ANCAMAN PLURALISME TERHADAP UMAT ISLAM
Oleh : Farisha Airis
Umat Islam hari ini pada hakikatnya sedang berhadapan dengan ancaman fahaman pluralisme yang mana idea rosak ini semakin menyusup masuk ke dalam tubuh umat tanpa kita sedari. Pluralisme agama merupakan salah satu daripada propaganda Kuffar Barat dalam menghancurkan umat Islam dengan melakukan serangan pemikiran sehingga menyebabkan akidah umat Islam tergelincir terutamanya bagi generasi muda. Ini kerana Kuffar Barat tahu bahawa kekuatan umat Islam terletak pada keteguhan akidahnya yang akan menggugat hegemoni Barat ke atas dunia Islam dan mereka akan memastikan umat Islam tidak bangkit, lalu melemahkan dan menggoncang akidah umat Islam adalah cara terbaik yang mereka fikirkan.
Istilah pluralisme mungkin kurang diketahui oleh segelintir masyarakat kita sehingga mereka beranggapan bahawa tidak ada salahnya dengan idea pluralisme ini. Walhasil idea Pluralisme yang dianggap remeh ini bakal mengundang kerosakan di tengah-tengah umat dan memberi impak yang cukup besar.
Wujudnya Kekeliruan Antara Pluraliti dan Pluralisme
Pluralisme agama merujuk kepada suatu fahaman yang menyamakan semua agama dengan menyatakan bahawa kebenaran ada dalam semua agama dan keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama. Selain itu, ada kemungkinan mereka keliru dengan istilah pluraliti dan pluralisme. Oleh itu, mari kita telusuri perbezaan di antara ‘pluraliti’ dan ‘pluralisme’.
Pluraliti (keragaman) adalah satu keadaan di mana di tengah masyarakat terdapat pelbagai ras, suku, bangsa, bahasa dan agama. Ini kerana memang Allah SWT berkehendak menciptakan manusia di muka bumi ini bersuku-suku, berbangsa-bangsa dengan warna kulit, serta bahasa yang berbeza-beza untuk kita saling mengenal antara satu sama lain, bukan untuk melebih-lebihkan suatu bangsa atau kaum. Allah SWT telah berfirman,
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” [TMQ Al-Hujurat (49):13].
Ini berbeza dengan Pluralisme agama yang merupakan sebuah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Ini bermaksud fahaman ini memandang bahawa apa sahaja agama di dunia ini akan menuju kepada titik kebenaran yang sama (different ways to the same truth) namun ini tidak bermaksud bahawa ‘dakwaan kebenaran’ (claim of truth) hanya merujuk kepada satu agama sahaja dan itulah agama yang paling benar sehingga keselamatan sebenar (true salvation) dari seksa neraka juga hanya diperoleh apabila memeluk agama tertentu sahaja.
Menurut fahaman ini, semua penganut agama yang berbeza berhak kepada syurga kerana agama yang ada hanyalah jalan yang berbeza menuju titik kebenaran yang sama. Padahal setelah datangnya Islam, agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT hanyalah agama Islam. Ini jelas bahawa Islam tidak pernah mengiktiraf agama lain juga benar sebagaimana kebenaran yang ada pada Islam. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah yang mengakui hanya Islamlah satu-satunya agama yang benar,
“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam”[TMQ Ali Imran (3):19].
Memang benar bahawa kewujudan agama-agama selain Islam diakui oleh Islam dan orang-orang kafir dibiarkan bebas menganut agama mereka, tetapi ini tidak bermaksud bahawa agama yang mereka anuti adalah benar kerana Allah SWT tidak akan pernah menerima agama lain selain Islam sebagaimana firmanNya,
“Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi” [TMQ Ali Imran (3):85].
Idea Pluralisme Suatu Ancaman
Inilah hakikat idea pluralisme agama yang dipropagandakan di seluruh dunia Islam melalui pelbagai bentuk dan cara sebagai strategi Barat untuk menanamkan pemahaman palsu dalam minda umat Islam. Mereka mempengaruhi umat Islam agar meyakini bahawa agama lain juga membawa kebenaran. Ini sesuatu yang amat membimbangkan apabila ada dalam kalangan umat Islam yang telah terpengaruh dengan fahaman ini sehingga ke tahap berusaha mencari titik temu antara agama-agama yang ada kerana kesemua agama dianggap benar dalam rangka untuk bertoleransi di antara satu sama lain.
Dari idea pluralisme inilah, maka lahir pelbagai gagasan lainnya sebagai usaha ke arah mewujudkan toleransi beragama seperti dialog antara agama, doa bersama, perayaan bersama dan sebagainya. Di Malaysia, dukungan dan polisi pemerintah yang mengatasnamakan demokrasi dan hak asasi manusia telah menyemarakkan lagi penyebaran idea pluralisme di tengah-tengah masyarakat. Inilah sekilas fakta yang menjadi faktor munculnya gagasan pluralisme agama ini yang memberikan impak yang besar iaitu merosakkan kefahaman sekaligus melemahkan akidah umat Islam dengan mengakui bahawa semua agama adalah sama dan benar belaka.
