Seorang negarawan sejati sudah pasti adalah pemimpin yang sentiasa bertanggung jawab atas semua urusan rakyatnya. Dia juga akan sentiasa berupaya bersungguh-sungguh memenuhi semua keperluan rakyatnya. Dia juga tidak mungkin membiarkan rakyatnya kelaparan, kesusahan, sakit, terlantar, terancam keselamatan jiwanya, dsb..
Seorang negarawan benar-benar memahami dan mengamalkan sabda Rasulullah saw., الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ “Imam (ketua negara) adalah pengurus rakyat. Dia bertanggung jawab atas rakyat yang diurusi.” (HR al-Bukhari).
Jika para pemimpin rakyat mengamalkan apa yang disabdakan dan diteladankan oleh Rasulullah saw. di atas, pasti mereka akan dicintai oleh rakyat. Pemimpin seperti inilah yang disebut sebagai pemimpin terbaik oleh Rasulullah saw., sebagaimana sabda beliau,
خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ “
“Sebaik-baiknya pemimpin kalian ialah yang kalian cintai dan mereka pun mencintai kalian, juga yang kalian doakan dan mereka pun mendoakan kalian. Seburuk-buruk pemimpin kalian ialah yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian, juga yang kalian laknat dan mereka pun melaknat kalian.” (HR Muslim dan at-Tirmidzi).
Meneladani Khalifah Umar ra.
Setelah Rasulullah saw., juga Khalifah Abu Bakar ra., salah satu negarawan sejati adalah Khalifah Umar ra. Beliau adalah salah seorang khalifah yang benar-benar mencintai rakyatnya.
Beliau, antara lain, terkenal dengan kata-katanya, “Kalau aku banyak istirahat pada siang hari, bererti aku menelantarkan rakyatku. Jika aku banyak tidur pada malam hari, bererti aku menyia-nyiakan diriku sendiri (tidak solat malam).” (Ahmad bin Hanbal, Az-Zuhd, hlm. 152).
Dalam kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah disebutkan bahawa pada waktu kekurangan makanan dan banyak rakyat dalam kesusahan, Khalifah Umar ra. sanggup hanya makan roti kering yang dilumuri minyak hingga kulitnya berubah menjadi hitam. Saat itu beliau pernah berkata, “Akulah seburuk-buruk ketua negara jika aku kenyang, sementara rakyatku kelaparan.” Begitu besar tanggung jawab Khalifah Umar ra. kepada rakyatnya, beliau pun pernah berkata, “Jika ada seekor unta mati kerana disia-siakan, tidak terurus, aku takut Allah meminta pertanggungjawaban ke atasku atas hal itu.” (Ibnu Saad, Ath–Thabaqat, 3/305; Ibnu Abi Syaibah, Al- Mushannaf, 7/99). Kenegarawanan Khalifah Umar juga tampak nyata dalam kisah yang dituturkan oleh Abdullah bin Abbas ra. Kata Ibnu Abbas, “Setiap kali selepas solat, Khalifah Umar akan duduk bersama rakyatnya. Siapa saja yang mengadukan masalah terkait keperluan, beliau akan segera meneliti keadaannya. Beliau biasanya akan duduk selepas solat Subuh hingga matahari mulai naik, memperhatikan keperluan rakyatnya. Setelah itu baru beliau pulang ke rumah.” (Ibnu Saad, Ath-Thabaqat, 3/288; Tarikh ath-Thabari, 2/565).
Selain itu, sebagai manusia biasa, tentu Khalifah Umar bin al-Khattab ra. menyedari bahawa dia sangat mungkin banyak melakukan kesalahan. Kerana itulah beliau adalah pemimpin yang tidak pernah nenolak kritikan. Imam as-Suyuthi dalam kitab tafsirnya, Ad-Durrul Mantsûr fî Tafsîril Ma’tsûr, saat menjelaskan surah An-Nisa’ ayat 20 yang menyentuh kisah tentang bagaimana Khalifah Umar ra. berlapang dada saat dikritik oleh seorang perempuan muslimah akan kebijakannya—yang menghadkan jumlah mahar—yang dinilai sebagai keliru. WalLahu a’lam.
Sumber: Buletin Kaffah No. 084, 22 Rejab 1440 H/29 Mac 2019 M bertajuk “Negarawan Sejati”