Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
Rasulullah SAW bersabda,
«مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي اْلأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ اْلأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ»
“Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, Allah akan memperjalankannya di atas salah satu jalan Syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap mereka kerana redha kepada para penuntut ilmu. Sesungguhnya seorang alim itu dimintakan keampunan oleh makhluk yang ada di langit dan di bumi sehingga ikan yang ada di dasar lautan. Sesungguhnya keutamaan seorang alim atas seorang abid (ahli ibadah) adalah seperti keutamaan bulan purnama atas seluruh bintang-bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham melainkan ilmu. Kerana itu, siapa saja yang mengambilnya, ia telah mengambil bahagian yang besar.” (HR Abu Dawud, Ibn Majah, at-Tirmidzi, Ahmad, ad-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibn Hibban)
Sanad Hadis
Abu Dawud meriwayatkan hadis ini dari Musaddad bin Musarhad. Ibn Majah dan ad-Darimi meriwayatkannya dari Nashr bin Ali al-Jahdhami. Ibn Hibban meriwayatkannya dari Muhammad bin Ishhaq ats-Tsaqafi, dari Abdul A‘la bin Hamad. Al-Baihaqi meriwayatkannya dari Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf al-Ashbahani, dari Abu Said Ahmad bin Muhammad bin Ziyad al-Bashri, dari Abu Ya‘la as-Siyaji. Imam Ahmad meriwayatkannya dari Muhammad bin Yazid, dari Ashim bin Raja’ bin Haywah. At-Tirmidzi meriwayatkannya dari Mahmud bin Khidasy al-Baghdadi, dari Muhammad bin Yazid al-Wasithi. Semuanya berasal dari penuturan Abdullah bin Dawud, dari Ashim bin Raja’ bin Haywah, dari Dawud bin Jamil, dari Katsir bin Qais, yang bersumber dari Abu Darda’.
Makna Hadis
“Man salaka tharîqan yathlubu fîhi ’ilm[an] salakallâh bihi tharîq[an] min thuruq al-Jannah.” Perkataan “tharîq[an]” dan “‘ilm[an]” dinyatakan dalam bentuk nakîrah (indefinitif). Hal itu adalah untuk mencakupi semua jenis jalan yang boleh menghantarkan kepada diraihnya ilmu-ilmu agama dan juga untuk mencakupi tahapan dalam hal itu, baik sedikit mahupun banyak.
Frasa “salakallâh bihi” maksudnya adalah sahhalallâh lahu (Allah memudahkan untuknya). Maksudnya, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Perkara itu boleh terjadi di akhirat atau di dunia saat Allah memberikannya taufik untuk melakukan amal-amal soleh yang boleh membawa dia ke syurga-Nya. Ini merupakan basyarah, bahawa orang yang menuntut ilmu agama akan dimudahkan untuk menguasainya. Frasa ini merupakan dorongan untuk menuntut ilmu-ilmu agama.
“Inna al-Malâikah…li thâlib al-‘ilm,” membawa maksud, para malaikat menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya. Hal itu adalah kerana para malaikat redha dan menyukai apa yang diperbuat oleh penuntut ilmu itu.
“Wa inna al-‘âlim layastaghfiru lahu … fî al-mâ’.” Al-Khathabi menjelaskan bahawa Allah mengilhamkan kepada ikan dan haiwan-haiwan agar memohonkan ampunan untuk para ulama. Ini merupakan majas untuk memuji baiknya aktiviti para ulama dan kelemahlembutan mereka.
“Inna fadhla al-‘âlim (keutamaan seorang alim),” iaitu orang yang sibuk menyebarkan ilmu serta melaksanakan amal ibadah yang dharûrî saja, iaitu yang wajib dan sunat muakad. “‘Alâ al-‘âbid (atas seorang ahli ibadah),” adalah orang yang menghabiskan lebih banyak waktunya untuk menunaikan amalan sunat dan ia hanya menuntut ilmu yang dharûrî atau asas saja.
“Kafadhli al-qamar laylah al-badri ‘alâ sâ’ir al-kawâkib (seperti kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang-bintang).” Diumpamakan demikian kerana kesempurnaan, cahaya dan manfaat ibadah seorang ahli ibadah hanya terbatas untuk dirinya sendiri. Hal itu seperti bintang-bintang yang bersinar tetapi sinarnya tidak menerangi bumi.
Sebaliknya, kesempurnaan, cahaya dan manfaat ilmu seorang alim, selain untuk dirinya sendiri, juga sampai kepada orang lain yang ada di sekitarnya bahkan yang sangat jauh darinya. Hal itu seperti bulan yang bersinar dan sinarnya menerangi segenap bumi.
Ini juga mengisyaratkan bahawa kesempurnaan, cahaya dan manfaat ilmu itu bukan ilmu yang datang dari diri ulama itu sendiri, melainkan ilmu yang ia ambil dari ilmu yang diwariskan Nabi SAW. Dan ia diibarat sebagai bulan yang mendapatkan sinar untuk menerangi bumi itu dari matahari.
“Wa inna al-ulamâ’ waratsah al-anbiyâ’.” Menurut al-Hafizh Ibn Hajar, ia membawa maksud orang yang mewarisi, menempati kedudukan yang diwarisi berserta hukum pada posisi yang ia gantikan. Maksudnya, ulama menggantikan peranan dan tugas para nabi, iaitu dengan mengemban misi penyampaian dan penyebaran risalah Islam.
“Wa inna al-anbiyâ’ lam yuwarritsû dînâr[an] wa la dirhâm[an].” Dinar dan dirham (kekayaan) merupakan bentuk warisan pada umumnya. Namun, para nabi tidak mewariskan itu. Hal itu menunjukkan bahawa para nabi tidak mangambil dunia kecuali dalam kadar keperluan dharûriyah mereka sehingga mereka tidak mewariskan sesuatu pun dari dunia itu. Ini juga mengisyaratkan bahawa ulama pewaris para nabi itu tidak mengkedepankan dunia sebagaimana juga para nabi yang mereka warisi.
“Warratsû al-‘ilma,” membawa maksud, yang diwariskan para nabi itu tidak lain adalah ilmu, yang bertujuan untuk menampakkan Islam dan menyebarkan hukum-hukumnya. Abu Hatim berkata, “Tidakkah anda memperhatikan beliau bersabda, ‘Ulama adalah pewaris para nabi dan para nabi tidak mewariskan apa-apa kecuali ilmu.’ Ilmu Nabi SAW adalah sunnahnya. Kerana itu, siapa saja yang meninggalkan sunah Nabi SAW, ia bukanlah pewaris para nabi.”
“Fa man akhadzahu akhadza bi hazhzhin wâfirin.” Ba’ di sini adalah tambahan untuk menyatakan penekanan (li ta’kîd). Maksudnya, siapa saja yang mengambil ilmu warisan nabi, ia mengambil bahagian besar atau secara sempurna; maksudnya mengambil dan mempraktikkan bahagian besar dari warisan nabi. “akhadza” di sini boleh juga bermakna perintah. Ia bermaksud, siapa saja yang ingin mengambil ilmu warisan nabi, hendaknya tidak tanggung-tanggung dan mengambil bahagian besarnya atau secara sempurna.