Asap Kebakaran Hutan dan Tanah Mengancam Nyawa, Kapitalisme Pembawa Bencana
Penulis: Juanmartin
Indeks kualiti udara di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan akibat kebakaran hutan dan tanah dilaporkan mencapai tahap “berbahaya” sehingga memberikan kesan serius terhadap kesihatan penduduk. Keadaan ini amat berbahaya kepada golongan rentan yang mempunyai penyakit sedia ada seperti asma. Kes-kes penduduk yang kehilangan nyawa disyaki berpunca daripada pendedahan kepada asap juga terus dilaporkan.
Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah yang masih menyelubungi beberapa kawasan Sumatera Selatan sejak hampir dua bulan lalu telah meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga Ardiansyah (41), penduduk Jalan Mataram Ujung, Kelurahan Kemas Rindo, Kecamatan Kertapati, Palembang. Beliau meninggal dunia dan disyaki berpunca daripada asap tebal. Di Kalimantan yang merupakan kawasan dengan jumlah titik kebakaran tertinggi, seorang guru turut meninggal akibat asap kebakaran hutan dan tanah.
Kesan kebakaran hutan dan tanah sememangnya nyata. Bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut mengancam kesihatan manusia. Malangnya, usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan masih terhad. Lebih-lebih lagi, realiti di lapangan menunjukkan bahawa banyak pihak yang menjadi punca berlakunya kebakaran hutan dan tanah.
Mangsa Meningkat, Tindak Balas Lambat
Pendedahan kepada jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah yang telah berlarutan sejak empat bulan lalu telah berada pada tahap yang sangat berbahaya, malah telah mengakibatkan kehilangan nyawa. Berdasarkan data terkini Kementerian Kesihatan Indonesia setakat Oktober 2026, jumlah terkumpul Kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ISPA) telah melebihi daripada 283,000 kes di pelbagai wilayah yang terjejas, dengan kawasan paling teruk terjejas ialah Kalimantan dan Sumatera.
Pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti asma dan Penyakit Paru-paru Obstruktif Kronik (PPOK) mengalami kemerosotan gejala yang drastik. Dalam beberapa kes, keadaan ini berakhir dengan kehilangan nyawa akibat kegagalan pernafasan akut. Walaupun kes kematian mula dilaporkan, sikap tidak peka (tone deaf) yang ditunjukkan oleh beberapa orang pegawai daerah pula menjadi perhatian sehingga menyebabkan masyarakat semakin bersikap apatis terhadap usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah.
Sikap apatis ini muncul kerana beberapa faktor, antaranya ialah tindak balas kerajaan pusat yang cenderung lambat, malah dilihat seolah-olah melepaskan tanggungjawab kepada kerajaan daerah. Begitu juga dengan langkah-langkah mitigasi dan pemadaman kebakaran di lapangan yang dinilai lambat, sehingga kebakaran hutan dan tanah meluas dan jerebu sudah menyelubungi kawasan penempatan penduduk selama berbulan-bulan. Lebih parah, asap kebakaran hutan dan tanah bukan sahaja melintasi beberapa wilayah lain seperti Sulawesi, malah turut sampai ke wilayah negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.
Sikap skeptisisme masyarakat terhadap langkah kerajaan bukanlah tanpa sebab. Hal ini berpunca daripada lemahnya hukuman yang dikenakan oleh negara terhadap korporat atau individu yang melakukan pembakaran tanah, di mana tidak memberikan kesan pencegahan yang mencukupi untuk menghalang kebakaran hutan dan tanah daripada berulang setiap tahun. Sedangkan, akibat daripada kebakaran hutan dan tanah amat ketara terutamanya terhadap kesihatan masyarakat. Di beberapa kawasan terpencil, pusat kesihatan sementara dan bekalan peralatan perubatan seperti pelitup muka standard atau tabung oksigen didapati belum disediakan secara menyeluruh dan belum dapat disalurkan dengan kadar segera kepada semua golongan rentan.
Walaupun Kementerian Kesihatan Indonesia bersama-sama pelbagai sektor telah bersepakat mengenai kos rawatan perubatan bagi mangsa kebakaran hutan dan tanah di kawasan yang berstatus tanggap darurat, tetapi masyarakat yang menjadi mangsa sudah pun terlanjur kecewa. Lebih-lebih lagi, punca utama kebakaran hutan dan tanah masih belum diselesaikan sehingga saat ini.
