Oleh: Hidayah Muhammad (Aktivis MHTM)
Muqaddimah
Bulan Rabi’ul awal cukup dekat dengan hati umat Islam.Bulan di mana junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dilahirkan dan diraikan setiap tahun sebagai hari Maulidur Rasul. Nabi SAW dilahirkan di Mekah, pada Isnin 12 rabi’ul Awal tahun Gajah. (Rawwas Qal’ahji, sirah Nabawiyah, Ibnu Qayim, Zad al-Ma’ad, 1/28).
Sebagai umat baginda, tentulah kita ingin melakukan perghormatan sekaligus menzahirkan rasa cinta kita kepada baginda. Cara yang terbaik untuk merealisasikannya adalah menjadikan baginda sebagai suri teladan. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [TMQ: al-Ahzab (33): 21].
Imam Ibnu Katsir menyatakan, “ayat ini merupakan landasan pokok menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam ucapan, perbuatan dan semua peribadi yang ada pada Rasulullah” (Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya 3/483). Maka wajib bagi umat Islam untuk meneladani Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan, bukan hanya aspek-aspek tertentu, dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.
3 Sebab Mengapa Umat Islam Wajib Meneladani Rasulullah SAW
Pertama, meneladani Rasulullah SAW merupakan refleksi keimanan kepada Allah SWT, al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Seseorang tidak dikatakan beriman sehingga dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim untuk memutuskan segala persoalan mereka. Imam Ibnu Katsir rahimahullah, dalam menafsirkan surah an-Nisa’ ayat 65 menyatakan,
“Allah SWT bersumpah dengan mengatasnamakan diriNya sendiri yang Maha Mulia dan Maha Suci, sesungguhnya seseorang belumlah beriman secara sempurna sehingga dia berhakim kepada Rasulullah SAW dalam segala urusan. Semua yang Rasulullah SAW putuskan merupakan kebenaran yang wajib diikuti baik zahir dan batin. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman (tsumma laa yajiduu fii anfusihim harajan mimmaa qadlaita wa yusallimuu tasliimaa) yang bermaksud jika mereka telah berhakim kepadamu (Muhammad), mereka wajib mentaatimu (mentaati keputusan yang dibuat oleh Nabi SAW) dalam batin-batin mereka; dan mereka tidak ragu-ragu dalam diri mereka atas apat yang telah kamu putuskan; dan selalu mengikutinya (keputusan Nabi SAW tersebut) baik zahir cmahupun batin. Kemudian mereka berserah diri kepada itu (keputusan Nabi SAW), dengan penyerahan diri yang bersifat utuh, tanpa ada penolakan sedikit pun dan tanpa ada penyelisihan sedikitpun”.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih, Nabi SAW bersabda, “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, sesungguhnya seseorang diantara kalian belumlah beriman hingga hawa nafsunya tunduk dengan apa yang aku bawa” [Ibnu Katsir, Tafsiir al-Quran al-Adziim, juz 2/347].”
Makna ‘menjadikan’ Nabi SAW sebagai hakim atas seluruh urusan adalah menjadikan keputusan baginda (syariat Islam) sebagai satu-satunya rujukan untuk menyelesaikan masalah kehidupan, baik merangkumi masalah individu, masyarakat mahupun negara.
Kedua, meneladani Nabi SAW merupakan syarat agar amal perbuatan seseorang diterima dan diredhai Allah SWT. Perbuatan yang sejalan dengan sunnah Nabi SAW diterima, sedangkan yang bertentangan dengannya ditolak. Imam Ibnu Katsir menyatakan,
“perbuatan-perbuatan itu ditimbang dengan perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW. Apa yang sejalan dengan sunnah Rasul diterima, sedangkan apa yang bertentangan dengannya maka tertolaklah atas orang yang berkata dan berbuat demikian”.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang mengerjakan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan itu tertolak.”
Ini bermakna sesiapa sahaja hendaklah berhati-hati dan takut menyalahi syariat Rasulullah SAW secara zahir mahupun batin. [an tushiibahum fitnah] : iaitu (dia akan tertimpa) fitnah di hati mereka; mulai terkena kekufuran, kemunafikan, atau bid’ah. [au yushiibahum ‘adzaabun ‘alim]: iaitu terkena hukuman di dunia; mulai dari terkena had, penjara atau dibunuh” [Ibnu Katsir, tafsir al-Quran al-Adziim, Qs. An-Nur (24): 63].
Ketiga, meneladani Nabi SAW atau mengikuti syariat baginda merupakan jalan untuk meraih kecintaan Allah SWT. Seseorang tidak berhak mencintai dan dicinta Allah SWT sehingga dia mengikuti syariat Nabi SAW baik zahir mahupun batin. Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan surah ali-Imran ayat 31, menyatakan,
“ayat yang mulia ini adalah pemutus bagi siapa sahaja yang mengaku mencintai Allah SWT, namun dia tidak berjalan di atas jalan Nabi Muhammad SAW; maka dia telah berdusta dalam pengakuan itu sehinggalah dia mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW dan agama Nabi SAW dalam seluruh perkataan dan perbuatannya”.
Seperti yang ditetapkan dalam hadis sahih dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda, “Barangsiapa mengerjakan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan itu tertolak”” [Ibnu Katsir, tafsir al-Quran al-Adziim, QS. Ali-Imran (3): 30].
