Penulis: Ruruh Anjar
Juwairiyah ra. lahir sekitar 14 tahun sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah. Dia adalah anak perempuan dari ketua suku Bani Musthaliq, Al Harits bin Abu Dhirar, yang paling dihormati oleh semua anggotanya. Juwairiyah mendapat didikan dan membesar dan sebagai wanita yang cantik dan berbudi pekerti.
Setelah berdirinya Daulah Islam di Madinah, Rasulullah saw memberi perhatian terhadap kabilah-kabilah Arab yang tinggal di sekitar Kota Madinah agar memeluk Islam.
Ini dilakukan hanya kerana wujud perintah Allah untuk menyebarkan Islam ke seluruh alam untuk mentaati Allah semata-mata. Kemenangan demi kemenangan terus berpihak kepada umat Islam sehingga Bani Musthaliq menjadi gelisah.
Para pemimpin dan tokoh Bani Musthaliq yang sombong terhadap kebenaran, berkempen kepada saki-baki suku Arab dan keluarga besar mereka untuk menyusun persekongkolan dan membuat kesepakatan dalam menghalang dakwah Islam.
Sehingga akhirnya pada bulan Syaaban tahun 6 H terjadi Perang Bani Musthaliq. Perang ini dicetuskan oleh kesediaan pemimpin suku Bani Musthaliq, Al Harits bin Abu Dhirar bersama suku Arab lainnya untuk melawan Rasulullah saw.
Rasulullah saw yang menerima maklumat tersebut, menghantar Buraidah bin Al-Hashib Al-Aslami untuk mengesahkan kebenarannya.
Ketika Rasulullah saw yakin maka berangkatlah pasukan sehingga terjadi peperangan yang dimenangi oleh umat Islam. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu “Auun menulis surat kepada Nafi’, untuk bertanya tentang perang Musthaliq.
Dalam jawapannya Nafi’ berkata, “Rasulullah saw menyerang Bani Musthaliq yang telah bersedia untuk menyerang Rasulullah sebelumnya. Unta mereka dibawa menuju ke sumber air. Di situlah Rasulullah saw menyerang mereka dan berjaya menawan kaum wanita dan kanak-kanak termasuk Juwairiyah. Aku mendengar kisah ini dari Ibnu Umar yang ikut dalam peperangan tersebut.”
Musafi’ bin Shafwan, suami Juwairiyah binti Al-Harits termasuk 10 orang pasukan Bani Musthaliq yang terbunuh manakala yang lain ditawan sekitar 700 orang.
Juwairiyah masuk dalam tawanan Tsabit bin Qais bin Syammas atau anak lelaki bapa saudaranya. Kemudian mereka membuat perjanjian jika Juwairiyah membayar sejumlah harta maka dia akan dibebaskan.
Juwairiyah kemudiannya berusaha mengumpulkan harta dan berinisiatif pergi menemui Rasulullah saw untuk membantunya dengan sejumlah harta.
Juwairiyah berkata, “Wahai Rasulullah, aku adalah Juwairiyah binti Al Harits bin Abu Dhirar, pemimpin kabilah Bani Musthaliq. Aku mendapat musibah yang pasti engkau ketahui dengan baik. Aku menjadi sebahagian tawanan Tsabit bin Qais bin Syammas (atau sepupunya), maka aku membuat perjanjian mukaatabah (penyerahan pembebasan diri (agar menjadi merdeka) yang dilakukan oleh seorang hamba kepada tuannya dengan membayar sejumlah wang mengikut perjanjian) dengannya supaya aku menjadi seorang yang merdeka. Tujuanku menemuimu adalah untuk meminta bantuan menyelesaikan perihal mukaatabah ini.”
Tetapi dengan beberapa pertimbangan politik Rasulullah saw justeru berkata, “Adakah engkau ingin mendapatkan yang lebih baik daripada itu?”
Juwairah bertanya semula dengan kehairanan, “Apa itu, wahai Rasulullah?”
Rasulullah saw bersabda, “Aku akan melunaskan mukaatabahmu kemudian aku menikahimu.” Juwairiyah menjawab, “Aku setuju wahai Rasulullah.”
Rasulullah saw berkata, “Kalau begitu, aku bersedia melunaskannya.”
Aisyah ra. berkata, “Ketika itu juga tersebar berita bahawa Rasulullah saw berkahwin dengan Juwairiyah. Mendengar berita tersebut, para sahabat berkata (tentang hamba-hamba mereka yang berasal dari Bani Musthaliq), ‘Mereka adalah besan-besan Rasulullah’ maka mereka segera membebaskannya (memerdekakan). Dengan mengahwini Juwairiyah maka Rasulullah saw berjaya memerdekakan 100 keluarga dari suku Bani Musthaliq. Aku tidak pernah mengetahui ada wanita yang lebih banyak memberi berkah kepada kaumnya daripada Juwairiyah.”
Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qol’ahji dalam Sirah Nabawiyah, Sisi Politik Perjuangan Rasulullah saw mengungkapkan salah satu pertimbangan Rasulullah saw mengahwini Juwariyah kerana menghina dan memperhambakan bukanlah sasaran dan tujuan baginda, meskipun mereka adalah musuh.
Sasaran baginda saw adalah membersihkan institusi politik mereka untuk menyelamatkan urusan negara Islam. Untuk itu, dengan menjadikan Juwairiyah sebagai ummahatul mukminin, maka ramai di antara umat Islam yang akan melepaskan tawanan mereka kerana mereka telah menjadi kerabat Rasulullah saw dari perkahwinannya dengan Juwairiyah.
Dengan begitu Rasulullah saw telah meninggikan kalimah Allah, menyenangkan perasaan orang lain, menutup pintu fitnah dan mengutamakan nilai-nilai keteladanan.
Juwairiyah sendiri merasai kehidupan yang memberikan kebahagiaan dunia akhirat secara hakiki setelah berkahwin dengan Rasulullah saw. Dia sangat teguh melaksanakan perintah agama, tekun beribadah, rajin berpuasa dan solat malam, serta tidak pernah merasa jemu berzikir kepada Allah.
Setiap kali Rasulullah saw bertemu dengan Juwairiyah, baginda sentiasa memberikan pelajaran baru untuk menambahkan ilmu, keimanan, dan keteguhan dalam menjalankan kebenaran.
Juwairiyah menceritakan bahawa Rasulullah saw pernah menemuinya pada hari Jumaat. Ketika itu dia sedang berpuasa. Rasulullah saw bertanya, “Adakah kemarin engkau berpuasa juga?” Juwairiyah menjawab, “Tidak.” Rasulullah saw bersabda, “Adakah engkau akan berpuasa esok?” Juwairiyah menjawab, “Tidak.” Rasulullah berkata, “Kalau begitu batalkan puasamu hari ini (Jumaat).” (HR Bukhari)
Dalam riwayat lain, Juwairiyah mengatakan, “Pada suatu pagi, Rasulullah masuk ke rumahku. Beliau mendapatiku sedang bertasbih maka beliau terus pergi ke tempat lain untuk suatu keperluan, kemudian kembali lagi menemuiku pada tengah hari.
Rasulullah saw bertanya, “Adakah engkau masih duduk (bertasbih)?” Aku menjawab, “Ya.” Beliau berkata, “Mahukah engkau aku ajarkan beberapa kalimah yang jika engkau ucapkan maka ia setara dengan seluruh tasbih yang engkau lakukan (atau jika ditimbang sama dengan seluruh tasbih yang engkau lakukan), ucapkanlah, “Subhanallah ‘adada khalqih sebanyak 33 kali, subhanallah zinata ‘arsyih sebanyak 33 kali, subhanallah ridhaa nafsih sebanyak 33 kali, dan subhaanallah midaada kalimaatih sebanyak 33 kali.”
Setelah kewafatan Rasulullah saw, Juwairiyah merasakan kesedihan dan kehilangan yang sangat mendalam namun dia tetap menguatkan dirinya dan menyerahkan semua urusannya kepada Allah untuk meraih keredhaan-Nya.
Juwairiyah menghabiskan masanya dengan ilmu dan ketaatan kepada Allah. Beliau juga mengajarkan ilmu kepada penuntut ilmu yang datang ke Madinah. Juwairiyah hidup sehingga zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan. Pada masa itu, usianya 70 tahun.
Pada tahun 50 H, beliau meninggal dunia. Solat jenazah dipimpin oleh Marwan bin Hakam, Gabenor Madinah kemudian dihantarkan oleh seluruh kaum muslimin untuk dikuburkan di pemakaman Baqi’ di samping isteri-isteri Rasulullah saw yang lain dan puteri-puteri beliau.
Dari sini dapat dilihat bahawa perkahwinan Rasulullah saw dengan Juwairiyah mempunyai tujuan untuk menguatkan dakwah Islam di kalangan suku Arab. Malah Islam telah menjadikan Juwairiyah sebagai seorang muslimah sejati. Menjadi pelajar dan mengajarkan ilmu yang dimilikinya dalam rangka amar makruf nahi mungkar serta keagungan Islam. Wallahua’lam bishshowwab.