Oleh: Amani Mohamed
Pandemik Covid-19 bukan saja mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi yang serius, tetapi turut menyebabkan ramai kanak-kanak menjadi anak yatim berikutan kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga yang disebabkan oleh jangkitan virus terbabit. Sebuah kajian kerjasama beberapa universiti terkemuka dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Bank Dunia dan beberapa badan lain telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Children: The Hidden Pandemic 2021”. Kajian yang mengumpulkan data statistik daripada 192 buah negara di dunia itu mendedahkan bahawa sehingga hujung April 2021 yang lalu terdapat lebih daripada 1.5 juta kanak-kanak kehilangan ibu bapa/datuk dan nenek yang menjaga/penjaga yang tinggal bersama dan menjaga mereka. Menurut UNICEF, anak yatim ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang kehilangan ibu atau bapa, atau kedua-duanya. Malaysia turut tidak terkecuali diuji dengan perkara yang sama. Rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan seramai 4,422 murid (yang bersekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia) kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga mereka di seluruh negara sehingga 13 September 2021 yang lalu. Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, maka akan berlaku pengabaian hak buat mereka.
Terdapat sebuah laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 5/5/2021 iaitu selepas kematian ibu bapa akibat Covid-19, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun hilang arah hingga menjadi gelandangan di Bukit Raja Klang. Adik tersebut telah ditemui oleh Ustaz Ebit Lew dan difahamkan mula menjadi gelandangan sejak Januari tahun lalu dan hanya tidur di jalanan. Seterusnya, Astro Awani pada 13/7/2021 pula telah melaporkan berita mengenai kematian mengejut seorang suami akibat Covid-19 menjadi detik yang amat mencabar buat seorang ibu dan 10 anaknya yang baru berusia antara 2 hingga 16 tahun. Jika sebelum ini, Nurhidayah Junuh serta arwah Suami Mohd Rusli Adam menjual kuih di kedai dan warung sekitar, kini dia sukar melakukan kerja itu kerana perlu menjaga anak yang masih kecil. Berdasarkan dua kisah duka yang benar ini, tentu membuatkan kita terfikir, apakah ada solusi yang tuntas untuk membela nasib anak-anak ini? Adilkah untuk mereka terus merasa kepayahan hidup? Tentu Islam yang sempurna ini ada jawapan bagi semua persoalan tadi.
Anak Yatim Dalam Islam
Islam sangat mengiktiraf hak dan kedudukan setiap manusia. Perkara ini menjadi kepentingan setiap individu untuk mendapatkan keistimewaan masing-masing tanpa memudaratkan individu lain berlandaskan hukum syarak termasuklah kanak-kanak. Menurut Islam, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seorang yang masih belum baligh atau diistilahkan belum dewasa atau belum mumayyiz. Manakala perkataan Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri. SyariatIslam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Ini dijelaskan sendiri oleh Nabi SAW yang mana telah bersabda:
لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ
“Tidak ada keyatiman setelah baligh.” [HR Abu Daud]
Seorang pengkaji bernama Mahmoud Yazbak (2001) telah menulis sebuah jurnal bertajuk “Muslim Ophans and The Sharia in Ottoman Palestine” telah mendapati kebanyakan anak yang menjadi yatim terus diambil alih oleh ahli keluarga besar mereka sebagai pengganti ayah yang telah tiada. Cuma beberapa kes yang dibawa ke pengetahuan Qadhi (hakim) apabila anak tersebut mewarisi harta yang banyak untuk ditentukan siapakah yang layak dilantik sebagai pemegang amanah harta tersebut. Laporan kajian ini mengakui beberapa ayat Al-Quran dan hadis berkaitan pemeliharaan anak yatim menjadi sumber rujukan para waris serta Khilafah Uthmaniyyah dan sebelumnya dalam bertindak melindungi hak mereka. Antaranya, janji Rasulullah SAW melalui hadis di bawah:
“Aku dan orang yang mengasuh atau memelihara anak yatim akan berada di Syurga begini,” kemudian baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah dan merenggangkannya sedikit.”[HR. Bukhari, Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad]
Tujuh Lapisan Perlindungan Anak Dalam Islam
Generasi pasca Covid-19 melalui pengalaman hidup yang unik dan penuh tekanan. Tambah tertekan apabila pengurusan pandemik menjadi carca-marba kerana poket dan kuasa para kapitalis menjadi keutamaan. Ini sangat berbeza dengan Islam yang mempunyai mekanisme yang terbaik dan penerapan syariatnya bersifat baku. Ini termasuklah urusan perlindungan anak sama ada yang masih mempunyai ayah dan ibu mahupun sebaliknya.
Pertama: HADANAH
Hadanah ertinya melayani urusan anak mencakupi memandikan, menyuapkan, menggantikan pakaian, membersihkan kemaluan anak setelah buang hajat dan sebagainya. Anak-anak yang baru lahir mendapat hadanah sepenuhnya. Semakin bertambah waktu dan pertumbuhan anak semakin berkembang, peratus hadanah berkurang sehinggalah dia berdikari. Siapakah yang memiliki hak dan kewajipan melakukan hadanah? Mereka ialah para ibu, adik beradik perempuan dan ibu saudara. Ibu dalam pandangan syariat Islam terdiri dari ibu kandung pada urutan pertama, lalu ibunya ibu (nenek) pada urutan kedua. Ayah kandung pada urutan ketiga, dan ibunya ayah pada urutan keempat dan seterusnya. Jika para ibu sudah tiada, maka hak hadanah berpindah ke kelompok kedua iaitu adik-beradik perempuan. Bermula dengan seibu sebapa kemudian sebapa berlainan ibu. Kelompok seterusnya yang layak adalah para ibu saudara. Bermula dengan sebelah ibu (kakak dan adik perempuan ibu). Urutannya seibu sebapa, seibu berlainan bapa dan sebapa berlainan ibu.
