Penulis: Arief B. Iskandar
Ibnu Abbas pernah bertanya kepada ‘Atha bin Abi Rabah, “Mahukah aku tunjukkan seorang wanita penghuni syurga?” “Ya, tentu saja,” jawab ‘Atha. Ibnu Abbas ra. lalu menjelaskan, “Wanita berkulit hitam itu. Dia pernah datang kepada Nabi saw., lalu berkata, ‘Aku menderita penyakit sawan (epilepsi) dan auratku sering tersingkap (semasa diserang penyakit sawan, tersingkap tanpa disedarinya) Kerana itu doakanlah aku agar Allah menyembuhkan penyakitku.’ Nabi saw. berkata, ‘Jika engkau mahu, engkau dapat bersabar dan bagimu syurga. Atau aku akan berdoa agar Allah menyembuhkan dirimu.’ Wanita itu menjawab, ‘Aku memilih bersabar saja. Namun, tatkala penyakit sawan menimpaku, auratku sering tersingkap. Oleh sebab itu doakanlah agar auratku tidak tersingkap.’ Lalu Nabi saw. pun mendoakan wanita itu.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Penyakit sawan bukanlah penyakit ringan. Selain susah sembuh dan kerap menyerang, penyakit ini dapat mengundang aib bagi penderitanya mahupun keluarganya. Apalagi jika penyakit itu diderita oleh seorang wanita. Betapa besar rasa malu yang sering ditanggung penderita penyakit sawan dan keluarganya kerana banyak orang masih menganggap penyakit ini sebagai penyakit yang menjijikkan. Namun, renungkanlah perkataan wanita berkulit hitam penghuni syurga dalam riwayat di atas. Adakah kita menyaksikan satu kata saja meluncur dari lisannya yang menunjukkan bahawa dia membenci qada’—yakni penyakit sawan—yang kebetulan menimpa dirinya? Adakah dia mengeluhkan penyakit sawan yang dia derita? Adakah dia merasa malu kerana menderita penyakit tersebut? Tidak! Bukan itu yang dia keluhkan. Bukan itu yang membuat dia malu. Dia mengeluh dan merasa malu kerana auratnya sering tersingkap saat penyakitnya menyerang. Padahal saat penyakit sawan itu datang, dia tentu dalam keadaan tidak sadarkan diri. Walaupun auratnya tersingkap dalam keadaan tidak sedar ataupun dalam keadaan hilang akal, sudah pasti dia tidak berdosa. Namun, demikianlah penghuni syurga. Wanita berkulit hitam ini tetap sangat khuatir apabila auratnya secara tidak sengaja tersingkap meski dalam keadaan sakit dan tidak sedarkan diri. Bagaimana dengan kebanyakan wanita zaman sekarang, yang saat sihat dan dalam keadaan sedar pun, rela bahkan acapkali bangga menayangkan aurat mereka?
Sebagaimana wanita berkulit hitam penghuni syurga dalam riwayat di atas, pada zaman dulu para sahabiyah adalah wanita yang amat menjaga kehormatan dan aurat mereka. Para sahabiyah adalah para wanita yang memiliki rasa malu yang tinggi. Ummul Mukminin Aisyah ra., isteri Rasulullah saw., bahkan mempunyai rasa malu yang luar biasa. Setelah Rasulullah saw. wafat, Aisyah ra. biasa menziarahi makam beliau, yang berada di dalam kamarnya, tanpa mengenakan hijab. Ketika ayah beliau, Abu Bakar ra., wafat dan dikebumikan di sebelah makam Rasulullah saw., Aisyah ra. masih terbiasa berziarah tanpa mengenakan hijab. Namun, kebiasaan itu berubah ketika Umar bin al-Khattab ra. dikuburkan di kamarnya bersebelahan dengan makam Rasulullah saw. dan Abu Bakar ra. Setiap kali masuk ruangan itu, Aisyah ra. mengenakan hijab secara sempurna. Beliau berhijab sedemikian kerana Umar ra. bukanlah mahram-nya. Sedangkan Umar ra. telah meninggal dan jasadnya terkubur di dalam tanah (Jalaluddin as-Suyuthi, Syarh ash-Shudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur. Beirut: Dar ar-Rasyid, 1916).
