Tanggungjawab Umat Terbaik
Penulis: Farisha Aris
Mukadimah
Kita sering berlumba-lumba untuk menjadi anak yang baik, isteri yang solehah, dan ibu yang mithali kerana kita yakin bahawa semula amal soleh ini merupakan tiket untuk ke syurga Allah SWT. Namun, selain daripada kewajipan-kewajipan di atas, Allah SWT menawarkan kepada kita satu kedudukan yang lebih istimewa, iaitu sebagai umat terbaik di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik” [TMQ ali-Imraan(3): 110]
Tiga Tiang Utama Khairu Ummah
Persoalannya kini, sejauh manakah kesedaran dan keyakinan kita terhadap posisi istimewa ini sehingga kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi umat yang terbaik? Hakikatnya, kualiti unggul umat Islam hanya terjadi jika mereka memenuhi tiga syarat utama yang dinyatakan dalam surah Ali-Imran ayat 110 di atas. Ketiga-tiga ini perlu dipenuhi untuk meletakkan umat Islam hari ini menjadi umat yang terbaik. Pertama, umat terbaik haruslah umat yang melaksanakan amar makruf iaitu menyuruh kepada kebaikan yang diperintahkan oleh syariat Islam. Kedua, umat yang terbaik juga harus melaksanakan nahi munkar iaitu mencegah kemungkaran yang bercanggah dengan perintah Allah. Ketiga, umat yang terbaik ialah orang yang beriman kepada Allah SWT iaitu asas yang menjadi sumber kekuatan dan keikhlasan kepada dua ciri sebelumnya.
Makruf dan Mungkar Mengikut Timbangan Syarak
Pengertian makruf ialah segala hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT. Pengertian mungkar pula ialah segala hal yang dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT. Sebagai contoh, pinjaman yang mengandungi unsur riba dalam sistem kewangan konvensional dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan merupakan perkara-perkara mungkar yang dianggap normal pada hari ini. Semua perkara mungkar ini perlu dihentikan dengan aktiviti dakwah nahi mungkar yang menjadi kriteria untuk menjadi umat yang terbaik.
Khairu Ummah dalam Sejarah
Realiti Khairu Ummah telah wujud dalam sejarah umat Islam. Empayar Uthmaniyyah mengukuhkan kekuasaannya dengan menyebarkan dan mengembangkan penyebaran Islam sehingga berlakunya banyak pembukaan wilayah Islam yang baharu melalui pembebasan (futuhat). Pembukaan Konstantinople (Empayar Byzantine) di bawah Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi bukti sejarah sesebuah masyarakat berkembang pesat apabila berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam. Kegigihan yang ditunjukkan oleh beliau telah merealisasikan janji Rasulullah SAW apabila pasukan terbaik yang dipimpin oleh panglima perang terbaik berjaya membuka Konstatinople setelah memenuhi 3 kriteria umat terbaik.
Tanggungjawab Kolektif
Tanggungjawab melakukan amar makruf nahi mungkar merupakan tugas utama Khairu Ummah. Dari An Nu’man bin Basyir ra, ia berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang mencegah kemungkaran dan orang yang terjerumus dalam kemungkaran adalah bagaikan suatu kaum yang berada dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila mereka yang berada di bahagian bawah ingin mendapatkan air, mereka melalui tempat orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata sesama mereka: “Jika kita melubangi tempat kita, nescaya kita tidak akan mengganggu orang yang berada di atas. Sekiranya orang yang berada di atas membiarkan saja apa yang dilakukan orang yang di bawah itu maka mereka semua akan binasa. Namun jika mereka mencegah dengan tangan mereka maka mereka akan selamat semuanya” [HR Bukhari No: 2313].
Analogi kapal ini menegaskan bahawa kemungkaran tidak boleh dibiarkan tumbuh dan membesar. Kemungkaran ibarat bara api yang mesti dipadamkan ketika masih kecil. Jika dibiarkan, api itu akan merebak dan menghanguskan apa-apa sahaja di sekitarnya. Oleh itu, setiap umat Islam tidak boleh mengabaikan atau memilih berdiam diri apabila melihat kemungkaran di depan mata. Inilah yang didefinisikan sebagai kewajiban dakwah.
Khatimah
Dakwah seharusnya menjadi paksi dalam kehidupan umat Islam sehingga tiada alasan yang boleh kita berikan untuk mengelakkan diri daripada melaksanakannya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:Dari Abu Said Al-Khudri ra berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:” Siapa di antara kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu dengan lisannya dan jika tidak mampu dengan hatinya. Dan yang demikian itu selemah-lemahnya iman” [HR Muslim].
Seluruh umat Islam seharusnya mengembalikan semula kekuatan serta pertolongan Allah SWT melalui penglibatan secara aktif dalam menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kesungguhan dan keyakinan yang kuat bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama hamba-Nya yang ikhlas dalam menjalankan segala perintah-Nya menjadi dasar keimanan kepada Allah SWT. Cukuplah Allah SWT sebagai sebaik-baik penolong kita sebagaimana firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (TMQ Muhammad[47]:7)
Wallahu a’lam.
#KhairuUmmah