Penulis: Najmah Saiidah
Sesungguhnya, peradaban Islam telah memberikan tinta emas dalam perjalanan kehidupan manusia dalam berbagai aspek. Kemajuan ilmu pengetahuan hingga kesejahteraan masyarakat menjadi catatan gemilang ketika peradaban Islam tegak di muka bumi ini.
Peradaban gemilang tersebut ada pada saat Islam dijadikan pedoman dalam semua jalur kehidupan rakyat di dalam institusi Khilafah Islam. Kegemilangan ini merupakan salah satu hikmah dan rahmat yang Allah SWT jamin ketika syariat-Nya diterapkan secara keseluruhan (kaffah).
Jejak peradaban Islam hingga sekarang, masih ada bahkan boleh dijumpai dalam banyak catatan sejarah yang ditulis oleh orang non-muslim. Seorang sejarawan Barat, Will Durant, dalam bukunya, Story of Civilization, menyatakan,
“Para Khalifah telah memberikan keamanan kepada manusia hingga tahap yang luar biasa besarnya bagi kehidupan dan kerja keras mereka. Para Khalifah itu juga telah menyediakan berbagai peluang untuk siapa pun yang memerlukan dan memberikan kesejahteraan selama beradab-abad dalam wilayah yang sangat luas. Fenomena seperti itu belum pernah tercatat (dalam sejarah) setelah zaman mereka.”
Hanya saja, kegemilangan peradaban Islam yang pernah berjaya ini tidak semua diketahui dan difahami oleh keluarga muslim. Tidak sedikit keluarga muslim yang “pasrah” dengan situasi saat sekarang—situasi yang penuh penderitaan dan jauh dari keberkahan—akibat tidak diterapkan syariat Islam.
Di sinilah pentingnya bagi kita memahamkan diri kita dan keluarga, serta keluarga muslim lainnya, tentang gambaran peradaban Islam dan menumbuhkan kecintaan dan kerinduan anggota keluarga untuk kembali hidup dalam peradaban yang mulia ini.
Keluarga Muslim, Keluarga yang Cinta Peradaban Islam
Peradaban (al-hadharah) secara umum diertikan sebagai “metod kehidupan tertentu” (thariqah mu’ayyanah fi al ‘aisy) iaitu suatu cara atau gaya hidup yang khas dalam kehidupan bermasyarakat (Al-Qashash, 1995).
Jika ditinjau lebih mendalam, cara hidup yang khas ini sebenarnya lahir dari pandangan hidup (mafahim ‘an al-hayah) yang khas, sebab cara hidup manusia tergantung sepenuhnya kepada pandangan hidup yang dianutnya. Kerana itu, secara lebih spesifik, peradaban dapat didefinisikan pula sebagai “sekumpulan pandangan tentang kehidupan” (majmu’ al mafahim ‘an al-hayah) (An-Nabhani, 1953).
Pandangan hidup inilah yang kemudian diwujudkan oleh manusia dalam kehidupannya, yakni dalam berbagai interaksi yang dilakukannya dalam berbagai aspek kehidupan, seperti politik, ekonomi, budaya, sosial, dan sebagainya.
Dari sini dapat difahami bahawa pandangan hidup yang khas dengan sendirinya akan melahirkan peradaban yang khas pula, yang berbeza dengan peradaban lainnya. Peradaban Barat misalnya, akan berbeza dengan peradaban Islam dan akan berbeza pula dengan peradaban sosialisme.
Kemudian, seperti apa peradaban Islam yang khas ini?
Syeikh Taqiyyuddin an-Nabhani (1953) dalam Nizham al-Islam meringkas pokok-pokoknya dengan menghuraikan tiga unsur utamanya, iaitu (1) akidah (pemikiran dasar); (2) tolok ukur perbuatan (miqyas al a’mal), iaitu perintah dan larangan Allah SWT, dengan kata lain gambaran kehidupan dalam peradaban Islam adalah halal dan haram; dan (3) makna kebahagiaan (ma’na as sa’adah) adalah mendapatkan redha Allah SWT.
Dengan kata lain, kebahagiaan adalah ketenangan yang sifatnya abadi, yang tidak boleh diraih kecuali dengan redha-Nya. Jadi, tiga perkara itulah yang merupakan metod kehidupan dalam Islam, yang menjadikan kaum muslimin merasakan kebahagiaan di dalamnya. Mereka selalu berusaha untuk meraihnya dan berjalan di atas minhajnya.
