[Doa Pilihan] DOA APABILA DIPUJI
اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
“Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui.” [HR Bukhari]
====
Apakah kita merasa senang apabila dipuji? Sesungguhnya, pujian yang berlebihan itu membinasakan. Maka jika kita menyayangi pada saudara kita, doakanlah kebaikan, jangan dipuji secara berlebihan. Pujian itu membinasakan, sedangkan doa itu menghidupkan.
Diriwayatkan dari Abu Bakar RA, beliau berkata, “Ada seseorang yang memuji orang lain di sisi Nabi ﷺ. Lalu Nabi ﷺ bersabda,
وَيْلَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ، قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ
“Celaka kamu, kamu telah memenggal leher sahabatmu, kamu telah memenggal leher sahabatmu.” (Muttafaq ‘Alaihi)
Diriwayatkan dari Abu Musa RA, beliau berkata, “Nabi ﷺ mendengar seseorang memuji orang lain secara berlebihan. Lalu Nabi ﷺ bersabda,
أَهْلَكْتُمْ أَوْ قَطَعْتُمْ ظَهَرَ الرَّجُلِ
‘Engkau membinasakan atau engkau memotong belakang kawanmu itu.’.” (Muttafaq ‘Alaihi)
Orang yang dipuji hendaklah berhati-hati dan memelihara hatinya daripada merasa riya’, ujub dan takabbur apabila mendengar pujian yang dilontarkan kepada dirinya.
Terdapat satu doa yang baik yang diamalkan oleh seorang sahabat baginda SAW, di mana diriwayatkan bahawa Adi bin Arthah –rahimahullah – (seorang ulama tabi’in) meriwayatkan:
كَانَ الرَّجُلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذَا زُكِّيَ قَالَ: اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dahulu ada seorang sahabat Nabi SAW, yang apabila dia dipuji mengucapkan: “Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui.” [HR Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (761)]