Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf, Lautan Ilmu dari Madinah
Ketakwaan ibu bapa akan menjadikan anaknya berkeperibadian mulia. Bibit yang baik akan menumbuhkan tunas yang baik juga. Sistem yang baik akan melahirkan generasi yang cemerlang.
Sistem kehidupan Islam yang dibangun oleh Rasulullah di Madinah telah berjaya mencetak generasi-generasi terbaik penerus para Sahabat. Di antaranya adalah anak lelaki Sahabat Nabi SAW, Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf ra.
Abu Salamah adalah anak lelaki Abdurrahman bin Auf, seorang Sahabat Rasulullah yang kaya-raya. Nasabnya secara lengkap adalah Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf bin Abdi Auf bin Abdi bin Harits bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab al-Quraisy az-Zuhri al-Hafizh.
Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A’lamin Nubala’nya menempatkan beliau pada tingkat kedua dalam jajaran era Tabiin. Beliau merupakan ulama Madinah. Ada yang mengatakan bahawa nama sebenarnya adalah Abdullah atau Ismail. Beliau dilahirkan pada sekitar tahun 20-an Hijriah. Beliau hanya meriwayatkan sedikit hadis dari ayahnya kerana sang ayah terlebih dahulu meninggal dunia ketika Abu Salamah masih kecil.
Peribadi Abu Salamah
Umar bin Abdul Aziz menjelaskan peribadi Abu Salamah sebagai penuntut ilmu yang fakih dan mujtahid yang memiliki kemampuan untuk berhujah dengan sangat baik. Imam Malik berkata, “Di antara kami, ada yang dikenali sebagai ahli ilmu. Nama salah seorang di antaranya adalah Abu Salamah.”
Abu Salamah juga dikenali sebagai salah seorang dari 4 orang Quraisy yang diibaratkan sebagai lautan ilmu. Mereka adalah Urwah, Ibnu al-Musayyab, Abu Salamah dan Ubaidillah bin Abdullah.
Abu Salamah sempat meriwayatkan hadis dari beberapa orang Sahabat Nabi SAW. Antaranya adalah dari Usamah bin Zaid, Abdullah bin Salam, Abu Ayyub, Aisyah, Ummu Salamah, Ummu Sulaim, Abu Hurairah dan ramai lagi.
Abu Salamah suka mengembara untuk menuntut dan menyampaikan ilmu. Walaupun bersungguh-sungguh menuntut ilmu, beliau merupakan seorang yang selalu berwajah ceria.
Ketika Abu Salamah tiba di kota Bashrah, seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah bin Abi Ya’kub terpesona dengan keceriaan wajahnya sehinga dia berkata, “Wajah Abu Salamah seperti mata wang dinar.”
Abu Salamah juga merupakan seorang yang rendah hati. Suatu ketika, Abu Salamah berjalan bersama dua sahabatnya. Ketika beliau ditanya tentang siapa orang di zaman itu yang paling berilmu, Abu Salamah diam sejenak lalu menjawab, “Salah seorang dari kalian berdua.”
Hadis yang Diriwayatkan
Di antara hadis yang diriwayatkan oleh Abu Salamah adalah hadis dari Abu Hurairah yang berbunyi, “Janganlah memperkuat (tekad) untuk melakukan perjalanan kecuali pada tiga masjid: Masjidku ini (Masjid Nabawi), Masjidil Haram (di Mekah) dan Masjidil Aqsa (di Jerusalem).”
Hadis lain yang bersumber dari Abu Salamah dari jalur Qatadah bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Melihat itu dari Allah dan bermimpi itu dari syaitan. Ketika salah satu dari kalian bermimpi buruk, hendaklah dia meludah ke kiri sebanyak tiga kali dan ber-taawuz (berlindunglah) pada Allah dari keburukannya. Maka hal itu tak akan membahayakannya.”
Abu Salamah menjadi hakim di Madinah ketika Sa’id bin Ash memegang jawatan sebagai gabenor Madinah. Beliau menjadi qadhi Madinah sehingga Sa’id tidak lagi memegang jawatan sebagai gabenor kota itu pada tahun 54 Hijrah. Abu Salamah meninggal dunia di Madinah pada tahun 94 Hijriah ketika berusia 72 tahun semasa pemerintahan Al Walid.
Seorang ulama bernama Ibrahim bin Qarizh menemui Abdul Aziz seorang Gabenor Mesir yang menurutnya tidak mengambil ilmu dari Abu Salamah. Ibrahim berkata, “Engkau telah meninggalkan dua orang lelaki yang paling arif tentang hadis iaitu Urwah dan Abu Salamah.”
Khatimah
Sangat jarang dapat kita temukan peribadi mulia di dalam sistem sekular kapitalis saat ini. Tetapi jika kita semak lembaran sejarah Islam, peribadi seperti ini sangat banyak dapat kita temukan.
Ini menunjukkan bahawa sistem Islam telah berjaya membentuk karakter unggul di masa keemasannya. Jika kita mahu mengembalikan masa kejayaan Islam, maka kita perlu mengikuti bagaimana generasi terdahulu meraihnya. Di antaranya adalah dengan bercermin pada keteladanan mereka.
Banyak teladan yang boleh diambil dari Abu Salamah. Beliau digelar sebagai lautan ilmu di kalangan para Tabiin. Beliau juga dipercayai untuk menjadi hakim di Madinah dan kerendahan hatinya yang luar biasa walaupun kaya dengan ilmu.
Ibarat padi, makin berisi semakin menunduk. Begitulah sepatutnya para penuntut ilmu. Semakin berilmu, sepatutnya semakin tawaduk. Semoga kita boleh mengambil hikmah dari kisah ini dan memotivasikan diri agar sentiasa dahaga dengan ilmu. Dengan ilmu tersebut, kita sama-sama sebarkan untuk membangun peradaban Islam.
Sumber : https://www.muslimahnews.com
#dakwahislam
#AbuSalamah
#Ulama
#LautanIlmu