Tidak Ada “Kompromi” dalam Dakwah
Oleh: Sumariya
Ketika Rasulullah SAW menyebarkan Islam di Mekah sehingga tahapan berinteraksi dengan umat, Rasulullah mulai membongkar rencana jahat orang-orang kafir Quraisy. Ayat-ayat Al-Quran menjelaskan tentang bagaimana rencana mereka kepada Rasulullah SAW.
Salah satunya adalah tentang harapan orang Quraisy, seandainya Rasulullah SAW ingin berdamai dan melunak maka mereka pun akan melunak. Namun, Allah SWT sebaliknya menunjukkan kepada Rasulullah SAW bagaimana Quraisy merencanakan makar dan berupaya memujuk Rasulullah SAW. Keteguhan Rasulullah SAW di dalam mengungkap makar kafir Quraisy membuat telinga kafir Quraisy semakin panas.
Kemudian Rasulullah SAW mulai mengungkap makar yang merupakan sebahagian daripada dakwah pemikiran, bermula daripada membongkar perniagaan-perniagaan mereka yang curang, di samping ada usaha lain iaitu muhasabah lil hukam.
Akan tetapi kafir Quraisy tidak tahan dengan kritikan dan muhasabah daripada Rasulullah SAW, itu semua kerana mereka tidak memiliki keimanan atas agama baru yang membawa kebaikan bagi seluruh dunia. Oleh kerana itu, mereka melakukan perlawanan dan sampailah kemudian mereka berkumpul di rumah Abu Thalib di Darun Nadwah.
Bahkan di Darun Nadwah orang-orang Quraisy mengatur strategi dan rencana untuk menyerang balik Rasulullah SAW, di antaranya dengan sebutan saahirul bayan (orang yang ahli menyihir dan menghipnotis), sehingga orang yang mendengarkan penjelasannya menjadi seolah-olah tidak berdaya, seolah-olah seperti orang yang betul-betul tidak mampu menahan dirinya dan akhirnya setuju dan terpengaruh dengan penjelasan Islam. Ini yang disebutkan oleh Al-Quran, bahkan mereka menyebut Rasulullah SAW sebagai majnun (orang gila), semua itu ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
Orang-orang Quraisy kemudian cuba mendatangi bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Thalib, agar beliau bersedia memujuk Rasulullah SAW dengan bayaran apapun yang diminta. Maka pada saat itu, Rasulullah SAW diundang ke rumah Abu Thalib dan disampaikanlah apa yang menjadi tawaran orang kafir Quraisy.
Orang kafir Quraisy menawarkan kekuasaan, harta dan wanita dengan imbalan Rasulullah SAW hendaklah menghentikan dakwahnya. Namun, seluruh tawaran tersebut ditolak tegas oleh Rasulullah SAW, melalui kenyataan baginda:
“Kalau sekiranya mereka sanggup meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, maka sekali-kali aku tidak akan meninggalkan urusan ini.”
Kenyataan Rasulullah SAW ini menunjukkan, betapa dakwah yang dipikul oleh Nabi SAW dengan pemikiran yang begitu luar biasa, tidak ada kata kompromi, tidak ada kata rundingan, kerana Islam adalah kebenaran dan kebenaran itu mesti disampaikan apa adanya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sampaikanlah kebenaran itu walaupun kebenaran itu terasa pahit.”
Beginilah dakwah yang sepatutnya dicontohi oleh pendakwah hari ini. Mereka hendaklah menyampaikan pemikiran Islam yang membangkitkan umat, hingga umat dan pengemban dakwah sama-sama menginginkan kembalinya kehidupan Islam yang pernah dibangun oleh Rasulullah SAW. Kehidupan agung yang dapat dirasakan kerana penerapan syariat Islam secara kaffah. Sesuai dengan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (TMQ Al-Baqarah: 208)
Dan perlu difahami, bahawa Islam kaffah hanya dapat terealisasi di dalam bingkai negara, di mana negara itu tidak berkompromi sedikitpun dengan pemikiran-pemikiran asing, seperti salah satunya adalah kapitalisme sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Inilah dakwah yang akan membawa pada datangnya pertolongan Allah SWT.
Wallahu a’lam bishshawab.
#ThariqahDakwahNabi #TeladanDakwahNabi #DakwahNabi #MuhasabahDaie