Para isteri yang merupakan seorang pendakwah, selalu berusaha untuk memberikan layanan yang terbaik buat suaminya. Mengoptimumkan peranannya sebagai isteri dan ibu pendidik generasi dan juga menunaikan kewajipan utamanya sebagai ummun warabbatul bait. Walaupun keletihan mendera, tetapi perkara itu tidak menghalang dan memutuskan semangat bagi para isteri dan ibu yang sedang memikul amanah sebagai pendakwah. Ketika urusan rumah dan anak-anak telah diselesaikan, mereka beralih pula untuk menunaikan berbagai persoalan umat, menyeru umat pada al-khair dan mencegah dari yang mungkar.
Para isteri perlu menitikberatkan keizinan dan redha suami dalam melakukan sesuatu perkara termasuklah dalam hal aktiviti dakwah agar isteri beroleh keberkatan. Kerana itu, ada beberapa perkara yang boleh suami lakukan untuk membantu isterinya menunaikan tanggungjawab dakwah yang Allah SWT wajibkan juga pada sang isteri.
Pertama, suami perlulah memiliki hati yang dermawan. Jadilah suami yang pemaaf. Sebagai contoh, jika suami merasakan kurang layanan dari isterinya, suami perlulah berlapang dada. Kerana dia perlu memahami bahawa isterinya telah berusaha semampu mungkin untuk menunaikan kewajipan-kewajipannya di rumah dan menunaikan juga kewajipannya sebagai pendakwah.
Kedua, dengan menjadi sahabat dakwah yang baik buat sang isteri. Kerana, perjuangan yang sedang dilalui bukanlah perjuangan yang biasa melainkan satu perkara besar yang akan mengakibatkan cabaran yang juga besar. Suami perlulah mendoakan dan memudahkan sahabat dakwahnya iaitu sang isteri dalam melalui setiap jalan perjuangan.
Ketiga, memotivasikan sang isteri untuk selalu memberikan yang terbaik bagi aktiviti dakwahnya. Jika suami melihat aktiviti dakwah isteri mula merosot, dialah yang menjadi orang pertama yang akan memberi semangat dan memotivasikan sang isteri untuk bersegera menunaikan amanah dakwah sebaik mungkin. Kerana sang suami memahami bahawa menyedarkan umat akan fahaman Islam melalui dakwah merupakan cara kita menunaikan hak Allah. Ketika seorang isteri bertanya pada suaminya, “mengapa sang suami merestui dan redha atas aktiviti dakwah sang isteri?” Maka jawablah, “kerana saya ingin kamu memiliki banyak pahala dan berharap agar segala potensi yang kamu miliki digunakan untuk dakwah. Potensi atau kelebihan adalah nikmat yang diberikan oleh Allah. Hendaknya nikmat itu juga ditujukan untuk menolong agama Allah. Jika satu saat nanti ditanya oleh Allah, untuk apa kelebihan yang Allah berikan kepadamu? Kamu akan menjawabnya dengan kamu berikan ia untuk dakwah.”
Kata-kata motivasi dari sang suami pastinya akan menambahkan keyakinan buat sang isteri bahawa aktiviti dakwah bukanlah tawaran ataupun selingan melainkan ianya merupakan satu kewajipan. Sesungguhnya, antara keutamaan dakwah adalah, pertama, dakwah merupakan muhimatur rusul (tugas para Nabi dan Rasul). Kedua, dakwah ialah ahsanul a’mal (sebaik-baik amal). Ketiga, dengan berdakwah, seorang muslim boleh meraih pahala yang sangat besar (al-hushul ‘alal ajri al azhim). Keempat, dakwah juga dapat menyelamatkan para dai dari azab Allah SWT dan pertanggungjawaban di akhirat. Kelima, dakwah merupakan jalan menuju khairu ummah (umat yang terbaik). Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali-Imran (3): 104].
Berbahagialah duhai isteri jika telah mendapat restu dan redha dari suami atas aktiviti dakwah yang sedang ditunaikan. Sungguh hal itu menjadi salah satu jalan kita meraih berbagai keberkatan dan pahala dari Allah SWT. Masya Allah!
Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/11/13/nafsiyah-istri-berdakwah-suami-mendukung-dengan-ridanya/