Penulis: Nabila Ummu Anas
Adalah wajar jika setiap ibu bapa mengharapkan kehidupan yang terbaik untuk anak mereka pada masa hadapan. Anak yang berjaya, bahagia di dunia dan juga di akhirat. Maka, setiap ibu bapa muslim seharusnya menginginkan anak mereka menjadi anak yang soleh/solehah, berilmu, berbakti bukan sahaja kepada ibu bapa, malah menyumbang secara positif kepada masyarakat dan juga negara.
Buah yang akan dipetik sangat bergantung kepada biji benih yang ditanam. Begitu juga keadaan dan kualiti persekitaran di mana pokok itu tumbuh.
Umat Terbaik menurut Islam
Sudut pandang ibu bapa memainkan peranan penting dalam perjalanan proses perkembangan anak, agar ibu bapa akan menuai hasil sesuai dengan harapan mereka. Maka, Islam mesti menjadi sudut pandang setiap ibu bapa muslim dalam menilai dan memutuskan apa sahaja dalam kehidupan. Termasuk dalam mempersiapkan anak-anak menjadi sebahagian dari golongan umat terbaik (khairu ummah).
Allah SWT telah memberikan kriteria umat terbaik dalam firman-Nya,
“Kalian adalah umat terbaik yang diturunkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah SWT. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.” [TMQ Ali Imran (3): 110]
Syeikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili mentafsirkan ayat ini, bahawa kamu adalah umat yang dijadikan oleh Allah sebagai umat yang terbaik, kalian telah menjadi ketetapan Allah dalam hal ini.
Umat Islam adalah umat terbaik secara mutlak. Mereka adalah umat yang telah terpilih kerana mereka diperintahkan untuk menyeru kepada yang makruf iaitu yang baik sesuai perintah syariat; dan mencegah dari yang mungkar iaitu segala perkataan, perangai atau perbuatan yang bertentangan dengan syariat. Juga kerana bahawa mereka beriman kepada Allah dan meyakini bahawa Allah tiada sekutu.
Allah Mencintai Hamba-Nya yang Melakukan Amar Makruf Nahi Mungkar
Amar makruf nahi mungkar merupakan aktiviti dakwah yang dilakukan oleh hamba pilihan Allah, sehingga mereka akan mendapat gelaran umat terbaik. Menceritakan kepada anak tentang aktiviti amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat menjadi motivasi awal bagi anak-anak bahawa ini adalah aktiviti mulia manusia yang disayangi dan dicintai oleh Allah SWT.
Seterusnya adalah memperkenalkan kepada anak-anak apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, juga apa sahaja yang tidak boleh dilakukan oleh anak-anak kerana Allah dan Nabi Muhammad saw melarangnya. Bukan hanya memberitahu anak-anak tetapi usaha ibu bapa seterusnya ialah mengajak mereka untuk melaksanakan syariat Islam.
Ibu bapa memberi contoh bagaimana dorongan keterikatan mereka terhadap syariat adalah kerana keimanannya kepada Allah SWT. Selain itu, fahamkan anak-anak bahawa akan ada ujian apabila melakukan ketaatan. Malas, godaan kesenangan dunia, dilabel sebagai alim, adalah contoh ujian apabila anak-anak ingin terikat dengan syariat termasuk ketika mereka mula melakukan amar makruf nahi mungkar.
Umat Terbaik adalah Penyelesai Masalah Bukan Pembuat Masalah
Ibu bapa mesti memahami bahawa umat terbaik itu ialah pemberi solusi bukan pembuat masalah. Anak yang biasa melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar akan peka jika dia menemui perkara yang tidak sesuai dengan Islam berlaku di sekeliling mereka. Ini adalah masalah yang mesti dia sampaikan bagaimana sepatutnya, sudah tentu dengan bahasa yang difahami anak.
Pada hakikatnya, anak soleh ini akan memberi solusi terhadap permasalahan yang terjadi. Bukan sahaja masalah yang menimpa dirinya, tetapi juga yang dialami oleh rakan-rakannya. Anak-anak akan mengelak daripada dilabel sebagai pembuat masalah.
Umat terbaik ini sejak awal telah belajar menjadi manusia yang memberi manfaat bagi manusia lain. Rasulullah saw bersabda, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni).
Allah SWT berfirman, “Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri…” [TMQ Al-Isrâ (17): 7]
Penyelesai masalah bukan sahaja menyampaikan perkara yang makruf dan mungkar, tetapi juga mengajak dan membantu rakannya untuk terikat dengan syariat Islam. Ibu bapa sentiasa mengingatkan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak untuk orang lain mestilah berlandaskan keimanan dan keikhlasan semata-mata kerana Allah, menjalankan perintah-Nya dan hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.
Nabi saw bersabda, “Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya.” (HR Bukhari).
“Sesungguhnya Allah memberikan banyak kebaikan, para malaikat-Nya, penghuni langit dan bumi, sehingga semut-semut di lubangnya dan ikan-ikan sentiasa mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.” (HR Tirmidzi).
Inilah usaha ibu bapa agar anak-anak berbahagia di dunia kerana keberkatan hidup yang mereka perolehi daripada Pencipta. Juga berbahagia di akhirat kerana mendapat redha dan rahmat dari Allah SWT.