Penulis: Prof. Dr.-Ing. Fahmi Amhar
Dalam diri setiap manusia, Allah telah menanamkan: ada hajjatul udhawiyah agar manusia dapat mempertahankan hidupnya. Ada gharizah baqa‘ agar manusia dapat berbangga dengan dirinya. Ada gharizah nau‘ agar manusia dapat meneruskan keturunannya dan ada gharizah tadayyun agar manusia merasai kehadiran-Nya.
Dari hajjatul udhawiyah muncul keperluan makan dan tidur secukupnya. Dari gharizah baqa’ manusia bersaing untuk mencapai prestasi tertinggi. Dari gharizah nau’ mereka menyukai antara satu sama lain dan membentuk keluarga. Dari gharizah tadayyun mereka berdoa memohon keampunan dan keredhaan-Nya.
Dakwah termasuk ibadah untuk memenuhi gharizah tadayyun kita. Namun, kini ada orang berdakwah untuk mencari makan sepuas-puasnya. Ada orang berdakwah supaya diperhatikan oleh lawan jenis atau calon mertua dan ada juga orang berdakwah untuk menambahkan rasa bangganya.
Mungkin anda juga pernah melihatnya, ada yang dalam berdakwah suka menghujat orang lain. Dia berpuas hati bahawa orang lain tidak mempunyai “ilmu” yang setanding dengannya. Dia menghukum yang lain adalah bidaah, sesat, bahkan kufur dengan mudah.
Orang-orang sebegini hanya memuaskan gharizah baqa‘nya, bukan memuaskan gharizah tadayyun sesuai mengikut jalan yang diberikan-Nya.
Orang-orang seperti itu telah diramalkan ketika Rasulullah saw masih ada, “Jika kamu lihat mereka, kamu merasakan bahawa dirimu bukan apa-apa”.
Sabda Nabi saw yang mulia,
يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَيْسَتْ قِرَاءَتُكُمْ إِلَى قِرَاءَتِهِمْ شَيْئًا وَلَا صَلَاتُكُمْ إِلَى صَلَاتِهِمْ شَيْئًا وَلَا صِيَامُكُمْ إِلَى صِيَامِهِمْ شَيْئًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَحْسِبُونَ أَنَّهُ لَهُمْ وَهُوَ عَلَيْهِمْ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمْ تَرَاقِيَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ
“Akan keluar suatu kaum dari umatku, mereka membaca al-Quran, bacaan kamu dibandingkan dengan bacaan mereka tidak ada apa-apa, demikian juga solat dan puasa kamu dibandingkan dengan solat dan puasa mereka tidak ada apa-apa. Mereka membaca al-Quran dan menganggapnya sebagai pembela mereka, padahal ia adalah hujah yang menghancurkan alasan mereka. Solat mereka tidak sampai ke kerongkong, mereka lari dari Islam seperti anak panah yang memanah dari busurnya.” (HR Abu Dawud)
Sabda Nabi saw juga,
يَأْتِي فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ حُدَثَاءُ الْأَسْنَانِ سُفَهَاءُ الْأَحْلَامِ يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ لَا يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ
“Akan datang pada akhir zaman suatu kaum yang usianya muda dan pemahamannya dangkal, mereka mengucapkan perkataan manusia yang paling baik (Rasulullah), mereka lepas dari Islam sebagaimana lepasnya anak panah dari busurnya, iman mereka tidak sampai ke kerongkong..” (HR Bukhari).
Semoga apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw itu tidak termasuk kita. Maka janganlah berdakwah untuk memuaskan nafsu berbangga kita.
Artikel diambil dari:https://www.facebook.com/812692572241893/posts/2010296895814782/