Hukum Islam Tidak Boleh Fleksibel
Dewasa ini, sebahagian besar umat Islam memiliki keyakinan bahawa Islam itu fleksibel, lentur dan sentiasa menyesuaikan diri mengikuti perkembangan sosial, ekonomi, serta politik di setiap zaman dan tempat. Mereka menganggap hukum Islam akan terus berkembang agar sesuai dengan tuntutan zaman moden serta apa yang sudah menjadi kebiasaan manusia saat ini.
Mereka merasakan Islam mesti diregangkan agar dapat menerima perkara-perkara yang dianggap maslahat atau tuntutan zaman, kerana mereka menganggap Islam itu lentur. Bahkan, mereka mendakwa bahawa sebahagian hukum Islam sudah tidak relevan lagi kerana tidak sesuai dengan zaman sekarang. Pola fikir seperti ini terus berkembang dan melekat kuat dalam minda kebanyakan Muslim, walaupun idea ini sepenuhnya bertentangan dengan Islam.
Sebenarnya, sumber hukum Islam hanyalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Daripada dua sumber ini, pelbagai solusi diperoleh untuk menyelesaikan masalah manusia dan menyelesaikan perselisihan. Persoalannya, adakah zaman dan tempat itu termasuk al-Quran atau sunnah? Atas dasar apakah manusia boleh mengatur berdasarkan tuntutan zaman dan tempat, sedangkan Allah ﷻ telah mewajibkan agar setiap kenyataan diatur dengan hukum-hukum yang digali dari al-Quran dan sunnah?
Apabila menyelesaikan sesuatu masalah, syariat Islam menghendaki kita meneliti terlebih dahulu fakta-fakta perkara tersebut, kemudian mencari hukum Allah ﷻ di dalamnya dengan cara menggali dari al-Quran dan sunnah, atau dari sumber yang telah disahkan oleh kedua-duanya (Ijmak Sahabat dan Qiyas). ini bermakna realiti masyarakat perlu dipelajari dahulu secara teliti, kemudian penyelesaiannya perlu dicari menggunakan hukum Allah ﷻ. Masalah tersebut mesti diselesaikan secara asasnya berdasarkan ideologi Islam, tanpa mempedulikan standard atau keadaan yang menyalahi syariat. Semua perkara yang bertentangan dengan Islam perlu dihapuskan, dan setiap apa yang diperintahkan oleh Islam mesti ditegakkan dan dilaksanakan.
Jadi, realiti itu mesti terikat dengan perintah dan larangan Allah ﷻ. Umat Islam tidak boleh menyesuaikan diri dengan keadaan zaman dan tempat mereka, tetapi mereka mesti mengatur keadaan tersebut dengan al-Quran dan sunnah Rasul-Nya ﷺ.
Sumber: “Al-Fikr al-Islâmiy” – Muhammad Muhammmad Ismail
#PemikiranIslam #HukumIslam #SyariatIslamSepanjangZaman