Ummu ad-Dahdah, Muslimah Pendukung Suaminya untuk Berinfak di Jalan Allah
Penulis: Rif’ah Kholidah
Antara wanita yang kisah gemilangnya diabadikan oleh sejarah sehingga menjadi bukti kemuliaan dan kedudukan mereka ialah Sayidah Ummu ad-Dahdah. Beliau merupakan isteri kepada Abu ad-Dahdah dan termasuk dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW. Kisah tentang dirinya disebut dalam hadis Abu ad-Dahdah ketika beliau dengan ikhlas menyerahkan kebunnya di jalan Allah.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, beliau berkata, “Ketika ayat ini diturunkan, ‘Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan ikhlas), maka Allah akan melipatgandakan balasannya dengan gandaan yang banyak.’ [TMQ Al-Baqarah (2): 245]. Lalu Abu ad-Dahdah al-Ansari berkata, “Wahai Rasulullah, adakah Allah SWT meminta pinjaman daripada kita?” Rasulullah SAW bersabda, “Benar, wahai Abu ad-Dahdah”. Abu ad-Dahdah pun berkata, “Hulurkan tanganmu kepadaku, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah SAW menghulurkan tangan Baginda kepadanya, lalu Abu ad-Dahdah berkata, “Sesungguhnya aku telah meminjamkan kebunku kepada Tuhanku.”
Pada ketika itu, Abu ad-Dahdah memiliki sebuah kebun yang di dalamnya terdapat enam ratus pohon kurma. Ummu ad-Dahdah dan anak-anak mereka tinggal di kebun tersebut. Kemudian Abu ad-Dahdah masuk ke kebunnya sambil memanggil isterinya, “Wahai Ummu ad-Dahdah!” Isterinya menjawab, “Aku menyahut panggilanmu.” Abu ad-Dahdah berkata, “Keluarlah, kerana sesungguhnya aku telah meminjamkan kebun ini kepada Tuhanku.”
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Ummu ad-Dahdah berkata kepada suaminya, “Perniagaanmu telah menghasilkan keuntungan, wahai Abu ad-Dahdah.” Kemudian beliau memindahkan barang-barangnya serta anak-anaknya. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Betapa banyak pelepah pohon-pohon besar milik Abu ad-Dahdah di syurga.”
Ummu ad-Dahdah telah memberi sokongan kepada suaminya dalam melakukan kebaikan yang diingini dengan penuh keredhaan, kerana mengharapkan ganjaran di sisi Allah SWT Beliau tidak berkata kepada suaminya, “Sisakanlah sesuatu untuk anak-anak kita,” atau “Mengapa engkau melakukan perkara ini? Bukankah kita boleh memberikan sebahagian sahaja dan menyimpan selebihnya untuk diri kita?” Beliau sama sekali tidak berkata demikian. Sebaliknya, beliau menambahkan semangat kepada suaminya untuk beramal soleh serta memberi khabar gembira bahawa apa yang dilakukan itu merupakan suatu perniagaan yang sangat menguntungkan. Hal ini kerana tiada perniagaan yang lebih menguntungkan daripada sesuatu yang dipersembahkan kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman, “Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” [TMQ An-Nahl (16): 96]
Daripada secebis cerita ini, kita boleh mengambil beberapa pengajaran. Pertama, penting bagi suami isteri untuk mempunyai kefahaman dan pemikiran yang sama dalam melihat harta yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya. Sesungguhnya harta ialah amanah yang wajib dijaga dan digunakan untuk kepentingan memperjuangkan agama Allah.
Kedua, seorang isteri hendaklah memberikan sokongan dan motivasi ketika suaminya melaksanakan kebaikan. Kemurahan hati Abu ad-Dahdah disokong sepenuhnya oleh isterinya. Bahkan beliau menggalakkan suaminya untuk menyerahkan seluruh hartanya demi memperjuangkan agama Allah dan mendapatkan keredhaanNya. Sudah tentu, keadaan seperti ini sangat disokong oleh sistem kehidupan yang wujud pada ketika itu, apabila Islam dilaksanakan secara menyeluruh (kafah), sehingga umat terdorong untuk melakukan banyak kebaikan.
Berbeza dengan sistem kapitalisme yang diamalkan pada masa kini, kebanyakan orang berusaha mencari harta sebanyak mungkin dan hanya menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri serta keluarga. Bahkan, seorang isteri kadang-kadang dilihat sebagai penghalang apabila suaminya ingin bersedekah atau menafkahkan hartanya di jalan kebaikan.
Ketiga, suami isteri mesti yakin bahawa kelak di akhirat, Allah SWT pasti akan membalas harta kekayaan yang diinfaqkan di jalanNya dengan pahala yang lebih baik. Ini adalah janji Allah SWT kepada hambaNya.
Semoga kisah ini dapat menginspirasi kita untuk mencontohi sikap Ummu ad-Dahdah dalam menginfakkan harta kekayaannya. Beliau melakukannya tanpa sebarang rasa berat hati atau kebimbangan terhadap masa depan kehidupan anak-anaknya.
#UmmuAlDahdah #SerikandiTeladan #Infak #Sedekah #Pemurah #IsteriSolehah