Jika Allah mencintai seorang hamba, Allah akan menjadikan kematiannya husnul khatimah. Imam Ahmad pernah berkata, “Jika Allah redha pada manusia, Allah tidak akan memberinya harta kerana kecintaan Allah tidak ditunjukkan pada harta. Allah akan memberikan ‘pemanis’ di akhir kehidupannya. Para sahabat bertanya, “Apa yang disebut ‘pemanis’ itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, ‘Jika ada orang yang Allah cintai, ketika hampir ajalnya, Allah akan menyibukkannya dengan ketaatan kepada-Nya hingga ajalnya tiba.’
Ketika akhir hidupnya dia mampu mengucapakan kalimah la ilaha illallah. Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada akhirnya.” (HR Bukhari, no. 6607). Az-Zarqani dalam Syarh Al-Muwatha’ menyatakan amalan terakhir manusia itulah yang menjadi penentu dan atas amalan itu dia akan dibalas oleh Allah SWT. Sesiapa yang melakukan keburukan kemudian beralih kepada kebaikan, dia dinilai sebagai orang yang bertaubat. Sebaliknya, sesiapa yang berpindah dari iman menjadi kufur maka dia dianggap murtad.
Mengucapkan kalimah la ilaha ilallah di akhir hidup kita merupakan anugerah besar dari Allah SWT. Ketika dia mampu mengucapkannya, Allah akan melapangkan kuburnya dan mengembalikan tempat kembalinya pada sesuatu yang diredhai Allah iaitu syurga.
Allah SWT berfirman, “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (dalam kehidupan) di dunia dan di akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.” [TMQ Ibrahim (14): 27].
Dari Anas bin Malik dia berkata, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya ketika seorang hamba diletakkan di dalam kuburnya dan sahabat-sahabatnya telah meninggalkannya sesungguhnya dia dapat mendengar bunyi tapak kaki mereka.” Beliau bersabda, “Maka dua malaikat datang kepadanya, duduk dan bertanya kepadanya, ‘Apa yang dahulu kamu katakan mengenai orang ini?’ Beliau bersabda, “Adapun seorang mukmin dia akan menjawab, ‘Aku bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.’ Beliau bersabda, “Maka dikatakan kepadanya, ‘Lihatlah tempatmu di neraka, sesungguhnya Allah telah menggantikan tempat kamu di dalam syurga.” Rasulullah saw bersabda, “Maka dia dapat melihat kedua-duanya.” (HR Muslim)
Qatadah berkata, “Dan disebutkan kepada kita bahawa kuburnya diluaskan menjadi tujuh puluh hasta dan dipenuhi oleh hijau-hijauan hingga hari mereka dibangkitkan.” (HR Bukhari)
Menurut ulama, iman itu terbahagi kepada dua. Pertama, iman yang didustakan oleh Allah SWT. Iman seperti ini tidak akan memberikan keteguhan hati dan lisan seorang hamba di akhir kehidupannya. Kedua, iman yang diterima oleh Allah SWT. Allah akan menjadikannya mampu mengucapkan kalimah la ilaha ilallah di akhir hidupnya.
Adalah penting bagi kita untuk memastikan iman kita, apakah diterima dan dibenarkan oleh Allah SWT. Kita seharusnya menilai semula proses keimanan kita. Pastikan juga bahawa keimanan kita merupakan iman yang kukuh yang tidak boleh digoyahkan oleh kemilau dunia. Tidak menggadaikan keimanan dengan harta dan takhta. Kerana tidak jarang kita temui dalam sistem sekular kapitalistik, begitu mudah seseorang mempertaruhkan keimanan mereka demi harta dan takhta.
Artikel dari: https://www.facebook.com/812692572241893/posts/2031436207034184/