[Perjanjian Antarabangsa] Definisi Perjanjian, Dalil-Dalil Pensyariatannya dan Pelaksanaannya (Bahagian 4/5)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Definisi Perjanjian” Bahagian 3/5.)
Dalil-Dalil Pensyariatan Perjanjian
Para fuqaha telah bersepakat tentang keharusan mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan orang-orang kafir untuk suatu tempoh tertentu. Namun demikian, Ibn Hazm berpendapat sebaliknya. Beliau melarang semua bentuk perjanjian dengan orang-orang kafir kecuali perjanjian jizyah dengan Ahli Kitab dan Majusi.
Demikian juga, menurut beliau, jaminan keamanan diberikan kepada utusan sehingga dia dapat menyampaikan risalahnya dan mendengar kalam Allah. Selain daripada bentuk-bentuk perjanjian tersebut, semuanya adalah batil, telah dimansukhkan (dihapuskan hukumnya), dan tidak boleh diikuti.
Jumhur ulama beristidlal dengan dalil-dalil berikut. Istidlal ialah usaha mencari sandaran nas daripada ayat-ayat al-Quran, hadis atau pandangan ulama.
- Firman Allah SWT: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.” [TMQ al-Anfal: 61]
Abu Ja‘far al-Tabari berkata: “Apabila mereka cenderung untuk berdamai denganmu dan meninggalkan peperangan, sama ada dengan memeluk agama Islam, membayar jizyah, atau mengadakan perjanjian serta perkara-perkara yang seumpamanya yang menjadi sebab kepada perdamaian dan perjanjian damai, maka hendaklah kamu cenderung kepada apa yang mereka cenderung kepadanya.”
- Firman Allah SWT: “(Namun, jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan, kecuali terhadap suatu kaum yang antara kamu dan mereka terdapat perjanjian.” [TMQ al-Anfal: 72]
Al-Qurtubi berkata: “Apabila orang-orang beriman yang belum berhijrah meminta pertolongan daripada kamu untuk menentang orang-orang kafir yang telah mengikat perjanjian dengan kamu, maka janganlah kamu menolong mereka sehingga menyebabkan kamu melanggar perjanjian dan al-mithaq yang telah dimeterai, sehinggalah tempohnya berakhir. Al-mithaq ialah al-mu‘ahadah (perjanjian).”
- Firman Allah SWT: “Kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) di dekat Masjid al-Haram. Maka selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus (pula) terhadap mereka.” [TMQ al-Tawbah: 7] Ayat ini menuntut agar perjanjian dengan golongan tersebut dipatuhi dan ditunaikan.
- Rasulullah SAW telah mengadakan banyak perjanjian dengan orang-orang kafir. Hal ini sebagaimana yang disebut dalam sirah, antaranya ketika Baginda mengadakan perjanjian dengan orang-orang Quraisy di Hudaibiyah, Bani Dhamrah, penduduk Aylah, serta dengan orang-orang Yahudi ketika Baginda tiba di Madinah al-Munawwarah.
Adapun pandangan Ibn Hazm bahawa perjanjian dengan orang-orang kafir telah dimansukhkan (dihapuskan hukumnya) oleh firman Allah SWT: “(Inilah pernyataan) pemutusan hubungan daripada Allah dan Rasul-Nya kepada orang-orang musyrik yang kamu (kaum Muslimin) telah mengadakan perjanjian dengan mereka.” [TMQ al-Tawbah: 1]
Juga firman-Nya: “Bagaimanakah mungkin ada perjanjian (jaminan keamanan) di sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrik, kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) di dekat Masjid al-Haram?” [TMQ al-Tawbah: 7]
Melalui ayat ini Allah SWT telah membatalkan perjanjian-perjanjian yang baharu, kecuali perjanjian yang telah dimeterai di Masjid al-Haram.
Demikian juga hukum perjanjian telah dimansukhkan oleh firman Allah SWT: “Apabila telah berakhir bulan-bulan haram, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemui mereka, tangkaplah mereka, kepunglah mereka dan intailah mereka di setiap tempat pengintaian.” [TMQ al-Tawbah: 5]
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada Hari Akhirat, dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, serta tidak berpegang kepada agama yang benar, (iaitu daripada kalangan orang-orang) yang diberikan al-Kitab, sehingga mereka membayar jizyah dengan patuh dalam keadaan tunduk.” [TMQ al-Tawbah: 29]
Allah SWT telah memansukhkan (menghapuskan) semua bentuk perjanjian, sehingga tidak ada pilihan bagi Ahli Kitab dan orang-orang Majusi selain memeluk Islam atau membayar jizyah.
Dengan meneliti pandangan Ibnu Hazm, dapat dirumuskan perkara-perkara berikut:
- Adapun ayat-ayat yang disebut oleh Ibnu Hazm sebagai dalil bahawa kebolehan mengadakan perjanjian telah dimansukhkan, maka sesungguhnya ayat-ayat tersebut tidak memansukhkannya.
Ini kerana nasakh tidak berlaku kecuali apabila terdapat pertentangan antara nas-nas yang berkenaan. Sedangkan dalam isu ini, tidak terdapat sebarang pertentangan antara ayat-ayat tersebut. Tambahan pula, makna kedua-duanya dapat dihimpunkan dan tidak terdapat dalil yang menunjukkan berlakunya nasakh.
Tidak boleh menetapkan berlakunya nasakh hanya berdasarkan akal, sebaliknya mesti terdapat dalil yang menunjukkan perkara tersebut. Sedangkan dalam hal ini, dalil sedemikian tidak wujud.
Ayat yang mulia: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya.” [TMQ al-Anfal: 61]
Ayat ini merupakan ayat muhkamat yang tidak dimansukhkan. Ia juga termasuk dalam ayat-ayat yang disangka bertentangan dengan ayat-ayat lain, sedangkan hakikatnya tidak demikian.
Firman Allah SWT: “Maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemui mereka.” [TMQ al-Tawbah: 5] dan firman-Nya: “Dan perangilah orang-orang musyrik itu seluruhnya.” [TMQ al-Tawbah: 36]
Kedua-dua ayat tersebut tidak bertentangan dengan ayat sebelumnya. Ini kerana firman Allah SWT: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian…” [TMQ al-Anfal: 61] diturunkan berkaitan dengan orang-orang Yahudi Bani Quraizah.
Adapun firman Allah SWT: “Maka bunuhlah orang-orang musyrik itu…” [TMQ al-Tawbah: 5], ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang musyrik Arab. Oleh itu, tidak terdapat pertentangan antara kedua-dua ayat tersebut. Ini kerana terdapat kaedah: al-‘ibrah bi ‘umum al-lafz la bi khusus al-sabab (yang diambil kira ialah keumuman lafaz, bukan kekhususan sebab).
Berdasarkan kaedah ini, ayat dalam Surah al-Anfal kekal dengan keumuman maknanya tanpa dibataskan kepada sebab penurunannya yang berkaitan dengan Bani Quraizah sahaja. Ayat tersebut menunjukkan keharusan mengadakan perjanjian dengan orang-orang kafir selain orang-orang musyrik Arab.
Berdasarkan hal ini, riwayat-riwayat yang disebut dalam kitab-kitab tafsir seperti Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Zamakhsyari, yang dinukil daripada Qatadah, Ikrimah dan Ibnu Abbas mengenai nasakh, tidak menunjukkan berlakunya nasakh sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Tabari sendiri.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
(Bersambung ke: “Definisi Perjanjian” Bahagian 5/5.)
#PerjanjianAntarabangsa #DarulKufur #DarulIslam