Penulis: Rohmah
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [TMQ al-Baqarah: 208].
Dalam Tafsir Jalalain juz I, Imam Jalaluddin mentafsirkan TMQ al-Baqarah, ayat 208, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mematuhi segala hukum-hukumnya,” maksudnya ke dalam seluruh syariat Islam. Allah mewajibkan penerapan hukum Islam secara keseluruhan baik berkaitan dengan akidah, syariat, ibadah, muamalah, ekonomi, sosial, politik, hingga pemerintahan (Khilafah). Allah mengharamkan mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. [Imam Jalaluddin, Tafsir Jalalain juz I, hlm 214].
Imam Jalaluddin menjelaskan bahawa syaitan akan membisikkan dan menggoda orang-orang yang beriman agar tidak mengikuti perintah Allah, iaitu menerapkan syariat Islam secara kaffah (menyeluruh). Akibatnya terdapat kaum muslimin yang tidak mahu menerapkan Islam kaffah. Hal ini akan menyebabkan kaum muslimin berpecah menjadi dua kelompok iaitu kelompok yang pro kepada Islam kaffah dan kelompok yang menolak Islam kaffah. Seperti biasa syaitan akan menghiasi dengan perkara-perkara yang indah kepada yang mahu mengikutinya. Sebaliknya menghiasi dengan perkara-perkara yang buruk pada kaum muslimin yang mengikuti Allah dan Rasul-Nya, iaitu Islam kaffah.
Hadis,
حفت النار بالشهوات وحفت الجنة بالمكاره
“Neraka itu dikelilingi perkara-perkara yang disukai nafsu dan syurga itu dikelilingi perkara-perkara yang dibenci.” [HR Ibn Hibban].
Akibatnya mereka memberi label negatif kepada kaum muslimin yang menjalankan Islam secara kaffah sebagai kelompok Islam radikal. Mereka dianggap sebagai kelompok yang seakan-akan buruk, sedangkan itulah sebenarnya Islam yang selari dengan perintah Allah. Sementara kelompok yang kedua ialah kelompok yang tidak mengikuti Islam kaffah, iaitu kelompok sekular (memisahkan urusan agama dari kehidupan). Maksudnya, bagi hukum-hukum yang berkaitan dengan ibadah, maka mereka mengikuti agama Islam, sedangkan hukum peraturan yang berkaitan dengan kehidupan, manusia membuatnya sendiri.
Kelompok ini seakan-akan dianggap baik, dilabel sebagai Islam yang harmoni, bertolak ansur, dan tidak radikal. Sedangkan sebenarnya perbuatan tidak mengikuti Islam kaffah adalah salah di sisi Islam, kerana mereka menetapkan hukum dan menerapkan hukum berdasarkan akalnya atau hawa nafsunya dan bukan berdasarkan al-Quran dan hadis. Bahkan, dalam al-Quran ianya disebut sebagai mengikuti langkah-langkah syaitan.
Seterusnya, melaksanakan kewajipan menerapkan syariat Islam mestilah menyeluruh dan tidak boleh memilih-milih yang dianggap diperlukan dan relevan. Allah mewajibkan kepada kaum muslimin untuk menerapkan syariat/peraturan/hukum Islam secara menyeluruh(kaffah), iaitu mengambil seluruh pegangan atau pedoman Islam dan seluruh syariat, serta menjalankan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan seluruh larangan-Nya.
Ibnu Kathir mentafsirkan mengenai menjalankan Islam secara kaffah dalam surah al-Baqarah ayat 208, di mana Allah SWT memerintahkan hamba-Nya yang beriman kepada-Nya, membenarkan RasulNya, agar mengambil seluruh pegangan Islam, seluruh syariat Islam, menjalankan seluruh perintahNya, dan meninggalkan seluruh laranganNya sesuai dengan kemampuannya (secara maksimum dan optimum) [Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Kathir Juz I, hlm 565].
Syariat Islam mestilah menjadi pedoman bagi kita saat beraktiviti dalam seluruh urusan kehidupan, baik urusan dunia mahupun akhirat. Syariat Islam mestilah menjadi pedoman saat beribadah, makan-minum, bergaul, berekonomi, berhukum, berpolitik, berkeluarga, berjiran, bermasyarakat, dan bernegara. Justeru, pelaksanaan syariah Islam secara kaffah tidak cukup diterapkan oleh individu dan jemaah. Namun, mesti terdapat institusi yang mempunyai kekuasaan untuk penerapan syariat Islam secara keseluruhan iaitu negara.
Walhasil, orang yang masuk Islam secara kaffah wajib menerapkan syariat Islam secara menyeluruh tanpa kecuali. Ini meliputi syariat Islam yang mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT iaitu akidah, tauhid, dan ibadah. Juga syariat Islam yang mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri iaitu makan, minuman, pakaian, dan akhlak. Dan syariat Islam yang mengatur hubungan manusia dengan manusia lain, iaitu sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, sistem hukuman, sistem pendidikan, dan sistem politik.
Mengenai sumber, maka syariat atau peraturan Islam hanya bersumber dari sumber yang telah ditetapkan agama Islam. Adapun sumber atau dalil penetapan bagi peraturan atau syariat ialah al-Quran, hadis, ijmak sahabat, dan qiyas.
Dengan demikian, menerapkan Islam kaffah tidak cukup dengan hanya menerapkan syariat Islam dalam sebahagian aspek kehidupan tertentu dan meninggalkan sebahagian yang lain. Misalnya seluruh peraturan diterapkan kecuali sistem pemerintahan dan sistem ekonomi. Apalagi hanya menerapkan sebahagian kecil hukum-hukum Islam, selebihnya bukan hukum Islam.
Terdapat kecaman yang keras bagi yang tidak melaksanakan hukum Islam secara menyeluruh (kaffah), iaitu dianggap mengikuti langkah-langkah syaitan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Dalam kitab Dirasat fi Al Fikri Al Islamiyah, Muhammad Husain menyebutkan bahawa jika syariat tidak diterapkan secara menyeluruh (kaffah), tujuan dari syariat Islam iaitu menjaga masyarakat Islam tidak akan terealisasi atau tercapai, antara lain kerana syariat Islam menjamin:
- Pemeliharaan atas keturunan (al Muhafazhatu ‘ala an nasl)
- Pemeliharaan atas akal (al Muhafazhatu ‘ala al ‘aql)
- Pemeliharaan atas kemuliaan/kehormatan (al Muhafazhatu ‘ala al Karamah)
- Pemeliharaan atas jiwa manusia (al Muhafazhatu ‘ala an nafs)
- Pemeliharaan atas harta (al Muhafazhatu ‘ala al mal)
- Pemeliharaan atas agama (al Muhafazhatu ‘ala ad din)
- Pemeliharaan atas keamanan (al Muhafazhatu ‘ala al amn).
- Pemeliharaan atas negara (al Muhafazhatu ‘ala ad daulah).