Haramnya Pembunuhan Tanpa Hak
Termasuk salah satu hukum Islam yang paling menonjol yang telah diketahui adalah pengharaman terhadap pembunuhan tanpa hak. Pengharaman pembunuhan telah ditetapkan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.
Adapun dalil dari al-Quran, Allah ﷻ berfirman (yang bermaksud):
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas.” [TMQ al-Isrâa’ (17): 33]
“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja.” [TMQ an-Nisâa’ (4): 92]
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” [TMQ an-Nisâa’ (4): 93]
Ayat-ayat ini bersifat qath’ie (pasti) baik tsubût (sumber) dan dalalah (konotasi makna)-nya di dalam pengharaman pembunuhan. Kerana itu, haramnya pembunuhan termasuk hukum-hukum yang bersifat qath’ie.
Adapun dalil dari as-Sunnah, di antaranya riwayat dari Ibnu Mas’ûd berkata, “Rasulullah SAW telah bersabda,
“Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan bahawa aku adalah utusan Allah, kecuali kerana salah satu dari 3 perkara: orang yang sudah menikah lalu berzina, jiwa dibalas dengan jiwa, dan orang yang meninggalkan agamanya serta memisahkan diri dari jemaah.” (HR. Bukhari & Muslim)
Dari ‘Âisyah ra dari Nabi SAW, bahwaa Baginda SAW pernah bersabda,
“Tidak halal membunuh seorang Muslim kecuali dalam salah satu dari 3 keadaan: penzina muhshan lalu direjam, seorang lelaki yang membunuh seorang Muslim dengan sengaja, dan seorang lelaki yang keluar dari Islam lalu memerangi Allah ﷻ dan Rasul-Nya.” (HR. An-Nasa`i)
Ini adalah nas yang jelas bagi pengharaman pembunuhan. Kerana itu, pembunuhan adalah haram. Keharamannya termasuk perkara yang diketahui secara pasti sebagai bahagian dari agama (ma’lûmun minad-dîn bidh-dharûrah).
Sumber: “Nizhâm al-‘Uqûbât” – Abdurrahman al-Maliki
#Keadlilan #SistemHukuman #SistemPengadilan