Hak hadanah boleh berubah berdasarkan urutan kerana pihak sepatutnya telah meninggal dunia atau tidak memenuhi syarat kelayakan iaitu memiliki sifat penuh kasih sayang, akhlak yang baik dan fokus dalam melakukan hadanah. Dengan adanya urutan dan adanya jaminan kelayakan tertentu pada hadin (pelaku hadanah), maka Islam menjamin setiap anak berada dalam pengasuhan yang terbaik.
Kedua: KAFALAH
Kafalah adalah pengasuhan secara umum dan berbeza dengan hadanah. Apabila anak-anak telah boleh berdikari, dia diasuh dengan pengarahan dan diingatkan, bukan dilayani. Seperti diingatkan untuk makan, rehat, mandi dan lain-lain serta dibantu sekadarnya sahaja. Sebab, kadang-kadang anak-anak ini belum sepenuhnya mampu mengukur keperluan dirinya, hingga perlu ada orang dewasa yang mengingatkannya. Kafalah adalah kewajipan keluarga (ayah dan ibu).
Ketiga: MADRASAH
Madrasah ertinya sekolah atau tempat menerima pendidikan. Ayah dan ibu adalah dua peribadi yang memiliki kewajipan menjalankan fungsi madrasah. Ayah bahkan wajib menjadi madrasah bagi ibu, agar ibu memiliki kemampuan menjadi madrasah pertama dan utama bagi anak. Ayah sebaiknya memiliki waktu tertentu yang dikhususkan secara rutin untuk memberikan nasihat dan arahan pada anak. Sedangkan ibu, menjalankan fungsi madrasah sepanjang masa bersama anak. Dek kerana kecerdasan seorang anak bergantung kepada jumlah informasi/ransangan/maklumat awal yang dia miliki, maka peranan ibu amat penting.
Ibu menyampaikan pelbagai perkembangan yang dialami anak kepada ayah. Lalu ayah dapat membuat penegasan pada waktu rutin untuk dia bercakap dengan anak. Dengan berjalannya fungsi madrasah oleh keluarga, maka anak akan memiliki kematangan dan pengetahuan untuk boleh bersikap secara tepat dalam setiap situasi dan keadaan.
Keempat: WILAYAH
Wilayah ertinya kekuasaan. Dalam hal ini, ayahlah yang memiliki kekuasaan terhadap seluruh anggota keluarga. Ayah yang memiliki perintah dan larangan yang wajib ditaati, dalam rangka menjaga jiwa dan kehormatan seluruh anggota keluarga termasuk memiliki kewajipan nafkah dalam memenuhi keperluan asas makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Kelima: RI’AYAH
Ri’ayah ertinya mengurusi. Dalam hal ini, yang berkewajipan mengurusi adalah Negara. Ketua Negara wajib menjalankan fungsi ra’in (pengurus) iaitu mengurusi rakyatnya hingga seluruh rakyat per individu terpenuhi keperluan asasnya serta mendapat peluang untuk memenuhi keperluan kamaliyatnya (keperluan pelengkap). Negara wajib memastikan setiap ayah memiliki kemampuan menafkahi keluarganya. Bagi yang mampu bekerja, dipastikan oleh Negara mendapatkan pekerjaan. Manakala, ayah yang cacat dan tidak mampu bekerja dipastikan oleh Negara tetap mampu menafkahi keluarganya dengan cara, para walinya menjalankan fungsi nafkah. Ini termasuklah anak yatim yang telah kematian bapanya. Akhirnya, jika para wali tersebut pun tidak ada atau tidak mampu menafkahi, maka Negaralah wali yang menjalankan fungsi pemenuhan nafkah secara langsung.
Keenam: JUNNAH
Junnah ertinya perisai. Dalam hal ini Negara juga yang menjalankan fungsi junnah. Negara menjalankan syariatIslam dalam politik luar negeri, menjalankan syariatIslam dalam penjagaan keamanan dalam negeri dan menjalankan sistem kehakiman dan hukuman Islam. Ketiga-tiga bidang ini dilaksanakan Negara dalam rangka menjaga keselamatan rakyat baik secara fizikal mahupun menjaga keselamatan akidah, pemikiran dan akhlak mereka dari segala hal yang boleh merosakkan.
Ketujuh: MUHASABAH
Muhasabah adalah proses membuat pembetulan/penambahbaikan. Fungsi ini dijalankan oleh seluruh warga Negara. Muhasabah sesama anggota masyarakat dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar, muhasabah terhadap strategi/polisi/SOP negara yang menyimpang, termasuk juga muhasabah terhadap pegawai Negara yang tidak optimal menjalankan tugas dan sebagainya.
Khilafah Selalu Siap Siaga
Negara Islam adalah Khilafah. Berdasarkan tujuh lapisan perlindungan anak yang sempurna dalam Islam, khilafah bertanggungjawab memastikan sesiapa yang mengambil alih fungsi ayah atau ibu baharu bagi anak yatim tersebut menjalankan fungsi hadanah, kafalah, madrasah dan wilayah. Anak-anak yang dijamin perlindungannya melalui sistem Islam yang Kaffah akan membesar menjadi generasi terbaik yang akan mempertahankan Khilafah Islamiyah dengan dakwah dan jihad.
Wallahu’alam.