Penulis: Arief B. Iskandar
Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud ria (dengan solat) di hadapan manusia. Tidaklah mereka menyebut nama Allah SWT kecuali sedikit sekali [lihat: TMQ An-Nisaa’ (4): 12]
Berkenaan ayat ini, Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengatakan bahawa orang-orang munafik biasa menipu Allah SWT. Sedangkan tidak diragukan lagi bahawa Allah SWT tidak mungkin tertipu kerana Dia Maha Mengetahui segala hal yang tersembunyi. Bahkan, dalam kalimat seterusnya dinyatakan bahawa Allah SWT membalas tipuan mereka. Maksudnya disini, Allah semakin menjerumuskan mereka di dunia dalam kesombongan, kesesatan dan pelecehan mereka terhadap kebenaran (Ibn Katsir, I/156).
Sebagaimana yang kita ketahui, pada bahagian awal Al-Quran surah al-Baqarah, Allah SWT telah mengelompokkan manusia ke dalam tiga golongan iaitu mukmin, kafir dan munafik. Allah SWT menjelaskan ciri-ciri orang mukmin dengan ringkas. Ciri-ciri orang kafir pula cukup dijelaskan dengan satu ayat. Tetapi, saat menjelaskan ciri-ciri orang munafik, Allah menerangkannya secara panjang lebar. Mengapa? Kerana faktanya, golongan munafik adalah golongan yang paling berbahaya dalam masyarakat kerana mereka adalah musuh dalam selimut. Kerana itu, tentu saja kita sangat perlu mengenali ciri-ciri golongan ini.
Allah SWT telah menyebut perkataan an-Nifaq dan kata jadiannya dalam Al-Quran sebanyak 37 kali dalam surah yang berbeza. Sebahagian ulama menbahagi sifat nifaq ini kepada dua. Pertama, nifaq i’tiqadi. Pelakunya pada dasarnya adalah kafir, tetapi berpura-pura atau menampilkan diri sebagai muslim. Munafik jenis ini ditempatkan pada tingkat yang paling dalam neraka. Mereka inilah musuh dalam selimut. Mereka ini, pada hakikatnya hanya mendustakan kitab-kitab Allah dan para malaikat-Nya atau mendustakan salah satu asas Islam [lihat : TMQ Al-Baqarah (2): 8-10).
Kedua, nifaq amali. Pelakunya boleh jadi muslim tetapi memiliki sifat atau ciri-ciri orang munafik. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “ada tiga tanda orang munafik. Jika berkata ia berdusta, jika berjanji ia ingkar, jika dipercayai dia berkhianat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Dalam salah satu kitabnya, A’id Abdullah al-Qarni menyebutkan 30 sifat orang-orang munafik yang disebutkan dalam Al-Quran. Antaranya adalah, berdusta, berkhianat, ingkar janji, malas beribadah, sering bersuka-ria, sedikit berzikir, sering terburu-buru dalam solat, mencela orang-orang yang taat dan soleh, mengolok-olok Al-Quran, as-Sunnah dan Rasulullah SAW, bersumpah palsu, enggan berinfak, tidak peduli terhadap nasib kaum muslim, suka menyebarkan berita bohong, mengingkari takdir, mencaci-maki kehormatan orang-orang soleh, sering meninggalkan solat berjemaah, membuat kerosakan di bumi dengan dalih mengadakan perbaikan, tidak ada kesesuaian antara lahirian dan batiniah, takut terhadap kejadian apa pun, menyuruh kemungkaran dan mencegah kemakrufan, bakhil, melupakan Allah SWT, mendustakan janji Allah dan Rasul-Nya, sombong dalam berbicara, menentang Allah dengan terus melakukan perbuatan dosa, seronok dengan musibah yang menimpa kaum mukmin dan dengki terhadap kebahagiaan mereka.
Seorang Sahabat, Hudzaifah ra. pernah berkata, “Orang-orang munafik sekarang lebih jahat (berbahaya) daripada orang munafik pada masa Rasulullah SAW….” Lalu beliau ditanya, “Mengapakah demikian?” Hudzaifah menjawab, “Kerana pada masa Rasulullah SAW masih ada, mereka menyembunyikan kemunafikannya. Tetapi sekarang, mereka berani memperlihatkannya.” (Diriwayatkab oleh Al-Farayabi tentang sifat an-nifaq [51-51], dengan isnad sahih).
Ingatlah bahawa kenyataan Hudzaifah ra. itu dia ucapkan pada 14 abad yang lalu. Jika demikian, bagaimana dengan orang-orang munafik pada abad ini? Saat ini mereka melakukan perilaku munafik secara terang-terangan dengan penuh kebanggaan, tanpa ada rasa malu, takut dan berdosa kepada Allah SWT. Lihatlah para penguasa/bakal penguasa yang berpura-pura muncul sebagai seorang muslim yang soleh dan solehah. Mereka berpura-pura solat dan seolah-olah mereka itu dekat dengan para ulama. Mereka berlakon seperti prihatin terhadap nasib kaum muslim. Sedangkan semua itu jarang sekali mereka lakukan. Mereka melakukan apa saja demi mempercantikkan citra mereka di mata rakyat. Mereka tidak sedar bahawa semua yang mereka lakukan pada hakikatnya hanyalah menipu Allah SWT. Bayangkan, Allah SWT saja mereka berani tipu. Bagaimana pula dengan rakyat mereka?!
Semoga kita dijauhkan dari para penguasa munafik seperti itu, juga dari sifat-sifat kemunafikan yang mungkin saja tanpa disedari, melekat pada diri kita masing-masing.