Buli Bukan Hanya Masalah Disiplin
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia, Dr Norini berpendapat bahawa buli bukan hanya masalah disiplin tetapi melibatkan isu kesihatan mental dan keselamatan nyawa.
“Buli bukan hanya masalah disiplin, tetapi melibatkan isu kesihatan mental dan isu keselamatan diri serta nyawa,” katanya dalam Bicara Muslimah Online bertajuk Buli: Ancaman Terhadap Kesihatan Mental Anak-anak dalam saluran YouTube Fikratul Ummah, Sabtu (5/9/2025).
Beliau berkata demikian memandangkan statistik buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah tinggi sampai menyebabkan salah laku jenayah.
“Gejala yang disebut tadi sampai melibatkan tikaman terhadap kawan sendiri, mesti disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak diselesaikan sebelumnya sehingga menyebabkan pelaku bertindak di luar kawalan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa isu buli tidak boleh dilihat sebagai isu disiplin sahaja kerana kesannya bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga kepada pemangsa atau pelaku.
“Pemangsa itu sendiri, kalau dibiarkan, mungkin akan mempengaruhi orang-orang lain dan kawan-kawannya. Bila dia besar nanti, kalau tidak dikawal, ia boleh membawa kepada jenayah yang lebih besar dan tindakan yang lebih serius” jelasnya.
Bagi yang dibuli pula, beliau melihat bahawa mereka akan hidup dalam keadaan ketakutan, tidak mempunyai keyakinan diri dan sentiasa rasa terancam.
“Apabila kesihatan mental terganggu, ia boleh menyebabkan dia tidak datang ke sekolah kerana takut untuk pergi ke sekolah. Pembelajarannya juga terjejas dan hubungan dengan orang lain mungkin terganggu kerana dia berasa rendah diri. Ini disebabkan dia sering dilakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, dikasari, dihina,” jelasnya.
Tambahnya, “Kalau kita lihat mengapa isu ini membimbangkan, ia mengancam bukan sahaja keselamatan mangsa dan pelaku, tetapi juga merosakkan mental mangsa buli. Mangsa yang dibuli juga mungkin akan melakukan keganasan atau tindakan buli kepada orang lain.”
Pada pandangan beliau, masalah buli adalah satu masalah yang serius dan tidak boleh dipandang sebelah mata termasuk oleh ibu bapa.
“Sebenarnya kita mahukan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk menimba ilmu dan membina akhlak anak-anak. Tetapi kalau keadaan seperti ini berlaku, ibu bapa sendiri akan bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” tuturnya.
Beliau menunjukkan bahawa masalah buli adalah seperti sebuah iceberg.
“Apa yang nampak dan terzahir di mata kasar ialah tindakan mengejek, kesalahan disiplin di sekolah dan gurauan kasar antara rakan-rakan. Tetapi di bawahnya terdapat perkara-perkara yang terpendam dan tidak diselesaikan, iaitu punca yang mendorong berlakunya perbuatan buli,” tegasnya.
Beliau menerangkan, antara sebab yang mendorong kepada perbuatan buli adalah masalah mental iaitu tekanan kronik yang berulang-ulang samada tekanan daripada keluarga atau pun pembelajaran.
“Pada hari ini, pelajar juga berdepan dengan tekanan pembelajaran. Silibus yang kadang-kadang membebankan mereka menyebabkan mereka perlu mencapai gred yang tinggi dan prestasi minimum yang ditetapkan. Ini menjadi antara punca tekanan dalaman yang dialami oleh pelajar. Apabila tekanan tersebut disimpan dan dipendam tanpa diatasi, akhirnya ia boleh meletus,” simpulnya.
Sumber: https://www.youtube.com/live/UPf_PTmgpZA?si=qOn-5RF138MhcT_z