Dakwah Wajib Menjadi Nadi Utama Ditengah-tengah Komuniti
Oleh: Aliya AA
Aktivis Muslimah HTM, Ummu Zahra menegaskan bahawa dakwah tidak boleh sekadar menjadi aktiviti sampingan, sebaliknya ia wajib menjadi nadi utama komuniti.
“Dakwah ni dia tidak boleh sekadar menjadi aktiviti sampingan. Sebaliknya ia wajib menjadi nadi utama dekat tengah-tengah komuniti. Setiap individu daripada kita orang Muslim itu wajib untuk menyampaikan apa ilmu yang baik yang dia dapat. Dia perlu sampaikan,” katanya dalam program atas talian Open Circle Sahabat Muslimah bertajuk Dakwah Terjun ke Masyarakat pada 30/8/2026 (Ahad).
Beliau kemudian menyenaraikan empat sebab pendakwah perlu terjun ke tengah masyarakat dalam menjalankan usaha dakwah.
Sebab pertama menurutnya, “Dakwah itu tidak boleh terasing daripada masyarakat. Kita nak menyampaikan. Jadi apa yang kita nak sampai tu bukan untuk diri kita sendiri. Jadi kita perlu sampaikan kepada masyarakat.”
Beliau berpandangan, dakwah yang berkesan perlu berhadapan dengan realiti kehidupan sebenar dan tidak hanya berlegar dalam kelompok atau halaqah yang terdiri daripada mereka yang sudah sedia menerima kebaikan.
“Apabila dakwah itu terasing, terpencil ataupun menjauhkan diri daripada orang awam ataupun masyarakat ni, maka mesej yang kita nak sampaikan tentang Islam ke, tentang kaedah Islam, tentang sistem Islam ke, tu tidak akan sampai kepada sasaran dia,” katanya.
Kedua, Ummu Zahra berkata masyarakat perlu merasakan kehadiran dan peranan Islam dalam kehidupan mereka.
“Sebab Islam ini bukan sekadar teori. Dan bukan sekadar hiasan di bibir dalam khutbah. Ia merupakan sebuah cara hidup, merupakan satu cara hidup yang kita katakan a way of life yang complete, yang praktikal melalui interaksi dakwah ni secara langsung dekat lapangan, iaitu bersama dengan masyarakat,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa interaksi tersebut membolehkan masyarakat melihat bagaimana penyelesaian Islam boleh diterapkan dalam isu ekonomi, kebajikan sosial dan keadilan.
“Jadi masyarakat perlu nampak bahawa Islam ni hadir sebagai solusi ataupun penyelesaian, bukan sekadar bebanan hukum-hakam,” tegasnya.
Ketiga, perubahan masyarakat tidak akan berlaku hanya melalui arahan di atas kertas atau dengan menunggu masyarakat berubah dengan sendirinya, sebaliknya memerlukan penglibatan secara langsung.
Beliau menjelaskan, “Untuk kita nak mengubah cara fikir sesebuah masyarakat tu kita perlu ada proses komunikasi dua hala. Kita perlu berdialog, kita perlu berbincang, kita perlu bersemuka untuk kita buka ataupun kita bina kesedaran intelek dan juga kesedaran politik umat tu secara berterusan.”
Keempat, guru sejarah tersebut berkata dakwah tidak memadai sekiranya hanya berada di pinggir masyarakat, sebaliknya perlu sampai dan menyentuh kehidupan sebenar mereka.
“Kita ni tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pasif. Dia kena macam saya cakap tadi, berinteraksi, berdialog, berbincang, baru benda tu sampai kepada sasaran yang kita nak dakwahkan,” ulangnya menegaskan.
Sambungnya lagi, proses mendekati masyarakat turut memerlukan pendakwah memahami pandangan, emosi, kesusahan dan ujian yang mereka hadapi melalui dialog serta perbincangan.
“Barulah orang masyarakat ataupun target kita tu akan ada sikap ataupun rasa percaya dan dekat dengan kita. Jadi kat sini kita tengok bila kita nak mengubah masyarakat tersebut, kita tak boleh jauh daripada mereka. Kita kena terjun, kita kena dekat dengan mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa usaha terjun ke masyarakat perlu disertai persediaan diri supaya pendakwah tidak hanyut bersama kerosakan yang ingin diubah, sebaliknya mendekati masyarakat sebagai sahabat yang membawa penyelesaian Islam.
“Kita nak jadi pengaruh, bukan terpengaruh. Jadi kita kena ready-kanlah diri kita. Kita tetap perlu berpegang kepada fikrah Islam. Prinsip kita, target kita dalam berdakwah ni, kita bergaul bukan untuk menyesuaikan diri, bukan untuk sama-sama tenggelam, tetapi kita berdakwah, kita berinteraksi dengan masyarakat untuk kita melemparkan pelampung penyelamat dan menarik mereka keluar daripada arus kerosakan tersebut,” tutupnya.
#dakwah #agentofchange #dakwahmasyarakat