Eropah Bergolak: Krisis Sebenar Melanda Ideologi Kapitalisme dan Pemerintahan Barat
Pada 2 Oktober 2020, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah mendakwa bahawa Islam merupakan agama yang sedang mengalami krisis di seluruh dunia. Namun, enam tahun kemudian, realiti yang berlaku di Eropah memperlihatkan keadaan yang sebaliknya. Gelombang demonstrasi yang melanda sejumlah negara Eropah sejak lebih tiga minggu lalu mencerminkan krisis yang semakin meruncing dalam kehidupan masyarakat Barat sendiri.
Bermula di Perancis, demonstrasi tersebut merebak ke Belgium, Itali, Portugal, Sepanyol, Greece, Austria, malah Albania. Pelbagai krisis kehidupan dan masalah dalam sektor tertentu telah mencetuskan kemarahan rakyat. Di Perancis, krisis pendidikan dan kekurangan guru menjadi pencetus demonstrasi pelajar. Di Sepanyol dan Portugal pula, kenaikan mendadak harga rumah serta kadar sewa telah membangkitkan kemarahan masyarakat.
Apabila demonstrasi semakin meluas, tuntutan rakyat turut berkembang menjadi bantahan terhadap inflasi, kos sara hidup yang tinggi dan dasar penjimatan kerajaan, khususnya di Itali dan Belgium. Pada masa yang sama, demonstrasi di Albania turut menyuarakan bantahan terhadap rasuah politik. Secara keseluruhannya, perkembangan ini memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara dasar pemerintah dengan kemampuan ekonomi serta kuasa beli rakyat.
Gelombang demonstrasi ini bukanlah sesuatu yang baharu di Eropah. Sepanjang sedekad lalu, benua tersebut berulang kali menyaksikan kebangkitan rakyat menentang pelbagai dasar kerajaan. Antara 2019 hingga 2024, para petani di Jerman, Belanda, Perancis, Poland dan Itali telah menggunakan traktor untuk menyekat laluan utama sebagai bantahan terhadap peraturan alam sekitar dan peningkatan kos pengeluaran.
Pada 2023, jutaan rakyat Perancis menyertai demonstrasi anjuran kesatuan sekerja bagi membantah pindaan undang-undang yang menaikkan umur persaraan. Sebelumnya, pada 2022, rakyat Belgium dan Itali turun ke jalan raya membantah kenaikan inflasi serta bil tenaga yang mencapai paras tertinggi.
Krisis kehidupan ini turut berlaku seiring dengan pergolakan politik dan gerakan antirasuah di Belarus pada 2020, serta Serbia dan Georgia pada 2023 hingga 2024. Tidak ketinggalan, Britain, Austria, Jerman, Belgium dan Belanda turut menyaksikan demonstrasi yang bertukar ganas antara 2020 hingga 2021 akibat bantahan terhadap sekatan yang dikenakan sepanjang pandemik COVID-19.
Semua perkembangan ini menjadikan Eropah seolah-olah medan terbuka bagi gelombang bantahan rakyat yang berterusan, sekali gus mencerminkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi masyarakat dengan keputusan pemerintah mereka.
Menyalahkan Islam bagi Menutup Kegagalan Sendiri
Namun, daripada meneliti dan menyelesaikan punca sebenar yang mencetuskan demonstrasi tersebut, kuasa Barat sebaliknya memilih untuk menyalahkan pihak lain.
Pada Ahad, 18 Oktober 2026, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa bahawa pendatang menjadi punca kekacauan yang berlaku di Perancis, lalu menggesa Paris supaya menutup sempadannya.
Melalui hantaran di platform Truth Social, Trump menyatakan, “Perancis sedang terbakar! Kemasukan pendatang daripada dunia yang sama sekali berbeza, manusia yang menyimpan kebencian dalam hati mereka, telah menghancurkan negara yang dahulunya hebat itu.”
Kenyataan tersebut merupakan sindiran yang ditujukan kepada umat Islam. Malah, sebelum itu, Trump turut menyalahkan pendatanag dan Islam atas demonstrasi besar-besaran pelajar yang melanda Perancis sejak September lalu.
