Saudah binti Zam’ah RA, Salah Seorang Wanita As-Sabiqun Al-Awwalun yang Dikagumi Aisyah RA
Penulis: Nabila Ummu Anas
Saudah binti Zam’ah adalah isteri kedua Rasulullah SAW. Beliau merupakan puteri kepada Zam’ah bin Qais daripada suku Quraisy. Ibunya bernama As-Syamus binti Qais bin Amr yang berasal dari Yathrib (Madinah). Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, suami beliau ialah sepupunya sendiri yang bernama As-Sakran bin Amr. Kedua-duanya termasuk dalam kalangan as-sabiqunal al-awwalun, iaitu para sahabat yang memeluk Islam pada peringkat awal risalah kenabian. Mereka juga termasuk dalam rombongan yang berhijrah ke Habsyah pada gelombang kedua. Saudah RA menjadi janda kerana suaminya wafat selepas kepulangan mereka ke Mekah.
Meskipun usianya tidak muda lagi, namun Saudah RA adalah seorang wanita yang memiliki keimanan yang kukuh. Rasulullah SAW melindunginya daripada fitnah keluarganya yang masih musyrik dan memusuhi dakwah Islam. Kedua-duanya berkahwin pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh kenabian.
Termasuk Golongan As-Sabiqun Al-Awwalun
Saudah binti Zam’ah termasuk dalam kalangan wanita terawal yang memeluk Islam. Beliau terlibat dalam peristiwa hijrah sebanyak dua kali, iaitu hijrah ke Habsyah dan juga ke Madinah al-Munawwarah. Allah SWT mengistimewakan golongan yang memeluk Islam pada peringkat awal penurunan risalah Islam ini kerana besarnya pengorbanan mereka. Pada waktu itu, Islam masih lagi dianggap sangat asing. Memilih Islam bermakna jiwa dan harta menjadi taruhan. Demikianlah ujian yang dihadapi oleh Saudah RA pada masa itu.
Allah SWT berfirman, “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (memeluk Islam) dalam kalangan orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikut mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan kepadaNya, serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.” [TQM At-Taubah (9): 100].
“Dan mengapa kamu tidak membelanjakan (menginfaqkan) hartamu pada jalan Allah, padahal Allah yang mewarisi segala langit dan bumi? Tidaklah sama di antara kamu, orang yang membelanjakan hartanya dan turut berperang sebelum pembukaan (kota Mekah). Mereka itu lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya dan turut berperang sesudah itu. Dan Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan Allah Maha Mengetahui (teliti) akan apa yang kamu kerjakan.” [TQM Al-Hadid (59): 10].
Mereka ingin meraih keredhaan Allah SWT sehingga menjadi semakin kukuh memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai halangan dan rintangan mereka lalui dengan penuh kesabaran kerana pengorbanan di jalan Islam merupakan sebuah kemestian. Keadaan ini tidak menyerupai kehidupan kaum Muslimin pada hari ini, apabila Islam hanya tersisa pada rutin ibadah tanpa roh. Dengan demikian, keputusan untuk terus mengkaji Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian pasti akan terasa sangat berat dan terasing. Ditambah lagi dengan sistem dan suasana kehidupan yang jauh daripada Islam, bersifat sekular liberal, hijrah yang hanya terbatas pada penampilan luaran, serta sikap individualistik. Oleh itu, komitmen untuk menjadi yang terawal dalam memegang teguh Islam dan memperjuangkannya memerlukan kekuatan iman yang sangat kukuh, seperti mana yang dimiliki oleh Saudah binti Zam’ah.
Kehidupan jahiliah yang mendominasi dan kejam ternyata tidak menggoyahkan keputusan beliau untuk tetap memeluk Islam. Malah, beliau membela dan memperjuangkannya bersama-sama golongan as-Sabiqun al-Awwalun yang lain. Orang-orang musyrik Quraisy menyakiti sesiapa sahaja yang memeluk Islam dan mengikuti ajaran Rasulullah SAW. Setiap kabilah bertindak mengurung, memukul, membiarkan kelaparan dan kehausan, serta mengheret mereka di padang pasir pada waktu tengah hari yang terik. Umat Islam terus diseksa agar keluar daripada agama ini. Ajaran Islam dianggap mengancam kewujudan kekuasaan kafir Quraisy pada waktu itu, sehingga pelbagai usaha dilakukan oleh mereka untuk menghalang serta menghapuskan para penganut dan pejuang ajaran yang mulia ini.
