Perumpamaan orang-orang yang mencegah perbuatan maksiat dan yang melanggarnya adalah seperti penumpang di sebuah kapal. Separuh dari mereka berada di bahagian atas dan separuh lagi di bahagian bawah. Jika orang-orang yang berada di bawah memerlukan air, mereka perlu melalui (menyusahkan) orang-orang yang berada di atasnya. Kerana itu, mereka mengambil kapak dan membuat lubang di bahagian bawah kapal. Kemudian orang-orang di bahagian atas menegur mereka dengan berkata, “Apa yang engkau lakukan?” “Aku menyusahkan kalian, sementara aku memerlukan air.” Jika orang-orang yang berada di atas bertindak (untuk mencegahnya), maka hal itu akan menyelamatkannya dan menyelamatkan mereka semuanya. Tetapi jika mereka membiarkan tindakan tersebut, maka mereka akan mencelakakannya dan mencelakakan mereka semuanya. (HR Bukhari No. 2489)
Penjelasan
- Rasulullah SAW memberikan perumpamaan bahawa keadaan masyarakat muslim serupa dengan rombongan orang yang baik sebuah kapal dimana perbuatan salah yang dilakukan oleh anggota rombongan boleh mempengaruhi anggota rombongan yang lain. Hadis ini menunjukkan bahawa Islam memandang masyarakat sebagai institusi yang perlu dipelihara oleh setiap anggotanya. Masing-masing anggota masyarakat perlu bertanggungjawab memelihara urusan orang ramai. Perkara ini menunjukkan hubungan yang sepatutnya ada di antara individu dan masyarakat. Berbeza dengan pandangan individualistik yang mendominasi masyarakat saat ini dimana masyarakat umumnya berpendapat bahawa setiap individu bebas melakukan apa saja yang mereka inginkan. Dengan demikian (menurut pandangan ini) setiap orang hanya peduli pada urusannya sendiri dan tidak pernah (atau sedikit sekali) memikirkan keadaan orang lain. Perkara ini tercermin dari bermaharajalelanya rasuah, jenayah serta ketidakpedulian terhadap urusan anak muda dan orang-orang tua.
- Apabila pemerintah dan masyarakat membiarkan terjadinya perlanggaran hukum-hukum syariat, seluruh masyarakat akan hancur.
- Hadis di atas memberikan penjelasan melalui sebuah perumpamaan bahawa jika hudud ditegakkan di tengah-tengah masyarakat, maka keadaan masyarakat akan terpelihara. Sebaliknya jika ia ditinggalkan, berbagai masalah serta kemaksiatan akan muncul dan meningkat.
- Imam ash-Shidqi asy-Syafi’i mengatakan bahawa hadis tersebut menunjukkan bahawa orang yang melanggar larangan Allah pada hakikatnya menghancurkan dirinya sendiri dengan kemaksiatan yang dilakukannya. Sedangkan orang lain yang mendiamkan kemaksiatan tersebut akan hancur kerana sikap diamnya itu.
- Imam al-Ayni menjelaskan bahawa apabila aktiviti amar makruh dan nahi mungkar dilaksanakan, seluruh penumpang kapal akan terselamat, bukan hanya mereka yang berada di dek atas. Oleh kerana itu, tegaknya hukum-hukum Islam serta pelaksanaan amar makruf nahi mungkar merupakan satu-satunya jalan agar seluruh anggota masyarakat sentiasa dilindungi dan terpelihara.