Nama lengkapnya adalah Busrah binti Shafwan bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai al-Qurasyiyah al-Asadiyyah. Ada yang mengatakan namanya Busrah binti Shafwan bin Umayyah bin Muhrits bin Haml bin Sa’ad bin ‘Amir bin Tsa’labah bin Al-Harits bin Malik bin Kinanah. Ibunya adalah Salimah binti Umayyah bin Haritsah bin Al-Auqash as-Salamiyyah. Beliau berasal dari Bani Asad. Beliau juga merupakan anak saudara dari Waraqah bin Nufail.
Busrah binti Shafwan merupakan salah seorang sahabiyah yang turut serta hijrah dan berbaiat kepada Nabi SAW. Beliau bernikah dengan Al-Mughirah bin Abil Ash dan memiliki anak bernama Muawiyah dan Aisyah. Aisyah anak Busrah kemudian bernikah dengan Marwan bin Al-Hakam (anak saudara Busrah).
Dari pernikahan Aisyah dan Marwan, lahirlah Abdul Malik bin Marwan bin Al-Hakam. Marwan bin Al-Hakam merupakan salah satu khalifah dalam kekhalifahan Bani Umayyah pada tahun 684—685M. Sedangkan Abdul Malik bin Marwan bin Al-Hakam memerintah tahun 685—705M.
Busrah juga merupakan sahabiyah yang meriwayatkan hadis dari Nabi SAW lalu beliau riwayatkan kepada murid-muridnya. Di antara muridnya adalah Ummu Kultsum binti Uqbah bin Abi Mu’ith; anak saudaranya sendiri. Beliau dengan Ummu Kaltsum sangat rapat. Suatu hari, Busrah ditanya oleh Nabi saw, “Siapa yang telah melamar Ummu Kultsum?” Beliau menjawab, “Fulan, Fulan, dan Abdurrahman bin Auf.”
Nabi SAW bersabda, “Nikahkanlah dengan Abdurrahman, kerana dia adalah sebaik-baik muslim. Dan sebaik-baik orang muslim adalah orang yang seperti dirinya.” Lalu Busrah mengkhabarkan kepada Ummu Kaltsum, dan dia mengantarkannya kepada saudaranya Walid bin Uqbah agar Walid menikahkannya dengan Abdurrahman bin Auf pada saat itu juga.
Ramai di antara para sahabat Nabi SAW dan tokoh tabiin yang menjadi murid dari Busrah, seperti Abdullah bin Amru bin Al-Ash, Urwah bin Az-Zubair, Said bin Al-Musayyab, Hamid bin Abdurrahman bin Auf, dan Marwan bin Al-Hakam; menantunya. Hadisnya tersebar di dalam kitab-kitab hadis.
Adapun di antara hadisnya yang terdapat di dalam kitab Sunan Abu Daud, Sunan At-Tirmidzi, Sunan An-Nasa’i, dan Sunan Ibn Majah adalah sebagai berikut.
عَنْ بُسْرَةَ بِنْتِ صَفْوَانَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ.
Dari Busrah binti Shafwan ra. bahawasannya Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang menyentuh kemaluannya, maka hendaklah dia berwuduk.”
Imam Al-Mubarakfuri di dalam kitab Tuhfatul Ahwadzi Syarah Sunan At-Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa menyentuh kemaluan itu dapat membatalkan wuduk. Maksud menyentuh kemaluan ini adalah dengan tanpa ada penghalang.
Hal ini berdasarkan pada hadis riwayat Imam Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya dari Abu Hurairah RA bahawa jika salah seorang dari kalian menyentuh kemaluannya dengan dengan tanpa ada penghalang, wajib baginya berwuduk. Jadi, jika ada penghalangnya, maka wuduknya tidak terbatal.
Busrah meninggal pada masa pemerintahan Khalifah Muawiyah. Beliau meninggalkan jejak sebagai guru yang mengalirkan ilmu bagi para sahabat dan tabiin.