Tindakan ini memperlihatkan bagaimana kuasa Barat cuba mengalihkan perhatian daripada hakikat sebenar dengan menyalahkan pihak lain. Mereka enggan mengakui bahawa krisis yang sedang melanda negara masing-masing berpunca daripada kegagalan dasar dan sistem pemerintahan yang mereka pertahankan sendiri.
Hakikatnya, Barat sedang mengalami krisis sebenar apabila dasar dan pemerintahan yang dibangunkan atas asas ideologi kapitalisme semakin memperlihatkan kerosakannya. Ideologi tersebut telah membuktikan ketidakmampuannya mengurus urusan manusia dan memperbaiki kehidupan rakyat, meskipun pelbagai langkah pencegahan serta penyelesaian sementara diperkenalkan setiap kali krisis berlaku.
Sebaliknya, punca sebenar masalah terus dibiarkan tanpa penyelesaian yang mendasar. Akibatnya, rakyat Barat sendiri semakin menderita akibat sistem kapitalisme dan segala penyelesaian yang dilahirkannya. Penderitaan mereka kini telah mencapai, atau hampir mencapai, tahap yang tidak lagi mampu ditanggung.
Kapitalisme Semakin Terserlah Kerosakannya
Keadaan ini merupakan akibat yang tidak dapat dielakkan daripada penerapan ideologi kapitalisme. Malah, ideologi tersebut tidak mungkin mampu bertahan sehingga kini, sekiranya alternatif yang diwakili oleh ideologi Islam tidak disembunyikan daripada pengetahuan manusia.
Islam telah disingkirkan daripada kehidupan bernegara apabila Daulah Khilafah diruntuhkan. Dengan keruntuhan tersebut, manusia telah kehilangan kebaikan dan rahmat Islam yang sepatutnya menaungi kehidupan mereka.
Allah (swt) berfirman:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُواْ نِعْمَةَ اللّهِ كُفْراً وَأَحَلُّواْ قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ
“Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekufuran dan menempatkan kaum mereka ke negeri kebinasaan?” [Ibrahim (14): 28]
Kini, ideologi kapitalisme semakin goyah. Kelemahan dan kerosakannya semakin terserlah di hadapan masyarakat dunia. Namun begitu, para pemerintah Barat tetap berkeras mempertahankannya kerana mereka sendiri memperoleh manfaat daripada penerapan ideologi tersebut.
Kapitalisme direka untuk memenuhi kepentingan golongan pemodal dan mereka yang memiliki pengaruh serta kekuasaan. Melaluinya, kelompok ini dapat terus mengekalkan kedudukan, menikmati kemewahan dan mengumpulkan kekayaan, sedangkan majoriti rakyat terpaksa menanggung penderitaan akibat dasar yang dilaksanakan.
Atas sebab itu, mereka tidak akan membiarkan ideologi tersebut runtuh begitu sahaja. Mereka akan terus mempertahankannya selagi kekuasaan dan kepentingan mereka dapat dipelihara.
Kesimpulan
Gelombang demonstrasi yang sedang melanda Eropah memperlihatkan bahawa krisis yang dihadapi masyarakat Barat bukan sekadar masalah ekonomi atau kelemahan pentadbiran semata-mata. Ia merupakan manifestasi kerosakan ideologi kapitalisme yang menjadi asas pemerintahan negara-negara tersebut.
Selagi ideologi ini terus dipertahankan, penderitaan rakyat akan berterusan, sementara golongan pemodal dan mereka yang berkuasa terus menikmati manfaatnya. Kejatuhan sistem ini hanya akan berlaku apabila rakyat bangkit menggulingkan pemerintah yang mempertahankannya, atau apabila Khilafah Rasyidah kali yang kedua ditegakkan lalu memberikan pukulan terakhir kepada kapitalisme dan negara-negara yang dibangunkan di atas asasnya.
Penegakan semula Khilafah Rasyidah diyakini akan membebaskan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan kapitalisme, seterusnya membawa mereka kepada rahmat serta keadilan Islam. Dengan izin Allah (swt), hal ini akan terealisasi sedikit masa lagi.
Allah (swt) berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” [Al-Anbiya’ (21): 107]
#Eropah #Kapitalisme