Menurut unit kajian dan pembangunan Multiracial Reverted Muslims (MRM), aktiviti penyebaran fahaman pluralisme agama atau penerimaan agama-agama yang pelbagai kini dikesan kembali aktif di negara ini. Hasil penyelidikan mereka mendapati kini terdapat tidak kurang daripada 40 ajaran agama baharu dan kumpulan dari luar negara yang telah bertapak di Malaysia. Presidennya, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung yang merupakan seorang pendakwah bebas berkata, berdasarkan kajian tersebut kumpulan-kumpulan ajaran agama itu telah menubuhkan persatuan dan bergerak melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di samping menyebarkan fahaman mereka. Beliau berkata, mereka juga memiliki banyak kerjasama yang erat antara pertubuhan-pertubuhan bukan Islam yang lain dan saling menyokong antara satu sama lain. Menurutnya, pemerhatian yang dilakukan oleh pihaknya ke atas salah satu pertubuhan bermula sejak tahun 2018 setelah mendapati banyak program rentas agama dianjurkan seperti majlis berbuka puasa bersama penganut agama lain dan juga program interfaith dialogue.Terdahulu, Firdaus menerusi Facebook peribadi serta Facebook page beliau mendedahkan aktiviti pertubuhan itu yang dilihat mempromosikan persamaan bahawa semua agama adalah sama dan ia jelas bercanggah dengan akidah agama Islam (Sinar Harian Online, 10/08/2020).
Selain itu, idea pluralisme juga memicu ke arah pertambahan kes-kes murtad di negara ini. Sekalipun tidak ada statistik yang tepat tentang jumlah sebenar Muslim yang murtad di Malaysia, namun berdasarkan kes yang dilaporkan oleh media massa dan yang telah diputuskan oleh mahkamah, gejala ini amat membimbangkan dan perlu dibendung penularannya. Tambahan pula, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyifatkan isu murtad sebagai virus paling bahaya yang tidak boleh diletakkan sebagai persoalan peribadi dan kepercayaan konflik sahaja. Sebelum ini, video klip pengakuan murtad seorang lelaki disyaki berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian berstatus Pastor telah tular di media social. (Sinar Harian Online, 07/04/2020).
Pluralisme Dilindungi Demokrasi
Fahaman pluralisme semakin rancak disebarkan golongan tertentu dalam mempromosikan idea ini malah golongan ini semakin berani menggencarkan aktivitinya dalam meracuni pemikiran dan merosakkan akidah umat Islam. Penyebaran idea pluralisme di negara kita sangat membimbangkan kerana ia menjadi racun yang menyusup masuk ke dalam komuniti masyarakat dengan cara halus sekiranya tidak ditangani dengan segera. Perkara ini pasti mendatangkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat kerana fahaman pluralisme ini bukanlah perkara baharu tetapi telah sekian lama bertapak di tengah-tengah masyakat tanpa kita sedari. Ini kerana kerajaan hari ini sebagaimana kerajaan terdahulu, terbentuk atas kerangka sistem demokrasi. Maka segala pemikiran dan fahaman yang ada adalah merupakan manifestasi daripada penerapan sistem demokrasi yang berasaskan prinsip sekularisme yang memperjuangkan empat prinsip kebebasan iaitu kebebasan beragama/berakidah, kebebasan bertingkahlaku, kebebasan berpendapat dan kebebasan kepemilikan. Pluralisme pula adalah terbitan daripada prinsip kebebasan beragama/berakidah yang dijamin oleh hak asasi manusia yang akan melindungi fahaman ini.
Oleh yang demikian, fahaman pluralisme ini akan terus bebas menyebarkan racunnya selagi amalan demokrasi terus digenggam dan dipertahankan di negara ini. Walaupun pelbagai usaha telah dicurahkan untuk mengekang penyebaran fahaman pluralisme ini oleh pihak berwajib, namun pastinya akan berhujung dengan kegagalan sekiranya punca permasalahan ini tidak dihapuskan iaitu penerapan sistem demokrasi itu sendiri.
Justeru, kita yang menjadi sebahagian daripada umat Islam di negara ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam membanteras penyebaran fahaman pluralisme. Kita wajib menyedarkan umat Islam betapa segala permasalahan ini jelas bertentangan dengan Islam dan seharusnya ditangani dengan Islam juga. Syariat Allah mempunyai penyelesaian yang tuntas yang dapat membanteras masalah tersebut sehingga ke akar umbi, bukannya hanya bersifat sementara dan tidak membekas seperti yang dilakukan oleh pemerintah di negara ini. Perkara utama yang perlu kita lakukan adalah kembali kepada penerapan Islam secara kaffah meliputi segenap aspek kehidupan.
