Lidah boleh menyakiti hati manusia tanpa melukakan badan. Luka di hati meninggalkan parut, tidak mudah hilang kecuali di kalangan muttaqin yang sentiasa ingat akan kebaikan orang lain terhadap dirinya dan tidak lupa berhutang budi pada orang lain, malah dengan ikhlas dia melupakan segala jasa dan kebaikan yang pernah diberikan kepada orang Iain.
Apabila suami isteri bersikap demikian, rumahtangga mereka akan menjadi syurga dunia. Sebaliknya, jika mereka selalu menghitung jasa dan kebaikan dirinya kepada orang lain, rumahtangga atau persahabatannya akan kehilangan mawaddah wa rahmah dan kebencian serta kedengkian akan tumbuh dengan subur, pada ketika itu pihak ketiga turut meniupkan api permusuhan.
Saidina Umar adalah seorang sahabat yang dikatakan oleh Rasulullah bahawa syaitan segan untuk mengganggunya. Dia adalah seorang yang kuat dan keras tetapi dia tetap manusia.
Apabila dia tersinggung dengan kata-kata Abu Bakar, hatinya terluka dia pulang ke rumah dan meninggalkan Abu Bakar untuk menjaga hatinya agar luka tidak bertambah parah. Peluang itu tidak digunakan oleh syaitan untuk dilagakan. Abu Bakar menyesal, salah atau benar tindakan dan sikap dirinya tidak menjadi pertimbangan yang nyata.
Abu Bakar pergi ke rumah Umar untuk meminta maaf kerana dia merasa bersalah. Dia tidak membiarkan perasaan buruk itu menghantui dirinya kerana hati nurani selalu jujur, dia mengakui kesalahan dan kekeliruannya walaupun lidahnya menyangkal.
Yang penting bukan cinta tetapi dicintai. Cinta yang tidak dapat balasan akan berubah menjadi azab, batin terseksa kerana yang menjadi nikmat adalah dicintai orang dan yang mendorong untuk berkorban adalah cinta.
Abu Bakar merasa batinnya terseksa apabila dia ditolak oleh Umar. Umar tidak mahu memaafkannya. Dia tidak menahan sakitnya hati kerana niat baiknya tidak diterima. Kemudian dia pergi menghadap Rasulullah saw.
Firasat Rasulullah saw sangat tajam, beliau mengetahui Abu Bakar datang membawa sesuatu yang berat di dalam hatinya. Setelah menerima keterangan dari Abu Bakar dan juga pengakuan atas kesalahan yang telah dia lakukan, dia menyatakan sangat menyesal atas kejadian itu, maka Rasulullah berasa sangat prihatin. Beliau ingat akan kebaikan kedua-dua sahabat terkemuka itu, beliau berat kepada mereka berdua yang kini batin mereka terseksa.
Antara yang diucapkan oleh Abu Bakar ialah:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَ عُمَرَ شَيْءٌ، فَأَسْرَعْتُ إِلَيْهِ، ثُمَّ إِنِّي نَدِمْتُ عَلَى مَا كَانَ مِنِّي إِلَيْهِ، فَسَأَلْتُهُ أَنْ يَغْفِرَ لِي، فَأَبَى عَلَيَّ، فَتَبِعْتُهُ الْبَقِيعَ كُلَّهُ، حَتَّى تَحَرَّزَ بِدَارِهِ مِنِّي، وَأَقْبَلَتُ إِلَيْكَ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya antara aku dan Umar telah terjadi sesuatu (ada ucapanku yang membuat Umar marah). Aku pun segera pergi kepadanya dan menyesali apa yang telah kuperbuat terhadapnya. Aku meminta maaf kepadanya, tetapi dia menolak. Maka aku mengikutinya sampai keliling kampung Baqy, bahkan ketika tiba di rumahnya pun dia mengelak dariku. Kini aku menghadap kepadamu.” (HR Bukhari dari Abu Darda)
Lalu Rasulullah saw berdoa dan meyakinkan bahawa Allah pasti akan mengampuni mereka. Beliau mengucapkan doa itu sebanyak tiga kali. Kemudian Umar juga menyesal atas perbuatannya kerana dia menutup pintu ketika Abu Bakar datang meminta maaf. Lalu dia pergi ke rumah Abu Bakar, tetapi ternyata Abu Bakar tidak ada di rumah. Kemudian dia pergi ke rumah Rasulullah dan di sana mereka bertemu.
Kedua-dua sahabat itu bukannya mengira jasa dan bukan juga saling membela diri bahawa dia yang paling benar sementara yang lain salah tetapi sebaliknya.
Abu Bakar berkata,
يا رَسولَ اللَّهِ، واللَّهِ أنَا كُنْتُ أظْلَمَ
“Demi Allah wahai Rasulullah, akulah yang paling bersalah.” (HR Bukhari)
Ucapan tulus ini dia ucapkan kerana dia tidak ingin Rasulullah saw akan menyalahkan Umar. Abu Bakar ra maklumkan bahawa dia yang memulakan dan membuat persahabatan terganggu.
Dengan demikian, suasana kembali jernih. Mereka saling memaafkan dan nikmat persahabatan menghilangkan segala rasa marah dan kedengkian berkat ketakwaan mereka yang mendorong untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah.
Kita hendaklah melupakan apa yang patut dilupakan dan tidak boleh melupakan sesuatu yang tidak boleh dilupakan iaitu kebaikan orang terhadap kita atau jasa baik mereka kepada masyarakat.
Tidak diragukan lagi bahawa para sahabat (semoga Allah meredhai mereka) adalah manusia biasa. Mereka boleh marah dan berselisih sama seperti manusia biasa tetapi mereka segera kembali kepada Al-Haq.
Sehubungan dengan kejadian itu, Rasulullah saw menerangkan kebaikan Abu Bakar,
إنَّ اللَّهَ بَعَثَنِي إلَيْكُمْ فَقُلتُمْ: كَذَبْتَ، وقَالَ أبو بَكْرٍ: صَدَقَ، ووَاسَانِي بنَفْسِهِ ومَالِهِ، فَهلْ أنتُمْ تَارِكُوا لي صَاحِبِي؟ مَرَّتَيْنِ، فَما أُوذِيَ بَعْدَهَا
“Sesungguhnya Allah mengutusku kepada kalian sebagai Rasul, lalu kalian waktu itu berkata, ‘Engkau dusta,’ tetapi Abu Bakar berkata, ‘Engkau benar.’ Dia membantuku dengan jiwa dan hartanya. Pantaskah kiranya kalian membiarkan sahabatku? Beliau mengucapkannya dua kali. Selepas itu, Abu Bakar tidak pernah disakiti.” (HR Bukhari)
Sikap para sahabat itu sesuai dengan firman Allah SWT,
إنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْاْ إِذَا مَسَّهُمْ طَٰئِفٌ مِّنَ ٱلشَّيْطَٰنِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka serta-merta mereka melihat (kesalahan-kesalahannya).” (TMQ Al-A’raf: 201).
Sumber: https://t.me/renunganhikmah/60