Begitu juga dengan Ummul Mukminin Aisyah ra., Sayyidah Fatimah az-Zahra ra., puteri Rasulullah saw., yang memiliki rasa malu luar biasa. Beliaulah orang pertama yang meminta dibuatkan keranda agar saat meninggal dan dibawa ke kuburan, jenazahnya diletakkan di dalam keranda tersebut. Pada waktu itu, umumnya jenazah memang diusung oleh orang ramai tanpa keranda, seperti yang kita lihat pada hari ini. Suatu saat Fatimah binti Rasulullah merasa bahawa ajalnya telah dekat. Hal ini kerana, Rasulullah saw., pernah mengatakan kepada dirinya bahawa dia adalah anggota keluarga beliau yang pertama akan wafat menyusul beliau.
Puteri Rasulullah saw. yang juga isteri Ali bin Abi Thalib ini lalu berpesan kepada Asma’ binti Umais, yang hampir setiap hari menjenguk dirinya. “Saya tidak senang atas apa yang dilakukan terhadap wanita jika meninggal. Jenazah mereka hanya ditutupi dengan kain kafan sehingga lekuk tubuhnya terlihat,” kata Fatimah kepada Asma’, puteri Abu Bakar ash-Shiddiq. “Adakah engkau mahu aku tunjukkan sesuatu yang pernah aku lihat di Habsyah?” ujar Asma’. Asma’ lalu membuat sesuatu serupa keranda. Kerangkanya terbuat dari pelepah kurma, sedangkan bahagian luarnya ditutup dengan kain. Dengan begitu, jenazah yang dibawa dengan keranda itu tidak terlihat dari luar. Sejurus Fatimah melihat keranda itu, dia sangat gembira hingga tertawa. Lalu dia berpesan, “Nanti, jika aku meninggal, kamu dan suamiku, Ali, yang akan memandikan aku. Jangan ada orang lain yang ikut memandikan aku. Setelah itu, buatkan keranda seperti itu untuk diriku.” (HR adz-Dzhabi dalam Syiar A’la an-Nubala, dari penuturan Qutaibah bin Said dan Ja’far ra.). Demikianlah, sebagaimana penututuran Ibnu Abdil Barr, “Fatimah ra. adalah orang pertama yang saat meninggal dimasukkan ke dalam keranda pada masa Islam.’’
Demikianlah Ummul Mukminin Siti Aisyah ra. dia tetap merasa malu jika tidak mengenakan hijab meski di hadapan jasad Umar bin al-Khattab ra. yang sudah terbujur kaku di dalam tanah. Begitu juga dengan puteri Rasulullah saw., Fatimah az-Zahra ra. yang tetap merasa khuatir jika—dalam keadaan sudah terbujur kaku menjadi jenazah sekalipun—terlihat lekuk tubuhnya.
Bagaimana dengan kebanyakan wanita zaman sekarang?
Sayang sekali, mereka bukan saja tidak malu jika auratnya tersingkap. Mereka bahkan acapkali merasa bangga menayangkan lekuk-lekuk tubuh mereka. Kebanggaan mereka semakin bertambah apabila menyertai pertandingan ratu cantik- seperti Miss World—yang hakikatnya adalah ‘pertandingan aurat’. Mereka tidak pernah merasa khuatir terhadap ancaman Allah Swt. melalui lisan Rasul-Nya, “Para wanita yang berpakaian tetapi (pada hakikatnya) telanjang, berlenggak-lengkok dan kepala mereka seperti bonggol unta tidak akan masuk syurga ataupun sekadar mencium baunya.” (HR Abu Daud).
Duhai wanita, masihkah ada rasa malu di hatimu?! Tidakkah kamu takut jika kelak azab menimpa dirimu?! Wa ma tawfiqi illa bilLah