Jika kita lihat era peradaban Islam, tradisi keilmuan berkembang dengan begitu pesat, termasuk dari segi keilmuan para ulama. Semangat menuntut ilmu, mencatat, dan mengamalkannya banyak memberi manfaat kepada manusia yang menembusi sempadan sehingga kini.
Tersebutlah seorang alim bernama Abul Qasim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub bin Muthir Al-Lakhmi Asy-Syami At-Tabarani [Adz-Dzahabi: As-Siyar, 16/119], atau yang lebih dikenal sebagai Imam At-Tabarani, dinisbahkan pada daerah Tabariyyah. Beliau merupakan pemimpin dalam ilmu hadis dan pakar dalam bidang tafsir. Beliau juga seorang imam, hafiz, dan perawi yang terpercaya.
Beliau lahir pada 260 H/873 M [Ibnu Khallikan: Wafayat al-A’yan, 2/407] di sebuah kota bernama Acre [di wilayah Israel sekarang] di wilayah Syam. Usianya cukup panjang, hampir 100 tahun [Ibnu Khallikan: Wafayat al-A’yan, 2/407]. Bahkan, ada yang menyebut mencapai 110 tahun.
Ribuan Guru
Imam At-Tabarani melakukan perjalanan mencari hadis sejak usianya 13 tahun, tepatnya pada 273 H [Adil Nuwaihidh: Mu’jam al-Mufassirin, 1/214; Ash-Shufdi: Al-Wafi bil Wafayat, 15/213] dan beliau menempuh selama 33 tahun. Beliau mula menuntut ilmu dari negerinya, Syam, menuju Baghdad, Kufah, Bashrah, dan Isfahan [Ibnu Abdul Hadi: Thabaqat Ulama al-Hadis, 3/107]. Kemudian menuju Hijaz, Yaman, Mesir, negeri-negeri di Jazirah Arab dan sebagainya.
Perjalanan ilmiah ini membuatnya banyak mendengar dan belajar dari para guru dan ulama. Disebutkan hingga mencapai seribu orang guru [Ibnu Khallikan: Wafayat al-A’yan, 2/407], seperti Abu Zur’ah ad-Dimasyqi an-Nasai. Imam At-Tabarani pernah ditanya tentang begitu banyak hadis yang diriwayatkannya, lalu beliau berkata, “Dulu aku tidur di atas al-Bawari (tikar yang terbuat dari anyaman rumput) selama 30 tahun.” [Ibnu Abdul Hadi: Thabaqat Ulama Al-Hadis, 3/108].
Apa yang dilakukan oleh Imam At-Tabarani menuai pujian dari para ulama. Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata tentang Imam At-Tabarani, “Dia seorang hafiz yang masyhur. Seorang [perawi] musnad dunia.” [Az-Zahabi: Tarikhul Islam, 8/143]. Beliau juga berkata, “At-Tabarani ibarat ahli penunggang kuda dalam permasalahan hadis. Bersamaan dengan kejujuran dan amanahnya.” [Az-Zahabi: Tadzkiratul Huffazh, 3/85].
Di kesempatan lain, Imam Az-Zahabi berkata, “beliau merupakan imam, hafiz, pengembara dalam ilmu, dan seorang ahli hadis Islam. Hadis-hadisnya sentiasa diharapkan, bernilai sedekah dan dicintai.” [Az-Zahabi: As-Siyar, 16/119].
Ibnul Jauzi berkata, “Imam At-Tabarani termasuk salah seorang tokoh hafiz. Memiliki karya-karya yang bagus.” [Ibnul Jauzi: Al-Hatstsu ‘ala Hifzhil Ilm wa Dzikru Kibaril Huffazh, Hal: 68]. Ibnu Uqdah juga berucap, “Aku tidak mengetahui bahawa terdapat orang yang lebih mengetahui hadis melebihi Imam At-Tabarani. Dan juga tidak ada yang lebih hafal sanad melebihi dirinya.” [Ibnu Qathlubagha: Ats-Tsiqat min man lam Yaqo’ fi Kutubis Sittah. 5/90].
Bahkan, seorang menteri bernama Ibnu al-Amid berkata, “Aku tidak mengetahui di dunia ini ada yang lebih manis dan lebih lazat berbanding kekuasaan dan jawatan menteri yang aku jawat sekarang hingga akhirnya aku melihat pengajian Sulaiman bin Ahmad At-Tabarani dan Abu Bakr Al-Ju’abi. Imam At-Tabarani mengalahkan Al-Ju’abi dalam banyaknya hafazan. Sementara Al-Ju’abi mengalahkan Imam At-Tabarani dalam hal kecerdasannya dan kepintaran.”
