Kembali kepada Allah: Jalan Keluar daripada Krisis Kehidupan Moden
Oleh: Nurain AbdurRahman
Kesengsaraan manusia dan kerosakan alam semesta berpunca daripada ketamakan sistem Kapitalis. Dunia hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk krisis yang semakin kompleks. Peperangan, kemiskinan, penindasan, jurang ekonomi, kemusnahan alam, pencemaran, eksploitasi sumber alam dan tekanan kehidupan merupakan sebahagian dari realiti dunia moden. Ironinya, apakah yang sebenarnya menyebabkan manusia berada dalam keadaan yang sengsara dan tidak sejahtera sedangkan dunia semakin maju dari sudut teknologi dan ekonomi?
Islam mengingatkan bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi bukanlah sesuatu kebetulan yang muncul tanpa sebab. Allah SWT berfirman:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
“Telah timbul kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia.” [TMQ al-Rum (30): 41]
Ayat ini memberi peringatan bahawa kerosakan kehidupan tidak boleh dilihat hanya daripada sudut ekologi atau ekonomi semata-mata, malah ia terkait rapat dengan cara manusia mengatur kehidupan. Bilamana keuntungan, kepentingan material, dan kebebasan untuk memiliki dijadikan ukuran utama, manusia akhirnya cenderung mengeksploitasi manusia lain, alam, dan seluruh kehidupan yang ada.
Sistem Kapitalis yang meletakkan kepentingan material dan keuntungan sebagai asas kehidupan telah melahirkan persaingan yang tiada penghujung. Kekayaan terus dikumpulkan oleh golongan minoriti yang mempunyai modal dan kuasa, manakala majoriti umat manusia terpaksa berjuang demi kelangsungan keperluan asas. Alam dieksploitasi tanpa batas demi memenuhi tuntutan pengeluaran dan keuntungan. Akhirnya, bukan manusia sahaja yang menderita, bahkan bumi dan alam sejagat turut menanggung akibatnya.
Oleh yang demikian, perubahan yang diperlukan oleh umat manusia hari ini bukan sekadar perubahan teknologi, ekonomi atau pentadbiran. Perubahan yang paling asas ialah perubahan cara manusia berfikir tentang apakah sebenarnya kehidupan serta sebuah sistem yang mengatur alam, manusia dan seluruh benda hidup. Manusia perlu kembali memahami persoalan yang paling asas dalam hidupnya: Untuk apa manusia diciptakan? Siapakah Penciptanya? Apakah tujuan kehidupannya? Akhirnya, ke manakah manusia akan kembali setelah kematian?
Islam memberikan jawapan yang tuntas, bahawa setiap manusia ialah hamba kepada Allah SWT dan kehidupan dunia merupakan medan ujian untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Apabila manusia benar-benar memahami kedudukannya sebagai hamba, kehidupannya tidak lagi berpaksikan hawa nafsu, keuntungan dan kepentingan diri semata-mata. Sebaliknya, seluruh perbuatannya akan dipandu oleh ‘manual’ kehidupan sebagai manifestasi kehambaannya sama ada secara individu mahupun dalam kehidupan bermasyarakat kepada Penciptanya, Allah SWT.
Islam bukan sekadar agama dalam pengertian ritual individu, bahkan merupakan satu pandangan hidup yang mempunyai aturan (sistem) bagi mengatur seluruh kehidupan manusia. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah membentuk sebuah peradaban yang besar sejak Rasulullah SAW mendirikan Negara Islam di Madinah. Pemerintahan Islam kemudiannya berkembang selama berabad-abad sehingga menguasai 2/3 dunia dan melahirkan sebuah tamadun yang memberikan sumbangan besar dalam ilmu pengetahuan, pendidikan, ekonomi, perubatan, pentadbiran dan kehidupan masyarakat bernegara.
Kekuatan umat Islam tidak hanya terletak pada kekuatan ketenteraan. Kekuatan yang paling besar ialah kekuatan aqidah dan cara berfikir. Seorang Muslim yang benar-benar memahami bahawa hidupnya untuk Allah SWT dan kematiannya adalah untuk kembali kepada Allah akan memiliki jiwa yang tidak mudah tunduk kepada tekanan dunia. Semangat mengejar keredhaan Allah dan memperoleh syahid telah membentuk generasi Muslim yang berani mempertahankan agama dan kehidupan umat.
