berasaskan penjajahan dalam pelbagai bentuk. Sebagai penjajah, Amerika tidak layak dijadikan sebagai teman atau rakan kongsi. Hal ini diperkuat dengan pandangan akidah Islam yang menjadi asas dalam dasar syariah Islam.
Berdasarkan syariah Islam, kedudukan Amerika ialah negara muhârib[an] fi‘l[an]. Negara ini secara nyata memusuhi dan memerangi umat Islam serta negeri-negeri Islam. Fakta ini sangat jelas di depan mata. Amerika bertanggungjawab terhadap genosid yang berlaku di Palestin melalui sokongan “harga mati” negara itu terhadap entiti Zionis Yahudi. Amerika telah menumpahkan darah umat Islam di pelbagai kawasan negeri Islam. Jutaan menjadi mangsanya; seperti yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Yaman, Syria dan Iran. Amerika juga bertanggungjawab mendukung rejim-rejim represif di dunia Islam yang telah menumpahkan darah umat Islam, memenjarakan rakyatnya sendiri, dan memberikan laluan mudah kepada Amerika untuk mengeksploitasi kekayaan alam negeri-negeri Islam.
Berdasarkan hal ini, amat mendukacitakan sekiranya rejim pemerintahan Prabowo pada masa ini justeru memperkukuh hubungan dengan Amerika sebagai negara penjajah. Hal ini jelas akan merugikan umat Islam, baik dari sudut politik mahupun ekonomi secara global. Sekurang-kurangnya, perkara itu dapat dilihat melalui empat langkah terakhir yang telah diambil.
Pertama: Penyertaan Indonesia dalam Dewan Perdamaian (Board of Peace-BoP) yang dipimpin oleh Amerika Syarikat di bawah pimpinan Trump. Kedua: Pada bulan Februari Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (Agreement on Reciprocal Trade-ART) antara Amerika dan Indonesia telah ditandatangani. Ketiga: Seperti yang dilaporkan oleh akhbar India, The Sunday Guardian, di laman webnya pada (12/4/2026), tentang adanya dokumen rahsia Jabatan Pertahanan AS yang mendedahkan rancangan untuk mendapatkan akses penerbangan tanpa batas (blanket overflight access) bagi pesawat tentera AS melalui ruang udara Indonesia. Meskipun Kerajaan Indonesia menyatakan bahawa perkara ini masih belum muktamad, kerajaan itu mengakui bahawa proses tersebut wujud dan sedang berlangsung. Keempat: Penandatanganan perjanjian MDCP. Menteri Pertahanan Amerika dan Menteri Pertahanan Indonesia mengumumkan pembentukan Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (Major Defense Cooperation Partnership-MDCP).
Untuk itu, kita tegaskan bahawa adalah satu kesalahan besar apabila kerajaan Indonesia menjadikan Amerika sebagai rakan kongsi atau sahabat. Sebagai negara penjajah, Amerika pasti akan memanfaatkan setiap hubungan dengan negara lain demi kepentingan penjajahannya. Indonesia akan semakin berada dalam orbit strategi Amerika dalam pelbagai bidang: ekonomi, keselamatan dan ketenteraan. Ertinya, Indonesia dilihat semakin terintegrasi dalam strategi global AS. Hal ini berpotensi menyebabkan kebergantungan ketenteraan, menjadikan Indonesia sebagai objek tekanan politik, dan memudahkan Amerika untuk mengeksploitasi kekayaan alam negeri ini.
Padahal, sebagai sebuah negara besar dengan segala potensi keunggulannya, Indonesia bersama-sama negeri-negeri Islam yang lain mampu membina kekuatan politik global; memutuskan rantaian penjajahan dan penderitaan umat Islam di seluruh dunia, iaitu dengan menghentikan keangkuhan Amerika; memutuskan urat nadi ekonomi AS yang bergantung pada penjajahan ekonomi mereka di dunia Islam; sekaligus membina angkatan bersenjata yang disegani. Dengan itu, negara penjajah tersebut tidak akan berbuat sewenang-wenangnya terhadap umat Islam.
Kekuatan yang paling penting dalam hal ini ialah Islam. Islam mestilah menjadi asas (ideologi) dalam seluruh kehidupan melalui penerapan Islam dalam semua aspek kehidupan di bawah naungan Al-Khilâfah ar-Râsyidah. Dengan itu, negeri-negeri Islam, termasuk Indonesia, akan mampu mempengaruhi seluruh dunia dengan menyebarkan kebaikan di segenap penjuru dunia sebagai rahmatan lil ‘âlamîn.
AlLâhu Akbar!
Sumber: Al-Wa’ie
#musuhislam #AmerikaPenjajah #PolitikAntarabangsa