[Doa Pilihan] Doa Memohon Ampun dan Taubat
رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Ya Tuhan, ampunilah aku dan terimalah taubatku, Sesungguhnya Engkau Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang.” (HR Abu Daud)
===
Sesungguhnya manusia tidak lari dan lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Sifat Allah yang Maha Penyayang dan Pemaaf terhadap hambaNya yang beriman, selagi tidak melakukan dosa besar dan syirik kepada Allah, yakinlah bahawa Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil kita dengan istighfar dan taubat, insyaAllah.
Manusia yang baik dan dicintai Allah ﷺ adalah dia yang bertaubat dan mensucikan dirinya terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Namun, jika dosa tersebut terkait hak manusia maka hendaklah menyelesaikan urusan dengan manusia tersebut atau meminta kerelaannya.
Taubat perlu dilakukan dengan memenuhi syarat-syaratnya yakni: 1) meninggalkan kemaksiatan yang telah dilakukan, 2) menyesal melakukannya, dan 3) bertekad untuk tidak mengulanginya lagi buat selama-lamanya.
حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، عَنْ مَالِكِ بْنِ مِغْوَلٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سُوقَةَ، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَجْلِسِ الْوَاحِدِ مِائَةَ مَرَّةٍ “ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ” .
Diceritakan daripada Hasan bin Ali, daripada Abu Usamah, daripada Malik bin Mikwal, daripada Muhamad bin Suqah, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar r.a, dia berkata: “Kami duduk dengan Rasulullah saw dalam satu majlis, lalu Baginda beristighfar 100 kali:
رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Ya Tuhan, ampunilah aku dan terimalah taubatku, Sesungguhnya Engkau Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang.” (HR Abu Daud)