Tentu saja, setiap keluarga muslim sangat menginginkan kehidupan seperti itu, kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT, kerana keluarga muslim ini selalu berupaya hidup dengan metod yang telah digariskan oleh Islam. Keluarga-keluarga ini adalah keluarga yang mencintai peradaban Islam, yang boleh kita kenali dari ciri-ciri berikut ini:
Pertama, menjadikan akidah Islam sebagai asas dalam berkeluarga.
Ketika mereka membangun sebuah keluarga, bukan kerana dorongan nafsu, pangkat, atau dorongan-dorongan murahan lainnya. Mereka menikah dan membentuk keluarga semata-mata kerana dorongan akidah dan mengikuti sunah Rasulullah SAW.
Akidah Islam juga dijadikan sebagai benteng yang melindungi pemikiran keluarga mereka dari pemikiran-pemikiran kufur, seperti demokrasi, sekularisme, liberalisme, dan isme-isme yang bertentangan dengan Islam. Sehingga, keluarga akan terlindungi dari berbagai budaya dan gaya hidup kufur yang rosak dan membinasakan, seperti budaya Valentine’s day, seks bebas, pornografi- pornoaksi, dadah, dan sebagainya.
Kedua, taat kepada syariat, selalu berusaha melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Hal ini jelas dalam kehidupan seharian—sebagai hamba Allah—ibadah dijalankan dengan baik, apakah yang wajib ataupun tathawwu’, menutup aurat, berpakaian syarie, menjauhi riba, seks bebas, dan sebagainya.
Sebagai anggota keluarga, seluruhnya menjalankan “tanggungjawab” sesuai tuntunan syariat islam. Anak wajib taat terhadap kedua ibu bapanya selama tidak memerintahkan maksiat, berbuat baik kepada mereka. Sebagai ibu, maka dia mengasuh, mengurus, dan mendidik anak-anaknya.
Isteri wajib taat terhadap suami dalam perkara-perkara selain maksiat, melayani suami dengan makruf. Sedangkan suami, dia wajib melindungi anggota keluarganya, memberi nafkah dari jalan dan juga zatnya halal, menggauli isteri dengan cara yang makruf, dan sebagainya. Sebagai kakak atau adik, saling menyayangi dan menghormati, juga saling membantu.
Begitu juga halnya sebagai anggota masyarakat, wajib berbuat baik kepada tetangga, berdakwah, beramar makruf nahi mungkar, dan sebagainya.
Ketiga, menjadikan redha Allah sebagai tujuan yang akan membawa kepada kebahagiaan yang abadi.
Keluarga seperti ini akan sentiasa menjauhkan keluarganya dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT
Keempat, peduli terhadap permasalahan umat.
Tidak boleh dinafikan bahawa permasalahan kompleks yang dihadapi keluarga-keluarga muslim di negeri ini, bahkan di seluruh dunia, adalah buah dari penerapan sistem sekular kapitalisme. Semua itu akan berakhir jika syariat Islam diterapkan secara kafah, yang hanya dapat terwujud dalam naungan Khilafah Islamiah.
Oleh kerana itu, keluarga yang peduli terhadap permasalahan umat tidak cukup sebatas memberikan bantuan secara materi ketika melihat kemiskinan tetangga, atau melihat saudara muslim di belahan dunia lainnya yang tertindas oleh bangsa lain. Mereka akan terus berjuang hingga Khilafah—yang telah terbukti selama belasan abad mampu mewujudkan peradaban mulia di muka bumi ini—segera tegak. Sehingga, Islam sebagai din yang membawa rahmat dan keberkahan bagi seluruh alam akan benar-benar boleh dirasakan oleh seluruh manusia. Lalu, bagaimana kita mewujudkannya?
Bagaimana Mewujudkan Keluarga yang Cinta Peradaban Islam?
Memang bukan hal mudah bagi kita untuk mewujudkan keluarga yang mencintai peradaban Islam, bahkan merindukan untuk kembalinya peradaban Islam. Kita pun hidup di negeri sekular kapitalis yang sesungguhnya sangat bertolak belakang dengan peradaban Islam yang mulia. Tambahan pula, banyak pihak cenderung menghalangi kembalinya peradaban Islam yang mulia.
Namun, ada beberapa usaha yang boleh kita lakukan, di antaranya:
- Meyakini dan memahami bahawa Allah adalah al-Khaliq al-Mudabbir. Ertinya, mengenal Allah SWT bukan sekadar bahawa Allah itu ada, tetapi sekaligus meyakini bahawa Allah SWT sebagai pencipta manusia (al-Khaliq) beserta dengan nama dan sifat-sifat yang dimiliki-Nya.
