Kepercayaan akan kewujudan Allah sebenarnya adalah fitrah yang ada dalam diri manusia. Akal fikiran dengan sendirinya akan mendapat petunjuk tentang adanya Allah, dari adanya benda-benda atau sesuatu. Oleh itu, kita tidak menjumpai banyak ayat al-Quran yang membincangkan tentang adanya Allah. Kebanyakan ayat-ayat ini adalah yang mengajak untuk memperhatikan ciptaan-ciptaan Allah.
Maka, hendaklah manusia itu memperhatikan dari apa dia diciptakan. Dia diciptakan dari air yang memancar. [TMQ At-Thariq: 5-6]
Tidakkah mereka melihat bagaimana unta itu diciptakan. Kepada langit, bagaimana ia ditinggikan. Kepada gunung-gunung bagaimana ia ditancapkan. Kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan. [TMQ Al-Ghasyiyah: 17-20]
Namun, kebanyakan ayat tauhid dalam banyak surah menggunakan hujah logik (burhan aqli),
Kalau seandainya di langit dan bumi ada Tuhan selain Allah, nescaya kedua-duanya akan binasa. [TMQ Al-Anbiya: 21]
Jika kamu bertanya kepada mereka, Siapa yang menciptakan langit dan bumi, Yang menundukkan matahari dan bulan?, pasti mereka akan menjawab, Allah.’ [TMQ Luqman: 25]
Jika kamu bertanya kepada mereka, Siapa yang menurunkan air dari langit, kemudian dengan hujan itu Dia menghidupkan bumi setelah ia mati. Pasti mereka akan mengatakan, Allah.’ [TMQ Al-Ankabut: 63]
Jika kamu bertanya kepada mereka, Siapa yang menciptakan mereka. Pasti mereka akan mengatakan, Allah.’ [TMQ Az-Zukhruf: 87]
Al-Quran memberikan perhatian penuh kepada tauhid, kerana syirik kepada Allah adalah masalah umum yang menyebar ke seluruh umat manusia. Juga kerana bahaya syirik kepada Allah sentiasa ada setiap masa. Manusia selalu dihadapkan dengan kesyirikan kerana akal memang memahami adanya Allah melalui pancaindera, tetapi akal pun tidak dapat menzahirkan zat-Nya.
Oleh itu, manusia selalu beriman kepada Allah dan juga beriman bahawa mustahil dia dapat menjangkau zat-Nya. Sekiranya dia dapat menjangkau zat-Nya, pasti itu bukan Tuhan. Cuma kebanyakan orang tidak dapat menjangkau ruhiyah dan maknawiyah tersebut dengan bukti pancaidera (untuk mempercayai) adanya ruhiyah dan maknawiyah tadi dan kemudian cuba menggambarkan dengan bentuk tertentu untuk dapat mengenalinya.
Mereka kemudian menggambarkan bentuk Tuhan tadi dengan benda fizikal yang dapat mereka indera, maka dengan begitu dia telah jatuh dalam kesyirikan. Inilah yang selalu muncul dalam fikiran manusia sepanjang masa. Terutama jika kepercayaannya tidak dibina dengan hujah pancaindera. Tetapi hanya beriman dengan melalui perasaan.
Oleh itu, Islam mengukuhkan ketauhidan tersebut dengan pengukuhan yang jelas hingga anda tidak melangkah kemudian jatuh tersungkur dalam kesyirikan. Manusia tahu bahawa Allah itulah satu-satunya yang mesti disembah. Sebab Dialah satu-satunya Pencipta.
Sementara itu, anda pun menjumpai orang yang beriman kepada Allah tetapi tetap menyembah api, lembu, dan menyembah berhala. Padahal mereka mengakui adanya Allah, tetapi mereka menyekutukannya dengan Allah dalam beribadah. Dia juga tahu, bahawa doa agar semua keperluan itu hanya dikabulkan oleh Allah, tetapi sebenarnya dia meminta kepada orang-orang yang diyakini sebagai orang yang paling bertakwa dan taat. Padahal dia juga tahu, bahawa mereka yang dia minta itu adalah manusia, hamba Allah juga.
Dia juga tahu, bahawa Allahlah yang memberi kesembuhan dari penyakit. Dia jualah yang dapat menolak keghaiban serta melindungi dari keburukan. Namun, dia tetap menjadikan nazarnya kepada manusia, jika Allah menyembuhkan penyakitnya, atau menolak keghaiban (yang merasukinya), atau keluarganya selamat dari musuhnya.
Demikianlah, semuanya ini dan sebagainya adalah amalan syirik kepada Allah dalam beribadah, doa, atau niat memenuhi keperluan-keperluan dan sebagainya.
Sekiranya perbuatan tersebut adalah perbuatan yang tidak perlu ditakwilkan bahawa ia adalah ibadah, seperti solat, maka (jika dilakukan) adalah syirik yang pelakunya telah menjadi kufur. Namun, jika masih memerlukan penakwilan, seperti nazar kepada selain Allah, sedangkan pelakunya tidak yakin akan pengaruh orang yang dinazari, maka perbuatan itu tidak menjadikan pelakunya kufur. Walau bagaimanapun, ia tetap haram dan dilarang bagi seorang muslim untuk melakukannya.
Oleh itu, bahaya syirik sentiasa ada setiap masa. Untuk mengatasinya, tauhid tersebut mesti diperkukuhkan secara terus-menerus. Umat Islam hendaklah memperhatikan kepercayaan dan tindakan-tindakan mereka supaya tidak dirasuki sedikit pun oleh kesyirikan. Juga agar mereka memurnikan ketauhidan mereka semata-mata hanya kepada Allah SWT.
Dan mereka harus tahu bahawa makna lailahaillallah adalah bahawa tidak ada Pencipta, Pemberi rezeki, Yang Maha Menghidupkan, Mematikan, Memuliakan, serta Menghinakan selain Allah. Mereka hendaklah sentiasa berhati-hati terhadap kemahuan hawa nafsu mereka yang mendorong melakukan syirik kepada Allah dalam tindakan-tindakan mereka. Sehingga mereka tidak terkena firman Allah,
Adakah kamu melihat orang yang menjadikan kemahuannya sebagai Tuhan, kemudian Allah membiarkannya tersesat dengan ilmu-Nya. [TMQ Al Jathiyah: 23]
Sumber: Hadis al-Shiyam