Kerajaan seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Sebaliknya, kerajaan sepatutnya menjalankan penilaian semula dan muhasabah, sama ada dari aspek perundangan, perlindungan hutan dan tanah, hingga memastikan keselamatan masyarakat. Langkah pencegahan boleh dikatakan sudah tidak memadai lagi kerana kejadian kebakaran hutan dan tanah telah pun berlaku.
Sepatutnya, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menyemak semula semua peraturan dan menjalankan penilaian secara sistemik terhadap permasalahan yang berlaku hari ini, di samping bertindak pantas memenuhi tuntutan masyarakat agar dapat menghentikan kebakaran hutan dan tanah. Malah, boleh dikatakan sikap kerajaan ini adalah salah satu bentuk ketidakseriusan untuk mencegah kebakaran hutan dan tanah, apatah lagi menghentikannya.
Kapitalisme, Bencana kepada Alam Sekitar
Dasar pengurusan hutan dalam sistem sekular kapitalis terbukti membawa bencana kepada alam sekitar, ekonomi dan juga kesihatan masyarakat. Hasil kajian badan NGO, WALHI (Wahana Lingkungan Hidup Indonesia) menunjukkan bahawa risiko kebakaran hutan dan tanah berkait rapat dengan struktur penguasaan tanah, rangkaian pemilikan korporat, serta tadbir urus sumber alam semula jadi.
Analisis terhadap 30 buah syarikat sepanjang Januari–Ogos 2026 mendedahkan kaitan sembilan syarikat korporat dengan entiti luar negara dan 93 syarikat yang dikenal pasti mempunyai petunjuk terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah serta mempunyai hubungan dengan kumpulan perniagaan dari Singapura dan Malaysia. Struktur pemilikan merentas negara yang kompleks berpotensi menyukarkan usaha mengenal pasti pemilik benefisial terakhir serta menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap kerosakan alam sekitar.
Di Merauke, Papua Selatan, WALHI menemukan sebanyak 807 titik panas di kawasan pembangunan makanan dan tenaga. Daripada jumlah tersebut, 133 titik berada di enam entiti energy estate (kawasan pembangunan tenaga) dan 674 titik lagi terdapat di empat kluster food estate (kawasan pembangunan makanan). Penemuan ini menegaskan bahawa menangani kebakaran hutan dan tanah perlu menelusuri tanggungjawab syarikat serta peranan kerajaan dalam perancangan, pelaksanaan, dan pengawasan projek pembangunan berskala besar.
Beberapa bukti di lapangan turut menunjukkan kemungkinan berlakunya kebakaran hutan dan tanah secara sengaja atas motif perniagaan. Hal ini sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada sistem kapitalisme yang diterapkan oleh negara pada hari ini. Sistem yang jelas memihak kepada kepentingan korporat ini telah menyebabkan kerajaan bersikap tone deaf (tidak peka) terhadap permasalahan rakyat, saling melemparkan tanggungjawab, malah beberapa ketua daerah turut mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi (blunder) dan tidak menunjukkan empati.
Di sisi lain, sistem kapitalisme juga telah menyebabkan sistem hukuman dan perundangan hanya menjadi produk formal yang lemah dari segi pelaksanaannya. Lihat sahaja beberapa undang-undang, seperti Undang-Undang 32/2009 (PPLH) Perkara 108, yang menetapkan bahawa pembukaan tanah dengan cara membakar dikenakan hukuman penjara 3–10 tahun serta denda antara Rp3–10 bilion.
Demikian pula dengan UU 41/1999 yang menetapkan bahawa perbuatan membakar hutan secara sengaja dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga Rp5 bilion. Malah, faktor kelalaian juga boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun. Namun hakikatnya, hukuman ini hanya dipamerkan sebagai peruntukan dalam sistem perundangan yang berkuat kuasa. Dalam pelaksanaannya, negara bukan sahaja gagal mengawal tindakan korporat, bahkan lebih buruk lagi iaitu bersekongkol dengan pihak korporat.
Paradigma Islam
Kesan kebakaran hutan dan tanah yang telah meragut nyawa sepatutnya menyedarkan kita tentang peranan kerajaan dalam melayani rakyat. Apabila timbul masalah kesihatan masyarakat akibat kebakaran hutan dan tanah, masyarakat bukanlah pihak yang sepatutnya disuruh menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Sebaliknya, kerajaan mesti segera bertindak untuk menangani masalah berkenaan. Penguasa merupakan pihak yang paling bertanggungjawab terhadap rakyatnya.