Khilafah adalah Penjaga Akidah Umat
Sesungguhnya, akidah adalah perkara asas yang dimiliki oleh setiap individu yang mengaku dirinya seorang Muslim. Akidahlah yang akan menjadi benteng dan menentukan jati diri Muslim sehingga dengan akidah jugalah yang akan menentukan kehidupannya di akhirat kelak sama ada mendapat kebahagiaan di syurga Allah atau sebaliknya.
Di sini, Islam telah menetapkan bahawa menjaga akidah adalah tanggungjawab seluruh kaum muslimin yang masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawabnya bermula daripada diri sendiri yang akan sentiasa menjaga imannya, ketua keluarga yang akan memastikan iman anggota keluarga terpelihara dan seterusnya anggota masyarakat yang akan melakukan amar makruf nahi mungkar serta mempunyai kewajipan untuk mendakwahkan Islam di tengah-tengah umat, membangun keimanan dan kesadaran bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar dan diredhai Allah.
Namun begitu, persoalannya adakah cukup hanya dengan diri sendiri, keluarga dan anggota masyarakat sahaja yang memainkan peranan dan tanggungjawab? Pastinya tidak mencukupi. Ini kerana peranan dan tanggungjawab utama seharusnya dipikul oleh pemilik kekuasaan dalam sesebuah negara iaitu Pemerintah. Ini adalah kerana pemerintahlah yang akan menjadi perisai kepada umat dalam segala aspek kehidupan. Dalam isu pluralisme ini, pemerintah yang akan menguatkuasakan undang-undang untuk melarang penyebaran fahaman ini secara total dan menjatuhkan hukuman kepada pelakunya kerana individu dan kelompok masyarakat tidak memiliki kuasa (authority) tersebut. Pemerintahan yang mampu melaksanakannya adalah Khilafah yang akan menerapkan syariat Islam secara kaffah. Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu (laksana) perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” [HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad]
Hakikatnya penjagaan akidah adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak seharusnya dipandang mudah dan remeh. Oleh sebab itulah institusi Khilafah akan menjalankan strateginya melalui mekanismenya seperti; Pertama,perkara paling asas dan penting adalah Khilafah akan menanamkan asas akidah Islam. Ini dilakukan baik melalui kurikulum-kurikulum pendidikan yang terfokus kepada anak-anak dan generasi muda mahupun pembinaan umum pada masyarakat dengan sentiasa mendakwahkan Islam agar iman Islam sentiasa subur dalam diri mereka dan sentiasa terpelihara.
Kedua, Khilafah juga akan melarang segala bentuk dakwah atau penyebaran ajaran selain Islam. Ini dilakukan baik secara langsung mahupun melalui media massa. Sebaliknya, Khilafah akan menjadikan media massa sebagai sarana untuk dakwah Islam, menguatkan iman, mengajarkan dan memahamkan Islam kaffah kepada umat.
Khatimah
Demikianlah, komitednya Khilafah yang akan sentiasa menjaga, melindungi dan mewaspadai akidah umat Islam sepanjang masa. Tanpa Khilafah, bukan sahaja akidah bahkan permasalahan umat akan sentiasa berlaku silih berganti tanpa penghujungnya sehinggalah penerapan syariat Islam kaffah dalam bingkai Khilafah berjaya ditegakkan atas usaha dan perjuangan kita dalam mengembalikan semula Khilafah.
Oleh itu, sekarang bukanlah masanya untuk kita berdiam diri dan hanya membiarkan fahaman pluralisme ini terus bermaharajalela beredar di sekeliling kita. Apa yang wajib kita lakukan adalah terus-menerus menyeru para pemeluk agama lain untuk memeluk Islam sebagai satu-satunya agama yang benar yang akan menyelamatkan mereka dari azab Allah SWT. Sesungguhnya tiada istilah persamaan di antara agama Islam dengan agama selain Islam di dunia ini kerana agama yang benar hanyalah Islam. Pada hakikatnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama lain tersebut hanyalah untuk mengalihkan keyakinan umat Islam kepada keyakinan mereka yang jelas sesat dan tidak akan diterima selama-lamanya oleh Allah SWT. Selagi mereka tetap terus berada di dalam agamanya, maka nerakalah tempat kembali mereka buat selama-lamanya sebagaimana firman Allah SWT,
“Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk”[TMQ al-Baiyyinah (98):6].
Wallahu ‘alam bissowab.
Sumber rujukan:
- Al-Quran Al Karim;
- https://mykhilafah.com/sn205-agama-baru-itu-bernama-pluralisme/
- http://muslimahhtm.blogspot.com/2020/12/menolak-pluralisme-agama.html#more
- https://mykhilafah.com/sn062-pluralisme-agama-jerat-makan-tuan/
- https://www.muslimahnews.com/2020/12/25/mewaspadai-pluralisme-berkedok-kerukunan-beragama
- https://www.sinarharian.com.my/article/95923/BERITA/Nasional/Fahaman-pluralisme-bertapak-di-Malaysia
- https://www.sinarharian.com.my/article/77708/BERITA/Nasional/Murtad-virus-paling-bahaya