Jadilah “Ayah” Yang Menyenangkan
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Pada suatu malam saya terbangun. Disebabkan tiada sebarang tugas esok hari, saya menyalakan televisyen. Sebuah filem khas Hollywood sedang ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta. Freedomland judulnya. Saya mengagak genrenya ialah thriller, dan memang benar. Plot ceritanya adalah mengenai kehilangan seorang anak secara misteri di tengah-tengah hutan di sebuah bandar kecil. Masalahnya, kes ini menjurus kepada jenayah perkauman. Penduduk kulit putih mengesyaki pelakunya ialah orang kulit hitam.
Samuel L. Jackson, yang memegang watak sebagai seorang detektif kulit hitam, menjalankan siasatan termasuk menyoal siasat ibu kepada budak tersebut, seorang janda muda. Siasatan itu membawa ke arah unsur mistik. Anak itu disyaki diculik untuk dijadikan korban ritual ilmu hitam.
Namun, siasatan berakhir di luar dugaan. Tiada sebarang unsur mistik langsung. Anak tersebut ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa, ditanam di tengah hutan. Pelakunya? Ternyata ibunya sendiri. Motifnya? Kerana berasa marah terhadap anaknya yang menghalangnya untuk keluar bertemu dengan kekasihnya. Lalu, si ibu memberi anaknya makan ubat secara berlebihan sehingga meninggal dunia. Si ibu akhirnya ditangkap. Dia menangis, meraung, dan menyesali kekhilafannya. Namun nasi sudah menjadi bubur, dia dipenjarakan.
Selepas beberapa ketika, detektif tersebut melawat si ibu di penjara. Mereka berbicara dari hati ke hati, sehingga akhirnya detektif itu turut menceritakan masalah hidupnya kepada wanita tersebut. Ternyata beliau sedang menderita kerana satu-satunya anak lelakinya yang telah dewasa kini meringkuk di dalam tahanan akibat siri jenayah yang dilakukannya.
“Aku seorang ayah yang teruk!” kata detektif itu penuh penyesalan. Beliau mengakui secara jujur bahawa keganasan dan jenayah yang dilakukan oleh anaknya adalah hasil daripada ‘didikannya’ sendiri. “Setiap kali pulang ke rumah, aku hanya menyakiti anakku,” tuturnya perlahan di hadapan wanita tersebut. “Dia melakukan jenayah dengan menggunakan pistol milikku.”
Di penghujung cerita, ayah yang juga seorang detektif ini melawat penjara tempat anaknya ditahan. Dengan senyuman, beliau menemui puteranya. Anak itu berasa terkejut dengan kedatangan ayahnya yang berwajah ceria. “Ayah, ini seperti Krismas di bulan November.” Mereka tersenyum.
Ibu bapa yang dirahmati Allah, memang ini hanyalah sebuah filem, namun terdapat iktibar yang saya renungkan pada malam itu. Dialog di akhir filem tersebut seolah-olah menampar muka saya. Detektif itu menyedari bahawa beliau ialah the bad daddy. “Setiap kali aku pulang, aku hanya menyakiti anakku.”
Ya, marilah kita renungkan bersama, apakah yang dilakukan oleh para bapa apabila pulang ke rumah? Bolehkah kita menjadi seorang ayah yang menyenangkan? Atau sebaliknya menjadi sosok yang menyakitkan hati buat anak-anak kita di rumah?
Banyak anak malah juga isteri yang berasa kesal apabila ayah atau suami mereka pulang ke rumah. Mahu senang sendiri, ego, dan menyakitkan hati anak-anak. Apabila berada di rumah, kerap kali marah-marah dan jauh daripada sikap yang menyenangkan. Ayah sebaliknya menjadi sosok yang dibenci semasa berada di rumah.
Mungkin sebahagian bapa memberi alasan: “Kami sudah penat bekerja 8 jam sehari selama 6 hari, ditambah pula 2 jam lebih di dalam perjalanan. Jadi berilah kami pengertian semasa berada di rumah. Kami kan perlu rehat.”
Ooh, sedarlah wahai para ayah, ingatlah tanggungjawab anda saat anda berumahtangga. Bukankah kita, kaum lelaki, telah berjanji untuk membina sebuah keluarga?
Fahamilah erti membina, iaitu mewujudkannya, meletakkan asasnya, dan merangkaikannya setapak demi setapak. Apabila binaan itu telah siap, tugas kita bukannya terhenti di situ, sebaliknya timbul kewajipan untuk merawatnya.
Sungguh tidak adil sekiranya para ayah berasa berhak untuk diperlakukan secara “istimewa” di rumah oleh anak-anak, padahal anak-anak juga berhak untuk disenangkan oleh ayah mereka sewaktu berkumpul bersama. Namun apa yang sering berlaku ialah, sudahlah sukar untuk bertemu dengan si ayah, tetapi apabila bertemu, ayah pula yang bersikap menyakitkan hati.
Ingatlah pesanan Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya pada keluargamu ada hak yang wajib engkau tunaikan.” Ini bermakna keluarga termasuk anak-anak berhak menuntut hak mereka daripada para ayah.
Maka wahai para ayah, janganlah bersikap mementingkan diri sendiri dan jangan menjadi ayah yang tidak disenangi. Sewaktu engkau berada di rumah, pada saat itulah anak-anak memerlukan kehadiran dan perhatianmu. Meskipun engkau sekadar berdiri memandang mereka, tersenyum, atau melemparkan gurauan ringan, apatah lagi sekiranya engkau mampu memberikan motivasi dan inspirasi kepada mereka.
Andai para ayah sedar betapa pentingnya erti kehadiran dan perhatian mereka terhadap setiap anak, nescaya keperibadian Islam dan nilai-nilai positif akan tumbuh bersemi dengan subur dalam jiwa anak-anak kita.
Mulakanlah untuk menjadi seorang ayah yang menyenangkan. Luangkanlah waktumu yang singkat untuk menjadikan dunia mereka ceria. Luruskanlah kesilapan mereka dengan penuh kasih sayang. Buanglah sikap yang menyakitkan hati daripada keperibadian diri kita. Boleh? Yakin pasti boleh!
#IslamicParenting #Ayah