Munculnya masalah kesihatan akibat kebakaran hutan dan tanah seharusnya mendorong kerajaan untuk bertindak pantas terhadap isu kesihatan awam. Hal ini kerana kesihatan ialah hak asas rakyat yang wajib dijamin oleh negara. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan darurat akibat kebakaran hutan dan tanah, usaha menangani masalah kesihatan mesti diberikan keutamaan. Pada masa ini, masalah kesihatan bukan lagi berada pada fasa pencegahan, sebaliknya tindakan perlu merangkumi aspek kuratif (perubatan) dan pemulihan bagi kes-kes tertentu. Oleh itu, pengerahan tenaga kesihatan, penyediaan kemudahan dan prasarana, peralatan perubatan, serta keperluan lain merupakan perkara yang mendesak dan perlu dilaksanakan segera.
Dalam pelaksanaannya, langkah-langkah ini memerlukan dana yang bukan sedikit. Dalam Islam, sumber pembiayaan bagi negara ketika menghadapi bencana dan kejadian luar biasa adalah bersumber daripada baitulmal. Jika keadaan baitulmal kosong atau dana yang tersedia tidak mencukupi untuk menampung kos pembiayaan, negara boleh menggerakkan usaha mengumpulkan harta daripada golongan rakyat yang kaya (aghniyah) bagi menampung keperluan pembiayaan yang diperlukan oleh negara.
Walaupun demikian, syariat menetapkan bahawa negara sebagai pihak yang memikul tanggungjawab utama sebagai pengurus (raa’in) dan juga sebagai perisai (junnah) bagi rakyatnya, lebih-lebih lagi ketika mereka ditimpa bencana. Negara wajib hadir sebagai pelindung dan benteng bagi rakyat daripada segala kesan buruk akibat kebakaran hutan dan tanah.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang imam itu (laksana) perisai. Dia akan dijadikan perisai, di mana orang akan berperang di belakangnya, dan digunakan sebagai pelindung. Jika dia memerintahkan takwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan adil, maka dengannya, dia akan mendapatkan pahala. Tetapi, jika dia memerintahkan yang lain, maka dia juga akan mendapatkan dosa/azab kerananya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, dalam melaksanakan tanggungjawabnya, penguasa mestilah mengerahkan segala tenaga dan pemikiran secara maksimum melalui jentera kerajaan, golongan pakar, hingga ahli akademik.
Selain aspek pengendalian, Islam turut memberikan perhatian terhadap pelaksanaan hukuman ke atas para pelaku. Pelaksanaan hukuman dalam sistem Islam adalah sangat tegas dan sesuai dengan syariat. Negara wajib mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang melakukan kerosakan alam sekitar dengan mengenakan hukuman takzir berdasarkan ijtihad khalifah yang ditentukan mengikut tahap keseriusan kesalahan, kesan kerosakan, jumlah kerugian awam serta motif pelaku.
Tanggungjawab yang dilaksanakan dengan mematuhi syariat ini menutup ruang berlakunya pakatan sulit antara pihak korporat dengan penguasa. Islam melarang negara memberikan kelulusan terhadap eksploitasi alam sekitar yang membahayakan masyarakat oleh individu tertentu. Hal ini berdasarkan pemahaman bahawa alam sekitar termasuk hutan dan tanah yang dikategorikan sebagai pemilikan umum yang tidak boleh dikuasai oleh individu tertentu.
Inilah paradigma Islam dalam menyelesaikan masalah kebakaran hutan dan tanah yang berlaku pada hari ini. Aspek pencegahan juga merupakan perkara yang tidak kurang pentingnya. Di samping itu, timbulnya pelbagai masalah pada hari ini membuktikan bahawa sistem kapitalisme yang diterapkan saat ini merupakan sumber bencana yang sepatutnya menyedarkan manusia tentang betapa pentingnya kembali kepada syariat Allah. Maha Benar Allah dengan firman-Nya, “Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)?” (TMQ Al-Ma’idah [5]: 50).
Wallahualam bissawab.
#karhutla #jerebu #kebakaranhutan #Kapitalisme