Kelayakan Seorang Bapa
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Para ayah, pernahkah terfikir menjadi ayah itu memerlukan kepakaran? Bahawa seorang ayah juga mesti memiliki teras kelayakan yang sesuai?
Ramai lelaki berpendapat bahawa menjadi seorang ayah datang secara semula jadi, tanpa perlu sebarang kemahiran atau kepakaran khusus. Bukankah saya secara automatik menjadi seorang ayah ketika isteri saya melahirkan anak kami? Bukankah anak saya pasti akan memanggil saya “ayah,” “bapa,” “abi,” dan sebagainya?
Ah, andai menjadi ayah adalah sesuatu yang semula jadi, maka tak mungkin Allah SWT menurunkan sejumlah ayat yang menyatakan bahawa anak adalah ujian bagi para ayah mereka.
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” [TMQ al-Anfal (8): 28]
Menjadi ayah secara semula jadi terlalu mudah. Tanpa sebarang usaha, kita boleh menjadi bapa sebaik sahaja anak-anak kita dilahirkan. Namun sungguh rugi bila kemudian anak-anak kita tumbuh besar menjadi anak yang tak ada visi dan misi hidup. Apatah lagi menjadi anak yang tak mengenal jati dirinya sebagai muslim, dan tak bangga dengan agamanya, apatah lagi turut berjuang untuk agamanya.
Oleh itu, jika kita ingin menjadi bapa yang luar biasa, bukan sekadar bapa biasa, kita mesti memiliki teras kelayakan berikut:
- Menjadikan keimanan, bukan duniawi sebagai dasar mendidik anak. Anak bukan untuk kesenangan dan cita-cita ibu bapa di dunia, tapi pelaburan sehingga ke akhirat. Berapa ramai ayah yang begitu fokus membesarkan anaknya untuk obsesi duniawi, tapi begitu longgar untuk ketaatan kepada Allah. Tidak hairan jika ramai remaja muslim yang kemudian tumbuh dengan dua keperibadian; muslim tapi sekular. Dia solat tapi bercouple, berbakti kepada ibu bapa tapi mengambil riba, dan sebagainya.
Sudah tiba masanya untuk para ayah menyedari bahawa memiliki anak dan mendidik anak adalah pelaburan dunia dan akhirat. Apabila sudah berjaya menjadikan mereka sebagai hamba Allah yang soleh, terikat dengan hukum syarak, tahu apa tujuan hidup dan mati mereka, maka para ayah patut berbahagia.
- Memahami hukum Islam sebagai panduan mendidik anak. Dengan apa lagi kita akan mengarahkan anak kita menuju kebaikan kalau bukan dengan ajaran Islam? Tak ada buku panduan pendidikan anak sebaik ajaran Islam. Tuntunan Islam bukan hanya membimbing anak kita untuk berjaya menawan dunia, tapi juga berbahagia di akhirat.
- Penuh dengan simpanan kasih sayang. Kasih sayang itu adalah sifat Allah SWT. Bahkan Allah menetapkan kasih sayang atas diri-Nya sendiri. “Tuhanmu telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang” [TMQ al-An’am (6): 54]. Sudah sepatutnya kasih sayang menjadi sifat utama para ayah dalam mengasuh dan mendidik anak, dan simpan kemarahan di bahagian paling akhir. Sebagaimana Allah SWT juga menjadikan hal itu atas diri-Nya sendiri, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari, Muslim).
Tentu saja masih ada teras kelayakan lain yang perlu dimiliki para ayah, tapi semoga tiga perkara asas ini menjadi pedoman penting yang perlu dimiliki oleh mereka.
#parenting #kekeluargaan #KelayakanAyah #PerananAyah