Menteri Letak Jawatan, Selesaikah Masalah?
Oleh: Syamsiyah Jamil
Rentetan meningkatnya kes buli dan salah laku jenayah yang sampai menyebabkan kematian berlaku di sekolah, rakyat memandang bahawa sekolah kini semakin tidak selamat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengatakan bahawa dalam tempoh Januari hingga Ogos 2026 sahaja, 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara, tidak termasuk yang tidak dilaporkan.
Rakyat sudah tidak mampu lagi bertoleransi dengan kepimpinan Menteri Pendidikan yang dilihat telah gagal membendung masalah ini. Maka, ramai yang mendesak supaya beliau meletak jawatan. Beliau didesak untuk mengundur diri supaya dapat memberi laluan kepada calon lain yang lebih komited dalam membangun reformasi dasar keselamatan sekolah. Persoalannya di sini, jika menteri sekarang meletak jawatan dan diganti dengan menteri baharu, adakah masalah keselamatan sekolah ini akan selesai?
Isu buli dan salah laku jenayah di sekolah bukanlah isu baharu. Berapa kali sudah menteri berganti. Begitu juga dasar dan polisi. Tapi persoalan sama muncul kembali. Kenapa masalah sama masih berlaku lagi?
Masalah hari ini bukan masalah yang berdiri sendiri sehingga boleh diselesaikan dengan mengganti menteri. Bagaimana mungkin masalah boleh selesai kalau yang diganti itu hanya menteri dan polisi tapi sistem yang mengawal kepimpinan menteri dan penggubalan polisi itu sendiri tidak diganti?
Akta Pendidikan 1996 sudah ada. Kanun Keseksaan sudah dipinda. Terbaru, Akta Antibuli 2026 diperkenalkan dan Tribunal Antibuli juga ditubuhkan. Tidak ketinggalan laungan “Kami Anti Buli” bergema di sekolah-sekolah. Dari mana datangnya idea asal penggubalan undang-undang dan polisi ini kalau bukan dari akal fikiran manusia semata-mata?
Manusia memang perlu menggunakan akal untuk mengenal pasti masalah dan merangka penyelesaian. Namun, akal manusia mempunyai keterbatasan dan dipengaruhi oleh perbezaan pandangan serta kepentingan pada setiap individu.
Dalam Islam, akal tetap digunakan untuk memahami realiti dan mencari penyelesaian, tetapi penentuan hukum halal dan haram, salah dan benar, baik dan buruk dalam perkara yang mengatur perbuatan manusia hendaklah berpandukan kepada wahyu Allah SWT iaitu al-Quran dan as-Sunnah.
Jadi, tukarlah menteri berapa kali pun, akal fikiran manusia yang serba terbatas itu juga yang akan digunakan untuk mereformasi dasar keselamatan sekolah. Undang-undang baharu pula akan terus dibahaskan di Parlimen yang setia berdiri berpaksikan Perlembagaan Malaysia yang juga hasil ciptaan akal fikiran manusia. Perlembagaan itulah yang begitu dijunjung tinggi dalam sistem demokrasi berperlembagaan, bukannya al-Quran dan as-Sunnah.
Oleh yang demikian, satu-satunya perkara yang perlu diganti untuk membanteras masalah ini adalah sistem yang digunakan untuk mengatur kehidupan masyarakat. Sistem demokrasi ini mesti diganti dengan sistem Islam yang dijamin akan menerapkan peraturan hidup manusia berdasarkan satu-satunya sumber yang diredhai iaitu hukum Allah SWT dan syariat Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT, “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [TMQ al-Nisa’ (4): 65]
Kesimpulannya, usaha untuk membanteras segala masalah keselamatan di sekolah tidak boleh terhad kepada pertukaran pemimpin atau penambahbaikan polisi. Tetapi yang lebih utama adalah perubahan sistem yang mendasari setiap aspek kehidupan agar manusia sentiasa hidup berpandukan syariat Allah SWT, bukannya akal semata-mata.
Rujukan:
1. https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/799185
#malaysia #Pendidikan