Selain itu, memahami bahawa hanya Allah-lah yang berhak berhak membuat aturan untuk manusia, sedangkan manusia berkewajipan untuk taat dan melaksanakan semua aturan-Nya. Kerananya, setiap anggota keluarga tidak boleh mengambil hukum-hukum yang bukan berasal dari-Nya.
- Setiap anggota keluarga memahami tujuan hidupnya, yang tidak lain adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, sehingga Allah redha kepada mereka (Surah Adz-Adzariyat: 56; Surah Al-Bayyinah: 8) dan di akhirat mereka mendapat kebahagiaan sejati, iaitu masuk syurga bersama-sama (lihat Surah Az-Zuhruf: 70-71)
- Setiap anggota keluarga mengenal hukum-hukum Allah, memahaminya, dan mengamalkannya, baik yang termaktub dalam Al-Quran ataupun Sunah. Di sinilah pentingnya setiap anggota keluarga membina diri dengan tsaqafah Islam, sehingga mereka boleh menjadikan halal dan haram sebagai sandaran kehidupan mereka.
Sebagai pemimpin keluarga, seorang suami atau ayah memiliki kewajipan untuk mendidik isteri dan anak-anaknya, sehingga seluruh anggota keluarga terjaga dari api neraka (Surah At-Tahrim: 6). Begitu juga seorang isteri dan ibu, berperanan sebagai pendamping suami dan juga menjadi pengasuh dan pendidik utama bagi anak-anaknya.
- Setiap anggota keluarga juga penting untuk memahami wajibnya penerapan syariat Islam dalam seluruh aspek kehidupan sebagai solusi bagi seluruh permasalahan manusia (Surah An-Nahl: 89).
Harus difahami juga bahawa penerapan syariat Islam secara kaffah mustahil diwujudkan kecuali dalam wadah Khilafah. Oleh kerana itu, memperjuangkan tegaknya Khilafah menjadi sebahagian dari bentuk kepedulian kita terhadap permasalahan yang menimpa umat Islam.
- Saling mendukung sebagai sebuah pasukan dakwah terkecil dan saling memberi nasihat yang satu dengan yang lain. Memadukan antara tugas dalam keluarga dengan dakwah akan terasa berat jika tidak saling mendukung bahkan membantu. Kerananya, setiap anggota keluarga harus terus saling menguatkan yang satu dengan yang lainnya agar aktiviti dakwah berjalan dengan baik.
Di samping itu, saling meringankan pekerjaan di antara anggota keluarga, sehingga ketika harus keluar rumah untuk berdakwah, pengelolaan rumah tangga/keluarga tidak ada yang terlalaikan.
Allah SWT berfirman, “Saling bantulah kalian dalam (mengerjakan) kebaikan dan ketakwaan dan jangan saling tolong dalam berbuat dosa dan permusuhan” [TMQ Al-Maidah (5): 2]
- Sentiasa menambah wawasan dan pemahaman tentang bagaimana sosok negara Islam dan masyarakat Islam pada masa Rasulullah SAW dan masa Kekhalifahan Islam, dengan mengikuti kajian-kajian atau membaca buku-buku dan kitab-kitab tepercaya, sehingga pemahaman kita dan anggota keluarga tentang peradaban Islam yang mulia makin utuh dan sempurna, tentang penerapan Islam yang dilakukan oleh Daulah Islam, kehidupan bermasyarakatnya, sosok pemimpinnya, termasuk aktiviti jihad yang dilakukan oleh kaum muslimin pada masa Islam berjaya.
Ini semua tidak hanya menambah wawasan, tetapi juga akan menambah keimanan dan kesungguhan untuk menerapkan Islam secara kaffah. Selanjutnya makin cinta akan peradaban Islam dan muncul kerinduan akan kembali tegaknya peradaban Islam di muka bumi ini. Hingga akhirnya semangat dan perjuangan untuk kembali berada dalam peradaban Islam yang mulia menjadi hal yang nyata. InsyaAllah.
Demikianlah beberapa usaha dan langkah yang boleh dilakukan para keluarga muslim dalam mewujudkan keluarga yang cinta peradaban Islam. Semoga dengan upaya yang maksimum dari keluarga muslim yang selalu berada dalam barisan pejuang dakwah Islam, boleh menyegerakan kembali datangnya peradaban Islam yang mulia di muka bumi ini. Amin. Wallahu a’lam bishshawab.