Hari ini, kita tidak henti-henti menyaksikan ataupun menemui pelbagai bentuk kezaliman di sekeliling kita. Ketiadaan penerapan peraturan Islam telah menyebabkan seseorang mudah melakukan zalim pada sesamanya. Hal itu juga yang penguasa muslim lakukan hari ini apabila mereka memimpin rakyat.
Kita boleh lihat dari pelbagai polisi dan produk undang-undang yang mereka putuskan, sebahagian besar tidak sesuai dengan harapan dan keperluan masyarakat. Semua dasar justeru sering menimbulkan masalah baru yang semakin menyulitkan masyarakat.
Dalam buku Fikih Sosial karya Abdul Aziz al Fauzan, terdapat tiga jenis kezaliman. Pertama, kezaliman yang tidak akan diampuni dosanya sama sekali, iaitu menyekutukan Allah (syirik).
Allah SWT berfirman, “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya ketika dia memberi pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ [TMQ Luqman (31): 13].
Kedua, kezaliman seseorang terhadap dirinya sendiri, yakni dengan melakukan maksiat kepada Allah. Ia merupakan kezaliman kerana hak Allah SWT ke atas hamba-Nya adalah mereka wajib menyembah Allah, mengesakan dan mentaati-Nya, juga tidak bermaksiat kepada-Nya, lalu bersyukur dan tidak kufur. Jika mereka melanggar perintah Allah, mereka termasuk orang-orang zalim. Namun, selama mereka bertaubat, Allah akan mengampuni mereka.
Allah SWT berfirman, “Talak yang dapat dirujuk itu dua kali. Setelah itu suami dapat menahan dengan baik atau melepaskan dengan baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kedua-duanya (suami dan isteri) bimbang tidak mampu menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu (wali) bimbang bahawa kedua-dua nya tidak mampu menjalankan hukum-hukum Allah, keduanya tidak berdosa atas bayaran yang (harus) diberikan (oleh isteri) untuk menebus dirinya. Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang zalim.” [TMQ Al-Baqarah (2): 229).
Ketiga, kezaliman seorang manusia terhadap manusia lain. Kezaliman yang Allah tidak akan biarkan adalah ketika manusia menzalimi makhluk. Itu adalah hutang yang perlu dibayar oleh manusia sebelum meninggal dunia. Menzalimi makhluk merupakan perkara yang dibenci oleh Allah dan terdapat hukuman berat ke atasnya. Nabi saw pernah berkata, “Takutlah kamu kepada kezaliman kerana kezaliman ialah kegelapan pada hari kiamat kelak.”
Kezaliman yang ketiga ini adalah yang paling banyak berlaku dan paling banyak dosa serta mempunyai akibat yang paling buruk. Seseorang tidak boleh lari daripadanya dan tidak dapat dihindari dari bahaya dan dosanya dengan sekadar berhenti dan menyesali kezaliman yang dia lakukan. Dia harus meminta keikhlasan orang yang dia zalimi dan wajib segera mengembalikan haknya.
Menangani Pelaku Kezaliman
Terdapat dua perkara yang boleh kita lakukan untuk menangani orang zalim. Pertama, jika kita dizalimi, balas dengan kezaliman yang sama, tetapi tidak boleh lebih atau melampaui batas. Firman Allah SWT, “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal. Akan tetapi, barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat), pahalanya dari Allah. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang zalim.” [TMQ Asy-Syura (42): 40]
Namun, adakah boleh membalas pelaku zalim dengan mendoakannya? Jawapannya, boleh. Sa’ad bin Abi Waqqash pernah berdoa pada Allah ketika dia dizalimi. Dalam doanya, dia memohon kepada Allah agar orang yang menzaliminya mendapat umur panjang, miskin selamanya, dan ditimpa fitnah sebelum dia mati. Allah pun mengabulkan doanya.
Lalu, bagaimana jika yang dizalimi adalah seorang ulama fakih dan warak? Jika dia seorang ulama yang dizalimi, lalu berdoa kepada Allah untuk membalas pelakunya, ini benar-benar perkara besar yang Allah akan timpakan kepada orang yang menzaliminya.
Terdapat kisah Said bin Zubair, seorang ulama tegas yang melawan Hajaz bin Yusuf. Sebelum beliau wafat (Hajaz memenggal kepalanya), dia berdoa kepada Allah, “Semoga saya adalah orang terakhir yang kepalanya dipenggal oleh Hajaz bin Yusuf.” Allah pun mengabulkan doanya. Setelah membunuh Said bin Zubair, Hajaz sering berteriak ketakutan sepanjang hidupnya.
Oleh itu, bimbanglah jika seseorang yang dizalimi menitipkan doa kepada Allah untuk membalas kezaliman tersebut. Janganlah mudah mencaci dan mencemarkan kehormatan orang yang beriman, sungguh balasan Allah adalah suatu yang pasti.
Kedua, memaafkan orang yang dizalimi. Ada tiga amalan ketika Mizan Allah tidak mampu menampung amalan tersebut kerana berat dan besar pahalanya iaitu pahala puasa, sabar, dan memaafkan orang yang menzalimi kita. Tidak rugi ketika seorang muslim memaafkan orang yang menzaliminya kerana termasuk amalan yang paling berat dan besar pahalanya di hadapan Allah SWT.
Demikianlah, semoga kita mampu mengendalikan lisan dan perbuatan agar tidak menzalimi orang lain. Sementara itu, bagi penguasa di setiap negara umat Islam yang sehingga hari ini masih terus melakukan kezaliman kepada ulama, semoga mereka segera bertaubat dan menghentikannya. Hal ini kerana kezalimannya merupakan hutang yang mesti dia bayar sebelum mati kelak. Doa-doa orang yang dizalimi mustajab, apalagi ulama yang dizalimi. Wallahualam. [MNews/Rndy]
Artikel dari: https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2029189113925560/