Ketika wanita-wanita Eropah hidup pada abad kegelapan, muslimah Andalusia ini mempunyai perpustakaan yang besar dan cerdas menulis. Beliau lahir pada abad ke-10 Masihi, zaman di mana orang-orang Eropah menamakannya sebagai “Dark Ages” (Abad Kegelapan). Namun kegelapan itu tidak terjadi di Andalusia, ini disebabkan oleh kerana pada ketika itu masa keemasan Islam sedang membangun.
Nama lengkapnya Aisyah binti Ahmad al-Qurthubiyah. Dia dikenali sebagai tokoh umum Cordova, Sepanyol, sebagai seorang wanita penyair Andalusia, cerdas dan seorang sasterawan. Bahkan, disebabkan pengetahuannya yang luas, beliau digelar syughufah bi al-qira’ah wa al-mu’asanah bil al-kutub atau si ulat buku, seorang perempuan yang ketagih membaca buku. Seisi rumahnya dipenuhi dengan buku.
Beliau mempunyai perpustakaan peribadi yang mengandungi buku-buku dan manuskrip-manuskrip yang jarang dimiliki oleh orang lain. Bahkan beberapa koleksinya telah dihibahkan ke perpustakaan Cordova. Selain itu, Aisyah al-Qurthubiyah memiliki tulisan tangan yang bagus dan sangat indah. Bahkan, khalifah Andalusia, Abdurrahman III, yang bergelar an-Nashir (sang pemenang) adalah salah seorang yang mengagumi Aisyah, juga menaruh perhatian dan memberikan penghormatan yang tinggi terhadapnya kerana menghargai keilmuannya yang menonjol dalam kalangan para intelektual lelaki.
Seorang sasterawan dan sejarawan besar, Abu Hayyan at-Tauhidi dalam bukunya berjudul Al-Muqtabas, memberikan kesaksian atas kepiawaian wanita cerdas seperti Aisyah. Beliau menyampaikan kekagumannya yang luar biasa terhadap Aisyah . Ungkapan kalimat yang cuba disampaikannya: “Tidak ada seorang pun di Andalusia pada zaman itu mampu mengungguli Aisyah al-Qurthubiyah dalam banyak aspek: pengetahuan, sastera, puisi, kefasihan bertutur, dan keluhuran peribadinya.”
Sehubungan itu, penulis buku Al-Maghrib atau sejarah Morocco, menyebut Aisyah sebagai innaha min ‘ajaib zamaniha wa gharaib awaniha (wanita paling mempesona dan aneh pada zamannya). Ibnu Hayyan menuturkan, “Aisyah memiliki gudang yang penuh dengan buku-buku. Ia juga mahir dalam menulis mushaf dan jurnal.” Beliau wafat pada tahun 1010 Masehi. Pada zaman kita, susuk Aisyah al-Qurthubiyah termasuk dalam daftar “Muslim Terkemuka” di Saudi Aramco World edisi khusus 2002.
Kisah Aisyah al-Qurthubiyah memberikan pengajaran yang sangat penting. Wanita pada masa peradaban Islam adalah penuntut ilmu yang tekun, pelajar yang baik, boleh mengimbangi peranan pada masyarakat dan dirinya sendiri tanpa berbelah bahagi. Wanita dalam naungan sistem Islam sentiasa mendapat haknya secara sempurna. Mereka mendedikasikan ilmu untuk mengajarkannya kepada generasi. Wanita dalam asuhan Islam menjadi seseorang yang berpendidikan dan progresif, baik secara nafsiyah mahupun aqliyahnya. Kecerdasannya digunakan untuk mempersiapkan generasi terbaik pembangun peradaban Islam.