Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Baru-baru ini seorang yang berpengaruh (influencer) membuatkan netizen Indonesia terkejut dengan pernyataannya bahawa walaupun dia beragama Islam, tetapi dia tidak percaya dan menolak untuk menjalankan syariat Islam di Indonesia. Kenyataan tersebut paradoks dengan pengakuan keislamannya. Sayangnya dari segi realiti, memang ramai manusia yang berpemikiran sama seperti itu.
Dilihat secara normatif, kenyataan tersebut tersangat bahaya. Kita boleh lihat dalam beberapa nas Al-Quran, di antaranya dalam surah An-Nisaa’ ayat ke 65 dan surah al-Jaathiyah ayat ke 18-19. Banyak pengajaran yang boleh diambil dan sangat relevan dengan keadaan hari ini.
Pada surah An-Nisaa’ ayat 65, terdapat beberapa pengajaran penting. Antaranya :
Pertama, ungkapan “laa yu’minuuna” menunjukkan qarinah (indikasi) yang tegas akan kewajipan menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim (pemutus perkara).
Kedua, haram menjadikan hakim selain dari Rasulullah.
Ketiga, sepeninggalan Rasulullah, hakimnya adalah apa yang dibawa oleh Baginda Nabi iaitu Al-Quran dan Sunah.
Keempat, wajib menerima segala keputusan hakim tanpa ada keberatan dalam hari dan dengan penerimaan sepenuhnya.
Ini membawa maksud, kita tidak memberikan toleransi terhadap penerimaan hakim lain selain Rasulullah dan tidak boleh ada perlembagaan lain selain yang bersumber dari Kitab Suci. Secara ringkasnya, tidak boleh kita mengatakan “Saya tidak percaya dan menolak syariat Islam dijalankan di Indonesia (muka bumi)”. Sungguh! Lancang sekali pernyataan itu!
Seterusnya, marilah kita meneliti firman Allah SWT :
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ (18) إِنَّهُمْ لَنْ يُغْنُوا عَنْكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَإِنَّ الظَّالِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُتَّقِينَ (19)
“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya)..” [TMQ Al-Jaathiyah (45): 18-19]
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa menjalankan semua syariat yang telah Allah tetapkan. Imam Ibnu Katsir menyatakan dalam tafsirnya (7/267)
اتبع ما أوحي إليك من ربك لا إله إلا هو، وأعرض عن المشركين
“Ikutilah apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tidak ada Tuhan yang wajib disembah selain Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.”
Kemudian beliau melanjutkan,
ولايتهم لبعضهم بعضا، فإنهم لا يزيدونهم إلا خسارا ودمارا وهلاكا
“Tiada bermanfaat bagi mereka pertolongan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; kerana sesungguhnya tiada yang mereka perolehi selain dari kerugian, kehancuran dan kebinasaan.”
Kerana itu, berhati-hatilah kita dari segala rayuan yang dapat memalingkan kita dari apa yang telah Allah turunkan. Nilai apa pun yang posisinya menggantikan syariat Islam, hakikatnya adalah “jalan” baru selain syariat Islam. Kata Imam Ibnu Katsir, ia adalah jalan menuju kerugian, kehancuran dan kebinasaan.