Anas bin Malik ra. berkata, “Kali terakhir aku memandang Rasulullah ﷺ, iaitu tatkala tirai biliknya dibuka pada hari Isnin. Aku memandang wajahnya seperti kertas mushaf (dalam keindahan dan kebersihannya). Orang yang solat di belakang Abu Bakar ra. hampir saja berlaku kekecohan di antara umat. Kemudian beliau (Abu Bakar ra.) memerintahkan umat agar bertenang. Abu Bakar memimpin mereka, tirai bilik Nabi ﷺ dibuka dan Rasulullah ﷺ didapati telah wafat pada penghujung hari itu.”
Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata, “Aku menyandarkan Nabi ﷺ ke dadaku… (Atau perawi ragu) dia berkata… Ke pangkuanku. Kemudian, beliau meminta supaya mengambilkan bekas untuk membuang air kecil. Beliau membuang air kecil pada bekas tersebut dan selepas itu beliau wafat.”
Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata, “Aku melihat Rasulullah ﷺ ketika beliau menghadapi kematian, di sampingnya ada mangkuk berisi air. Rasulullah ﷺ memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu, kemudian menyapu wajahnya dengan air, kemudian beliau berdoa, ‘Allahummaa ‘inni ‘ala munkaratil maut (Ya Allah tolonglah aku dalam menghadapi kesulitan maut).’ Atau perawi ragu, “…ala sakaratil maut (sekarat maut).”
Ummul Mukminin Aisyah ra. menceritakan, “Aku tidak lagi membayangkan kemudahan wafat seseorang setelah aku melihat kewafatan Rasulullah ﷺ.”
Masih riwayat dari Aisyah ra. Beliau berkata, “Apabila Rasulullah ﷺ wafat, para sahabat berselisih pendapat tentang pengebumiannya. Abu Bakar berkata, ‘Aku mendengar sabda Rasulullah ﷺ yang tidak aku lupakan. Beliau bersabda, ‘Allah SWT tidak mewafatkan seorang Nabi, melainkan beliau dikubur pada tempat yang paling disenanginya. Oleh itu, kuburkan beliau di tempat tidurnya.”
Aisyah berkata, “Sesungguhnya Abu Bakar ra. mencium (mengucup) Nabi ﷺ setelah baginda wafat.”
Masih dari Aisyah ra. Beliau berkata, “Sesungguhnya Abu Bakar ra. masuk ke rumah Nabi ﷺ setelah beliau wafat. Maka dia meletakkan mulutnya (mencium) di antara kedua mata beliau dan dia meletakkan kedua-dua tangannya di atas kedua-dua lengan Nabi ﷺ.. Abu Bakar ra berkata, ‘Wahai Nabi, wahai sahabat yang ikhlas, wahai kekasih.’
Anas ra. menceritakan, “Pada hari Rasulullah ﷺ masuk ke Kota Madinah bercahaya segala yang ada di Madinah. Namun, apabila beliau wafat, suramlah segala yang ada di Madinah. Kami tidak melepaskan tangan-tangan kami dari tanah… Dan sungguh kami telah menguburkannya. Hati kami seakan tidak percaya (akan kejadian tersebut).”
Aisyah menjelaskan bahawa Rasulullah ﷺ wafat pada hari Isnin.
Muhammad al-Baqir menceritakan, “Rasulullah ﷺ wafat pada hari Isnin. Jenazahnya ditahan pada hari itu dan malam Selasa. Beliau dikebumikan pada tengah malam Rabu.” Sufyan (Ibnu Uyainah) dan yang lain berkata, “Terdengar bunyi cangkul yang pelbagai di penghujung malam.”
Abu Salamah bin Abdurrahman bin Auf ra berkata, “Rasulullah ﷺ wafat pada hari Isnin dan dikebumikan (dengan segala persiapan dilakukan) mulai hari Selasa.”
Salim bin Ubaid ra berkata, “Tatkala Rasulullah ﷺ sakit, beliau (Rasulullah) sempat pengsan, kemudian sedar kembali. Beliau bersabda, ‘Adakah telah masuk waktu?’
Para sahabat menjawab, ‘Ya.’
Kemudian, baginda bersabda, ‘Perintahkan Bilal agar melaungkan azan dan perintahkan Abu Bakar solat (menjadi Imam) bagi umat (atau beliau berkata, perawi ragu) bersama umat.’
Seterusnya, Salim berkata, “Kemudian baginda pengsan kembali, kemudian sedar kembali lalu bersabda, ‘Adakah telah masuk waktu solat?’” Para sahabat menjawab, ‘Ya.’
Kemudian, beliau bersabda, ‘Perintahkan Bilal melaungkan azan dan perintahkan agar Abu Bakar melaksanakan solat bersama umat.’
Aisyah berkata (usul) kepada Rasulullah, ‘Sesungguhnya ayahku sangat sensitif. Bila dia berdiri di tempat itu dia akan menangis dan dia tidak akan mampu berdiri. Bagaimana jika anda perintahkan saja orang lain?’