Dakwah Rasulullah SAW
Islam adalah agama yang Allah SWT turunkan kepada Rasulullah SAW bukan hanya sebagai sekadar agama yang dianuti tetapi sebagai satu mabda (cara hidup) untuk diamalkan, didakwahkan dan diterapkan dalam kehidupan umat Islam. Cara hidup ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sepanjang hidup baginda sebagai seorang Muslim, pendakwah dan pemimpin.
Dakwah Rasulullah SAW bermula dalam konteks akidah dengan menyeru manusia untuk mengesakan Allah SWT, Rasulullah menentang kesesatan akidah masyarakat jahiliyah yang menyembah patung berhala. Ketika itu, orang-orang Quraisy tidak ambil kisah dengan apa yang Rasulullah SAW lakuka kerana bagi mereka apa yang Rasulullah bawa (Islam) sama seperti agama-agama ajaran nenek moyang terdahulu.
Namun bila Rasulullah mula bangkit menentang adat istiadat dan kebiasaan-kebiasaan mereka yang rosak seperti kepercayaan-kepercayaan khurafat, memandang rendah wanita dan anak perempuan, suka menipu dalam timbangan, bertransaksi dengan riba, suka berbalah demi untuk mempertahankan kabilah masing-masing dan lain-lain, orang-orang Quraisy mula rasa tidak senang dengan apa yang Rasulullah SAW lakukan.
Maka bermulalah episod siksaan, celaan dan makian daripada orang-orang Quraisy terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga ada yang mahu membunuh beliau. Begitu juga para sahabat RA, ada yang dibunuh dan disiksa dengan kejam. Namun semua itu tidak melemahkan iman mereka bahkan keimanan mereka semakin bertambah kuat.
Penyiksaan itu tidak menjadi sebab untuk Rasulullah berhenti menyebarkan Islam tetapi baginda terus mencuba sedaya upaya untuk menjadikan Islam bukan hanya sekadar agama yang mengajarkan ibadah-ibadah ritual semata bahkan pengaturan tentang kehidupan baik dalam konteks individu malah dalam konteks negara.
Rasulullah SAW meneruskan perjuangan baginda sehingga syariat Islam diterapkan secara kaffah di Madinah. Itulah hasil daripada dakwah baginda selama 13 tahun di Mekah diikuti dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Dengan bangkitnya sebuah negara Islam pertama di Madinah al-Munawarah, itulah bukti bahawa Rasulullah juga telah menunjukkan contoh sistem pemerintahan dan stukrtur negara dalam Islam.
Sistem itulah yang diteladani oleh para Khulafahur Rasyidin, Kekhilafan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah sehinggalah pemerintahan Bani Utsmaniyah. Sepanjang pemerintahan Islam itu, syariat Islam diterapkan lebih 1300 tahun dan menjadi penjaga bagi umat Islam dan penyebaran risalah Islam semakin meluas sehingga memasuki negara-negara Eropah.
Realiti Umat Islam Pada Hari Ini
Setelah kekhilafahan Utsmaniyah diruntuhkan pada 3 Mac 1924 hasil perancangan Barat, umat Islam kehilangan junnah (perisai) dan kehidupan umat Islam diatur pula dengan hukum kufur dan negeri mereka dipecah-pecahkan. Umat Islam dizalimi, ditindas dan diperangi tanpa ada pembelaan.
Tidak cukup dengan itu, kerosakan sosial semakin membimbangkan. Pemikiran-pemikiran asing seperti liberalisme membelenggu cara hiduo umat Islam dan ekonomi yang berasaskan sistem kapitalisme telah menjadikan riba sebagai perkara yang sebati dalam kehidupan umat Islam.
Begitu juga dalam konteks politik apabila konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ menjadi pegangan para ahli politik hasil daripada sistem pemerintahan demokrasi dari Barat yang mengangkat nilai-nilai kebebasan. Tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat pada hari ini sebagai masyarakat jahiliyah moden.
Lebih teruk dan mengecewakan lagi apabila ada gerakan Islam mahu mengembalikan semula kehidupan Islam seperti mana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW, gerakan tersebut dihalang oleh pihak berkuasa. Jabatan agama juga tidak terlepas daripada komplot untuk turut sama menghalang dakwah tersebut dengan menyebarkan fitnah tanpa melakukan tabbayun ke atas gerakan tersebut.
Khatimah
Sebagai renungan bersama, adakah kita benar-benar telah mencintai Rasulullah SAW, sedangkan dalam pada masa yang sama kita mengabaikan sunnah terbesar Rasulullah SAW iaitu membangkitkan umat dan menegakkan negara Islam? Adakah kita benar-benar mencintai baginda sedangkan dalam pada masa yang sama kita berdiam diri apabila hukum Islam tidak diamalkan dan tidak didakwahkan?
Oleh yang demikian, selawat dan ucapan selamat tidak cukup untuk membuktikan cinta kita terhadap Rasulullah sehinggalah kita berusaha membangkitkan umat mengikut cara Rasulullah SAW. Marilah bersama-sama mengerah segala daya dan usaha untuk mewujudknnya kembali negara Islam yang diwariskan oleh Rasulullah kerana itu juga kewajipan bagi seorang Muslim.
Waallahu A’lam
Rujukan
- Terjemahan al-Quran
- Ibnu Hisyam, sirah nabawi, jilid1, Darul Falah
- Prof Dr Muhammad Rawwas Qal’ahji, sirah nabawi sisi politik perjuangan Rasulullah SAW, al-Azhar press
- https:/m.facebook.com/mhtm1924/photos/meneladani/rasulullah-saw-dengan-menegakkan-syariat-dan-khilafahterjemahan-oleh-/787712981297256/