Nama penuhnya Hindun binti al-Muhallab bin Abi Shafarah al-Azdiyah al-Bashriyah. Beliau wanita yang berbakat dan beretika. Ayahnya seorang gabenor, pahlawan, komandan pasukan, iaitu Muhallab bin Abi Shafarah. Muhallab terkenal dengan sifat dermawan, berani, mulia dan cerdas. Beliau wafat pada tahun 82 H.
Hindun dinikahi oleh Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqofi. Bersama dengannya banyak cerita dikisahkan. Semenjak kecil, Hindun terkenal dengan sifat yang cerdas dan fasih bertutur kata. Gaya bahasanya ramah. Adabnya mulia. Selama hidupnya, beliau meriwayatkan hadis daripada ayahnya al-Muhallab, Hasan Bashri, dan ‘Asy-Sya’tsa Jabir bin Zaid. Beberapa orang meriwayatkan hadis Hindun. Diantaranya dua anak saudara Hajjaj bin Uyainah, Ziyad bin Abdullah al-Quraisyi, dan Abu Salamah budak al-‘Atik.
Meskipun hidup berharta, Hindun tidak menjadikan harta sebagai nikmat dunia. Beliau mendermakan harta itu untuk diinfakkan. Dalam hal kedermawanan, banyak cerita yang menunjukkan tentang keperibadiannya yang istimewa. Beliau berpendapat bahawa tangan yang baik nan dermawan pasti beruntung dimanapun berada.
Ummu Abdullah al-Atki berkata, “Saya datang kepada Hindun binti al-Muhallab sementara beliau bertasbih dengan menggunakan permata. Ketika selesai bertasbih beliau berikan tasbih itu kepadaku seraya berkata, ‘Bahagi-bahagikan ini pada wanita-wanita sekelilingmu.” Cerita seperti ini tidaklah menghairankan bagi wanita yang telah terikat kuat dengan sifat kedermawanannya.
Dalam Kitab al-Mahasin wa al-Mal, Imam Baihaqi menuturkan bahawa Hindun pernah dalam suatu hari memerdekakan 40 orang hamba. Beliau menganggap semua ini sebahagian daripada nikmat Allah SWT padanya. Beliau pernah menasihatkan, “Jika kalian melihat nikmat telah datang mencurah, maka segeralah memanjatkan syukur sebelum ia menghilang dengan cepat.”
Beliau juga mempunyai definisi tersendiri tentang ketaatan dan kederhakaan. Definisi ini bersumber pada pemahaman dan akalnya yang mendalam. Hindun mengatakan, “Ketaatan seorang hamba kepada Allah diiringi kecintaan. Orang yang taat adalah orang yang dicintai orang lain, meskipun rumahnya jauh dan terpencil. Sedangkan derhaka adalah lawan kebencian. Seorang penderhaka pastilah dibenci, meskipun kita berhubungan akrab dan sering mendapat pertolongannya.”
Hindun binti al-Muhallab memiliki perhatian besar dalam bidang fiqh. Meskipun beliau merupakan isteri seorang pemimpin besar, puteri pemimpin besar, memiliki banyak harta dan hidup mewah, semua itu tidak menghalanginya untuk bekerja dengan tangannya sendiri. Seperti diceritakan Ziyad bin Abdullah, salah seorang muridnya, “Saya melihat tangannya ada bekas benang sulam. Lalu saya bertanya, apakah engkau menyulam, sedangkan engkau isteri kepada seorang gabenor? Beliau menjawab, saya mendengar ayah saya berkata, Rasulullah SAW bersabda, ‘Seberat-beratnya kalian bekerja adalah sebesar-besarnya kalian berpahala. Itu mengusir syaitan dan menghilangkan prasangka buruk.”
Hindun mempunyai banyak cerita bersama Umar bin Abdul Aziz. Ibnu Asakir menuturkan, suatu hari Hindun menghadap Umar bin Abdul Aziz. Waktu itu, Umar telah memenjarakan Yazid bin al-Muhallab, saudara lelaki Hindun. Hindun berkata, “Wahai Amirul Mukminin, atas dasar apa engkau menahan saudaraku?” Umar menjawab, “Saya khuatir dia membuat masalah di tengah-tengah kaum Muslimin.” Hindun bertanya, “Hukuman itu sesudah melakukan atau sebelum?” Mendengar pertanyaan itu, Umar berfikir kembali.
Semoga kisah Hindun menjadi motivasi bagi kita. Sifat dermawan beliau begitu mudah kita temukan dalam lembaran kisah para sahabat, tabiin, serta orang-orang yang mengikuti mereka. Allah SWT berfirman, “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, Maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya.” [TMQ Ali Imran (3): 92]
Sumber: https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/1918984061612733/