Salim berkata lagi, ‘Kemudian beliau pengsan lagi kemudian sedar kembali lalu berkata, ‘Perintahkan Bilal melaungkan azan dan perintahkan agar Abu Bakar melaksanakan solat dengan umat (menjadi imam). Sesungguhnya, kalian (wahai kaum wanita) seperti wanita-wanita pada zaman Nabi Yusuf.’
Maka Bilal diperintahkan untuk melaungkan azan dan Abu Bakar diperintahkan, dia pun solat bersama umat (menjadi imam). Kemudian, Rasulullah ﷺ merasa sakitnya berkurangan, maka beliau bersabda, ‘Carikan untukku orang yang bersedia aku telekan!’, Maka datanglah Burairah dan seorang lelaki yang lain kemudian Rasulullah ﷺ bertelekan pada kedua-duanya.
Apabila Abu Bakar melihatnya, dia mengundurkan diri tetapi Rasulullah ﷺ mengisyaratkan agar dia tetap di tempatnya.
Kemudian, Rasulullah ﷺ wafat, maka Umar bin Khattab ra berkata, “Demi Allah, tidak seorang pun yang kudengar menyebutkan Rasulullah ﷺ wafat, melainkan akan kupancung (kepalanya) dengan pedangku ini!”
Salim menceritakan lagi, “Umat pada ketika itu tidak mengetahui. Hal itu dapat difahami kerana sebelum ini tidak ada pada mereka seseorang Nabi. Maka apabila Umar melakukan demikian, umat hanya berdiam diri. Kemudian, mereka berkata, ‘Wahai Salim, berangkatlah engkau menemui sahabat Rasulullah ﷺ (Abu Bakar) dan panggillah dia ke sini!’
Aku bertemu dengan Abu Bakar semasa dia sedang berada di dalam masjid. Aku menghampirinya sambil menangis kerana kebingungan. Apabila dia melihat aku, dia bertanya,
‘Adakah Rasulullah ﷺ telah wafat?’
Aku menjawab, ‘Sungguh Umar berkata, ‘Tidak seorang pun yang kudengar menyebut Rasulullah ﷺ wafat, melainkan aku akan memenggal kepalanya dengan pedangku ini!’
Abu Bakar berkata, ‘Baik, pergilah’
Maka aku pergi bersamanya. Setibanya di sana, orang-orang telah masuk ke rumah Rasulullah ﷺ, untuk itu dia berkata, ‘Wahai umat Muhammad, berilah aku jalan’
Kemudian, mereka memberi laluan. Dia menghampiri jenazah Rasulullah dan bersimpuh, lalu membaca surah Az-Zumar ayat 30 yang maksudnya, “Sesungguhnya engkau akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”
Para sahabat berkata, ‘Wahai sahabat Rasulullah, adakah Rasul telah wafat?’
Abu Bakar menjawab, ‘Ya.’
Mereka berkata, ‘Adakah solat jenazah juga dilakukan untuk Rasulullah?’
Abu Bakar menjawab. ‘Ya’
Mereka berkata, ‘Bagaimana caranya?’
Abu Bakar menjawab, ‘Sekumpulan orang masuk, kemudian bertakbir, membaca selawat dan berdoa, kemudian keluar. Setelah itu, masuklah sekumpulan berikutnya, lalu bertakbir, membaca selawat dan berdoa. Kemudian, keluar sehingga semua orang melakukannya.’
Mereka bertanya lagi, ‘Adakah Rasulullah juga dikebumikan’
Abu Bakar menjawab, ‘Ya’
Mereka bertanya, ‘Di mana?’
Dia menjawab, ‘Di tempat Allah mencabut rohnya’
Kemudian, dia memerintahkan mereka agar yang memandikan beliau adalah sepupu dari nasab bapanya. Orang-orang Muhajirin bermusyawarah (tentang Khalifah sesudahnya), maka berkatalah mereka, “Temuilah teman-teman kita dari kelompok Ansar. Kita masukkan mereka bersama dalam perumusan perkara ini (Khalifah).’
Golongan Ansar berkata, ‘Dari golongan kami seorang wakil, dari golongan kalian juga seorang wakil.’
Umar bin Khattab berkata, ‘Siapakah gerangan yang dapat menandingi orang yang memiliki tiga keutamaan? Dia adalah salah satu dari dua orang di antara keduanya (Abu Bakar dan Nabi ﷺ) berada dalam gua. Di kala itu Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Janganlah kau berduka, sesungguhnya Allah bersama kita.’
Siapakah gerangan orang yang berdua itu? Salim meneruskan ceritanya, “Kemudian Umar menghulurkan tangannya, maka para sahabat berbaiat kepada Abu Bakar dan seluruh umat juga ikut memberikan baiat kepadanya dengan baiat yang tulus ikhlas.” Wallahualam.
Sumber:
https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2004116393099499/