Berharap Redha Rasulullah SAW
Saudah RA sentiasa berusaha untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW walaupun beliau terpaksa mengorbankan kesenangan peribadinya. Beliau tahu benar bahawa wanita yang paling dicintai oleh Nabi Muhammad SAW dalam kalangan isteri-isteri baginda ialah Aisyah RA. Oleh itu, beliau sangat ingin menyenangkan hati Rasulullah SAW dengan menyerahkan hari gilirannya kepada Aisyah RA demi meraih keredhaan Rasulullah SAW.
Aisyah RA berkata, “Apabila Rasulullah SAW mahu melakukan perjalanan jauh (safar), baginda sentiasa mengundi isteri-isterinya. Sesiapa yang namanya keluar, maka dialah yang akan menyertai baginda dalam perjalanan tersebut. Selain itu, baginda juga membahagikan giliran isteri-isterinya setiap sehari semalam, kecuali Saudah. Beliau memberikan hari gilirannya kepada Aisyah, isteri Nabi SAW, untuk menyenangkan hati Rasulullah.” [HR. Bukhari].
Apabila usia Saudah RA semakin lanjut, beliau berasa bimbang sekiranya Rasulullah SAW akan menceraikannya. Beliau berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, aku mahu memberikan hari giliranku kepada Aisyah.” Rasulullah SAW menerima tawaran tersebut. Aisyah RA berkata, “Berkenaan dengan peristiwa ini dan peristiwa-peristiwa lain yang seumpamanya, menurutku ia bertepatan dengan firman Allah SWT, “Dan jika seorang perempuan bimbang akan perbuatan “nusyuz” (kebencian) atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidaklah salah bagi mereka berdua membuat perdamaian di antara mereka (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya bakhil(kikir)…” [TQM An-Nisa (4): 128].
Aisyah RA Kagum kepada Saudah RA
Sikap itsar (mengutamakan orang lain) Saudah RA yang luar biasa itu membuatkan Aisyah RA sangat kagum. Imam Muslim dalam kitab sahihnya meriwayatkan tentang kekaguman ini. Aisyah RA berkata, “Tidak ada seorang wanita pun yang lebih aku sukai agar diriku menjadi seperti dirinya selain Saudah binti Zam’ah. Beliau adalah seorang wanita yang cekal dan berjiwa besar. Tatkala memasuki usia senja, beliau berkata, ‘Ya Rasulullah, aku hadiahkan bahagian (jatah) giliranku bersamamu untuk Aisyah.’” [HR. Muslim].
Wanita yang Sangat Dermawan
Saudah RA adalah seorang wanita yang dermawan dan murah hati. Beliau tidak pernah tergoda oleh kemewahan dan kesenangan dunia. Setiap kali mendapat harta, beliau akan segera membahagikannya kepada orang-orang yang berada di sekelilingnya. Pasca pembukaan benteng Yahudi Khaibar, Saudah RA mendapat bahagian rampasan perang sebanyak 80 wasaq (sekitar 10 tan) kurma dan 20 wasaq (sekitar 2.5 tan) gandum. Namun, sebelum bekalan itu sampai ke rumahnya, beliau telah menyedekahkan kesemuanya kepada orang-orang yang memerlukan.
Ibnu Sirin menceritakan bahawa pada ketika Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, beliau pernah mengirimkan satu karung berisi wang dirham kepada Saudah. Apabila melihatnya, Saudah bertanya, “Apa yang ada di dalam karung ini?” Petugas Umar menjawab, “Wang dirham.” Saudah RA terkejut lalu berkata, “Karung ini berisi wang dirham seperti kurma! Wahai pembantu, ambilkan talam!” Pada ketika itu juga, Saudah RA membahagikan wang dirham tersebut kepada orang-orang yang memerlukan.
Sungguh luar biasa peribadi Saudah RA, sang Ummul Mukminin (Ibu Orang-Orang Beriman). Beliau merupakan seorang wanita daripada golongan as-sabiqun al-awwalun yang sangat patut dicontohi oleh para muslimah pada zaman ini. Kehidupannya hanya diabdikan untuk meraih keredhaan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sumber: 35 Sirah Shahabiyah: 35 Sahabat Wanita Rasulullah saw/ Mahmud Al-Mishri/ Al-I’tishom
#SirahSahabiyah #UmmulMukminin #SerikandiTeladan #MuslimahIdeal