Kemudian terjadi dialog antara mereka hingga tidak diketahui mana yang lebih unggul di antara keduanya. Al-Ju’abi mengatakan, ‘Aku meriwayatkan hadis yang tidak ada orang yang meriwayatkannya di dunia ini kecuali aku’. Imam At-Thabrani membalas, ‘Cuba tunjukkan’. Al-Ju’abi mengatakan, ‘Abu Khalifah telah menyampaikan kepadaku. Sulaiman bin Ayyub telah menyampaikan kepadaku…’ Kemudian dia sampaikan isi hadisnya. Imam At-Tabarani mengatakan, ‘Akulah Sulaiman bin Ayyub. Dan aku mendengar hadis itu dari Abu Khalifah’. Al-Ju’abi pun merasa malu. Imam At-Tabarani mengunggulinya.” Ibnu Al-Amid melanjutkan, “Aku berharap kalaulah kementerian dan jawatan ini tidak diberikan padaku. Dan aku berkeinginan menjadi At-Tabarani. Pastilah aku bahagia sebagaimana bahagianya At-Tabarani kerana hadis.” [Ibnu Manzhur: Mukhtashor Tarikh Dimasyqi, 10/104].
Abu Bakar Muhammad bin Ahmad bin Abdurrahman berkata, “Imam At-Tabarani telah dikenal walaupun tidak pernah menyebut kebaikan dan sumbangannya. Beliau menyampaikan hadis di Isfahan selama 60 tahun. Mereka yang mendengar darinya adalah seorang bapa, kemudian nanti anaknya, kemudian nanti cucunya. Bahkan, sampai ke cicit mereka. Beliau ialah seorang yang luas ilmunya dan banyak karya tulisannya. Di akhir usianya beliau menjadi buta.” [Ibnu Qathlubagha: Ats-Tsiqat min man lam Yaqo’ fi Kutubis Sittah. 5/91].
Karya Sepanjang Masa
Imam At-Tabarani menghasilkan banyak karya ilmiah berbentuk buku-buku yang bagus dan bermanfaat. Yang paling terkenal dari karya-karyanya ialah mu’jamnya. Baik Mu’jam Al-Kabir, Mu’jam Al-Awsath, dan Mu’jam Ash-Shaghir [Ibnu al-Mustafi: Tarikh Irbil, 2/53]. Dalam Mu’jam Al-Awsath-nya beliau mengatakan, “Buku ini ialah ruhku.” Ini kerana dia begitu keletihan dalam menyelesaikannya.
Karyanya yang lain ialah pembahasan tentang Kitab Ad-Du’a, Kitab Isyratin Nisa, Kitab Al-Manasik, Kitab Al-Awail, Kitab As-Sunnah, Kitab An-Nawadir, Musnad Abu Hurairah, Kitab At-Tafsir, Kitab Dala-il An-Nubuwah, Musnad Syu’bah, Musnad Sufyan, Kitab Hadis Asy-Syamiyyin, dan banyak lagi [Az-Zahabi: Tarikh al-Islam, 8/144).
Karya-karya luar biasa ini dapat terlihat dari Mu’jamul Kabir. Ia merupakan kitab hadis yang terdiri dari 12 jilid berbentuk ensiklopedia. Ia tidak hanya mengandungi hadis Rasulullah SAW, tetapi juga mengandungi beberapa informasi sejarah. Secara keseluruhan kitab ini mengandungi 60,000 hadis. Kerananya, Ibnu Dihyah mengatakan bahawa Mu’jamul Kabir ini merupakan karya ensiklopedia hadis terbesar di dunia.
Kemudian Mu’jamul Ausath yang terdiri dari 2 jilid besar, mengandungi 30,000 hadis, baik yang berkualiti sahih, mahupun yang tidak. Ianya disusun berdasarkan nama-nama guru Imam At-Tabarani yang hampir mencapai 2000 orang.
Seterusnya kitab Mu’jamush Shaghir yang disusun berdasarkan nama guru-guru Imam At-Tabarani. Untuk setiap nama guru, hadis yang dicantumkan hanya sebuah. Oleh kerana itu, dibandingkan dua Mu’jam sebelumnya, Mu’jamush Shaghir ini merupakan Mu’jam yang sangat singkat dan ringkas.
Begitulah para ulama yang sentiasa berlumba dalam kebaikan. Peluh dan lelahnya telah menghasilkan karya bermanfaat serta menginspirasi dari pelbagai generasi untuk semakin mencintai agama ini. Meninggalkan tinta emas yang tidak lekang oleh waktu dan menjadi amal jariah yang terus mengalir. Wallahu’alam.