AHMAD AL-SHARA’A DI PBB: SYRIA BANGKIT, TETAPI ENTITI YAHUDI TERUS MENGUBAH KEADAAN DI LAPANGAN!
Oleh: Muhammad al-Nasir
Berita:
Dalam ucapannya di hadapan Perhimpunan Agung PBB, Presiden Syria Ahmad Al-Shara’a menegaskan bahawa Syria telah bersatu dan mula memasuki fasa kebangkitan. Dia berkata, “Tahun lalu saya mengatakan bahawa Syria telah kembali. Hari ini saya mengatakan bahawa Syria sedang bangkit.”
Beliau turut menyentuh pelbagai pelanggaran yang dilakukan oleh entiti Y4HUD1. Dia menyifatkannya sebagai tindakan yang menyimpang, dengan kira-kira 500 serangan udara dan artileri, lebih daripada 1,200 pencerobohan, serta sekitar 300 penahanan warga Syria sejak Disember 2024.
Al-Shara’a juga menyatakan bahawa Syria kekal komited terhadap Perjanjian 1974, dan menuntut agar pasukan pendudukan berundur ke garis kedudukan pada 8 Disember 2024.
(Al Jazeera, 23 September 2026)
Komentar:
“Syria sedang bangkit!” Suatu ungkapan yang mampu menumbuhkan harapan dan membangkitkan semangat. Namun, kebangkitan seperti apakah yang dimaksudkan jika pada masa yang sama berlaku 500 serangan dan 1,200 pencerobohan pasukan entiti Y4HUD1 ke wilayah Syria, sedangkan jawapan yang diberikan hanyalah dengan mengingatkan kembali kepada Perjanjian 1974?
Ahmad Al-Shara’a berdiri di podium PBB dan menyifatkan serangan entiti Y4HUD1 sebagai “penyimpangan”. Dalam bahasa Arab, syudzudz (الشذوذ) bermaksud keluar daripada sesuatu yang dianggap sebagai kebiasaan atau aturan.
Namun, serangan entiti Y4HUD1 terhadap umat Islam bukanlah sesuatu yang menyimpang atau suatu pengecualian. Ia merupakan dasar yang terus dilaksanakan dan pendirian politik yang telah berakar. Menamakan sesuatu bukan dengan nama sebenarnya bukanlah diplomasi, sebaliknya mengaburkan persoalan dan memberi keuntungan kepada pihak yang menyerang.
Apa yang lebih penting daripada istilah yang digunakan ialah penyelesaian yang ditawarkan. Ahmad Al-Shara’a menyatakan bahawa Perjanjian 1974 menjadi asas tuntutan agar pasukan pendudukan berundur.
Di sinilah terletaknya persoalan utama. Perjanjian tersebut dianggap telah memberikan legitimasi kepada kewujudan entiti Y4HUD1 di rantau itu serta mengiktiraf sempadannya. Lalu, bagaimana sesuatu hak boleh dikembalikan melalui sebuah perjanjian yang, sejak awal lagi, dianggap sebagai suatu bentuk pelepasan hak? Bagaimana mungkin menuntut pengunduran pasukan ke garis tahun 1974 jika perjanjian yang sama menjadi asas yang membolehkan mereka terus kekal?
Di bangunan PBB yang sama, keputusan pembahagian Palestin dibuat pada tahun 1947, dan dalam organisasi yang sama juga pelbagai keputusan yang menangguhkan pembebasan Palestin selama puluhan tahun telah dirumuskan.
PBB bukanlah sebuah badan yang benar-benar bebas, sebaliknya sebuah forum bagi negara-negara besar untuk merumuskan kepentingan mereka dalam bahasa undang-undang. Oleh itu, apabila harapan dan penyelesaian masalah digantungkan kepada institusi tersebut, kekalahan telah pun berlaku sebelum perjuangan bermula.
Ya, selepas bertahun-tahun melalui pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran, Syria sememangnya memerlukan suatu kebangkitan yang sebenar. Namun, kebangkitan tidak boleh dibina dengan mengikuti rujukan pihak yang dianggap sebagai musuh, tidak diumumkan dari podium mereka, dan tidak dirumuskan dengan bahasa mereka.
Kebangkitan yang sebenar bermula apabila Syria terbebas daripada segala bentuk kebergantungan dan berada di bawah panji Rasulullah SAW, bukan berdiri bersendirian menghadapi pihak pendudukan yang hanya memahami bahasa kekuatan.
Dataran Tinggi Golan tidak akan kembali hanya dengan ucapan di New York. Garis sempadan Disember juga tidak akan dapat dipertahankan hanya dengan bergantung kepada sebuah perjanjian yang, sejak hari ia ditandatangani, telah melemahkan pihak yang memeterainya.
Allah SWT berfirman:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (TMQ al-Anfal [8]: 60)
#syria