Bab “Amar Makruf dan Membela Kebenaran Adalah Kunci Kejayaan di Dunia dan di Akhirat” (Hadis ke 51—57)
Hadis ke-53: “Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kalimah yang adil (Islam) kepada penguasa yang zalim.” (HR Ibnu Majah No. 4001).
Hadis ke-54: “Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim kemudian dia memerintahnya (dengan Islam) dan mencegahnya (dengan Islam), lalu dia dibunuh (oleh penguasa itu).” (HR Hakim No. 4872)
Penjelasan
a. Imam al-Munawi mengatakan bahawa perkataan “jihad” yang terdapat pada riwayat di atas bermakna bahasa, iaitu makna umum.
b. Riwayat kedua menunjukkan pahala yang besar bagi orang yang menyampaikan amar makruf nahi mungkar di hadapan penguasa yang zalim, kemudian dia dibunuh kerana aktivitas tersebut; maka mereka berada bersama Hamzah bin Abdul Muthalib sebagai penghulu atau pemimpin para syuhada. Hal ini menunjukkan bahawa aktivitas amar makruf nahi mungkar adalah jihad yang paling utama, baik dalam pengertian (makna) syarie mahupun makna umum.
c. Dalam syarahnya, Imam Abadi menyatakan bahawa para ulama berpendapat tidak ada seorang pun yang bebas atau dikecualikan dari aktivitas amar makruf nahi mungkar ini, walaupun orang tersebut menganggap bahawa aktivitas itu tidak ada faedahnya sama sekali. Sebaliknya, amar makruf nahi mungkar tetap wajib baginya.
d. Imam ash-Shidqi menjelaskan bahawa aktivitas amar makruf nahi mungkar di hadapan penguasa termasuk jihad yang paling utama kerana aktivitas tersebut memerlukan kesungguhan, kekuatan iman dan keteguhan peribadi pengembannya ketika menyampaikan koreksi kepada penguasa zalim yang terkenal luas akan kezaliman dan kekejamannya. Sementara itu, dia tidak merasa takut kepada penguasa tersebut kerana kekejaman mahupun kekuasaannya. Dia telah menjual dirinya kepada Allah dan meletakkan hak dan perintah Allah di atas hak peribadinya. Keadaan inilah yang membezakannya dengan para mujahid yang lain kerana para mujahid tidak selalu berada pada posisi yang berbahaya sebagaimana posisi orang yang menyampaikan kalimat-kalimat hak di hadapan penguasa yang kejam.
e. Mengoreksi penguasa adalah tugas yang paling sukar dan aktivitas amar makruf nahi mungkar yang paling mulia kerana seperti mana yang dinyatakan oleh Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, “Jika penguasanya bertakwa, umatnya juga akan menjadi umat yang bertakwa. Sebaliknya, jika penguasanya buruk, maka masyarakat juga akan buruk.” Oleh itu, koreksi terhadap penguasa pada hakikatnya merupakan koreksi kepada masyarakat; jika kerosakan undang-undang dan penguasa masih berterusan, maka masyarakat juga akan tetap rosak. [MNews/Gz]
Sumber: Fathullah, Abu Lukman. 60 Hadits Sulthaniyah (Hadits-Hadits tentang Penguasa). 2010.