Sejarah Islam membuktikan umat Islam tidak kalah dalam peperangan fizikal; sebaliknya, umat Islam diserang melalui serangan terhadap pemikiran dan budaya. Serangan yang dikenali sebagai ghazw al-fikri atau serangan pemikiran ini bertujuan mempengaruhi cara umat Islam melihat Islam, kehidupan dan realiti di sekeliling mereka. Pengaruh pemikiran asing, falsafah dan ideologi yang tidak berasaskan aqidah Islam kemudiannya bercampur dengan pemikiran Islam sehingga melahirkan kekeliruan tentang identiti dan arah kehidupan, sehingga akhirnya melemahkan umat Islam. Perkara ini sebenarnya telah diingatkan di dalam al-Qur’an di mana Allah SWT berfirman:
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha kepadamu sehingga engkau mengikuti agama mereka.” [TMQ al-Baqarah (2): 120]
Peringatan ini bukan alasan untuk umat Islam membenci manusia kerana identiti mereka, tetapi merupakan peringatan agar umat Islam tidak kehilangan prinsip dan identiti Islam akibat terpengaruh oleh pandangan hidup yang bertentangan dengan wahyu. Masalah besar umat Islam hari ini ialah apabila Islam hanya diwarisi sebagai identiti, tetapi tidak difahami dan dihayati sebagai aqidah serta pandangan hidup. Keadaan ini menyebabkan umat menjadi lemah dan mudah dipengaruhi oleh pemikiran asing.
Rasulullah SAW juga menggambarkan keadaan umat pada suatu masa nanti seperti buih di lautan iaitu banyak dari segi jumlah tetapi lemah dari segi kekuatan dalaman. Kelemahan tersebut bukan semata-mata kerana bilangan atau sumber material, tetapi kerana hilangnya kesatuan pemikiran dan kecintaan kepada Islam sebagai asas kehidupan. Maka, perubahan yang diperlukan oleh umat Islam hari ini adalah dengan kembali kepada kehidupan bertuhan. Manusia perlu memahami bahawa Allah SWT ialah Pencipta, manakala manusia ialah hamba. Segala perkara yang berada di luar kemampuan manusia berada dalam ketentuan Allah SWT. Umat Islam perlu berusaha dan berdakwah agar syariat Islam kembali tertegak di muka bumi. Umat Islam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan.
Pada masa yang sama, harus diingat bahawa setiap perbuatan manusia perlu dikaitkan dengan hukum syarak, kerana seorang Muslim tidak bebas menentukan baik dan buruk semata-mata berdasarkan akal, hawa nafsu atau kepentingan material. Prinsip asasnya ialah perbuatan manusia terikat dengan hukum Allah SWT. Apabila kehidupan dirujuk kepada wahyu dan hukum syarak, manusia mempunyai neraca yang jelas dalam menentukan tindakan. Inilah perubahan yang sebenar dan yang diperlukan. Dunia tidak hanya memerlukan manusia yang lebih kaya, lebih moden atau lebih maju dari sudut teknologi, tetapi memerlukan manusia yang lebih mengenal Penciptanya dan memahami tujuan kehidupannya. Apabila manusia kembali meletakkan Allah SWT sebagai pusat kehidupan, dia akan memiliki pandangan yang benar terhadap dunia, manusia, harta, alam dan kehidupan.
Dengan kefahaman tersebut, manusia akan lebih berlapang dada dalam menghadapi kehidupan. Dia tidak menjadikan dunia sebagai tujuan mutlak, tidak diperhambakan oleh material dan tidak menghalalkan segala cara untuk mendapatkan keuntungan. Bahkan, dia akan memahami bahawa dirinya hanyalah hamba kepada Allah SWT yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kehidupan berdasarkan petunjuk-Nya. Maka, penyelesaian kepada krisis penderitaan manusia bukan sekadar menggantikan satu bentuk teknologi dengan teknologi yang lain atau memperbaiki sistem ekonomi secara kecil-kecilan. Perubahan yang paling asas ialah perubahan arah fikir manusia daripada menjadikan dunia sebagai tujuan kepada menjadikan keredhaan Allah SWT sebagai tujuan kehidupan. Daripada sinilah lahir manusia yang sejahtera, masyarakat yang adil dan kehidupan yang lebih terpelihara. Sesungguhnya manusia hanya akan menemukan kesejahteraan yang hakiki apabila kehidupan kembali diatur berdasarkan petunjuk Pencipta manusia dan seluruh alam.
Wallahu’alam.
#Kapitalisme #SistemIslam #IslamKaffah