Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Akhlak dalam bahasa Arab berasal dari lafaz khalq yang bermaksud tabiat dan ciri khas. Menurut istilah, akhlak adalah sifat yang diperintahkan oleh Allah kepada seorang muslim agar dijadikan sebagai sifatnya ketika melakukan perbuatan. Kerana itu, sifat akhlak tersebut terlihat pada diri seorang muslim ketika melakukan aktiviti tertentu, contohnya khusyuk ketika beribadah dan jujur ketika bermuamalah. Sifat khusyuk, contohnya adalah sifat akhlak yang terlihat ketika seseorang mengerjakan solat iaitu ketika orang yang mengerjakan solat tersebut melakukannya dengan sempurna, dilihat dari aspek gerakan lahir dan batin orang yang melakukannya, disertai dengan penghayatan terhadap makna lafaz dan pemikiran yang terkandung dalam bacaan-bacaannya. Abdullah bin Zubair, ketika hendak mengerjakan solat, beliau akan meninggalkan segala perkara yang boleh merosakkannya fokusnya. Jika sedang rukuk dan sujud, beliau mengerjakannya dalam masa yang lama sehinggakan burung-burung bertenggek di punggung dan lehernya.
Bersikap lemah-lembut ketika berdiskusi dengan orang lain seperti yang dilakukan oleh pengemban dakwah merupakan sifat akhlak. Allah SWT menceritakan sifat Rasulullah SAW seraya menyatakan, “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” [TMQ Ali Imraan (3): 159]
Walaupun pengemban dakwah tersebut bersikap lemah lembut dalam berdiskusi dengan orang, tetapi dia tetap perlu tegas dan berani dalam meluruskan kesalahan orang atau pemimpin yang zalim sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW, “Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdi al-Muthalib serta orang yang mendatangi penguasa yang zalim lalu memerintahkannya (kepada kebaikan) dan mencegahnya (dari keburukan), kemudian dia (penguasa tersebut) membunuhnya.” (HR Al-Hakim dalam al-Mustadrak dari Jabir).
Sabar dan terus-menerus bersabar dalam menghadapi penyeksaan dan perlawanan musuh juga merupakan sifat akhlak seorang Muslim ketika mengemban dakwah. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” [TMQ Ali Imraan (3): 200]
Mengutamakan orang lain dalam perkara kebaikan berbanding dirinya sendiri sepertimana yang dicontohkan oleh Ali bin Abi Thalib ketika beliau sanggup mengorbankan dirinya untuk menggantikan tempat tidur Rasulullah yang sedang terancam bunuh oleh orang-orang kafir. Begitu juga dengan Sahabat Rasulullah yang lain antaranya Ikrimah bin Abu Jahal, Suhail bin Amru, Al-Haris bin Hisyam dan sejumlah Bani Mughirah yang menemui ajalnya bersama-sama saat Perang Yarmuk. di antara mereka ada yang mempunyai air, tetapi ketika melihat yang lain lebih memerlukan, mereka memberikan air tersebut kepada yang lebih memerlukan sehingga mereka bergilir-gilir meminumnya dan setelah itu semuanya meninggal dunia.
Begitu juga dengan Sahabat, Imarah bin Ziyad bin Sakan dan lima orang Ansar. Mereka sanggup mengorbankan diri mereka menjadi perisai hidup bagi Rasulullah SAW ketika tubuh Baginda berlumuran darah dan luka akibat panahan orang Quraisy dalam Perang Uhud. Seorang demi seorang gugur sebagai syuhada demi melindungi Nabi yang agung itu.
Bersikap adil juga merupakan akhlak seorang muslim ketika menjadi pemimpin. Allah SWT berfirman, “…dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…” [TMQ An-Nisaa’ (4): 58].
Di samping contoh-contoh sifat di atas, terdapat juga banyak sifat lain yang sepatutnya menjadi sifat seorang muslim. Antara lain adalah Iffah (menjaga kesucian diri), sakha’ (dermawan), tawadhu’ dan banyak lagi.
Islam juga ada menjelaskan tentang sifat-sifat tercela yang dilarang oleh Islam untuk dijadikan sebagai sifat perbuatan seorang muslim. Sebagai contoh, sifat dusta, dengki, zalim, menipu, riak, malas, pengecut, ghibah dan banyak lagi. Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa akhlak yang baik adalah sifat yang wajib dimiliki orang setiap muslim ketika melakukan perbuatan. Ianya dilakukan bukan kerana kebendaan sebagai contoh, mengharapkan keuntungan atau balasan atas kebaikannya atau kerana pertimbangan emosi (ma’nawiyah) contohnya mengharapkan pujian orang lain. Tetapi, sifat-sifat tersebut direalisasikan dalam setiap perbuatan kerana ianya merupakan perintah dan juga larangan dari Allah SWT. Sebabnya, merealisasikan sifat akhlak ini pada dasarnya adalah melaksanakan hukum Allah SWT baik yang wajib ataupun yang sunnah untuk dilaksanakan dan terkadang ianya adalah bersifat meninggalkan apa yang haram atau makruh dikerjakan.
Untuk meningkatkan kualiti keperibadian Islam seorang muslim sehingga menjadi keperibadian yang kuat dan tinggi yang tidak hanya melaksanakan yang wajib dan sunnah, tetapi juga meninggalkan yang haram dan makruh atau bukan merupakan keperibadian Islam yang lemah yang hanya melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram dengan mengabaikan perkara yang sunnah atau makruh. Sebagai seorang muslim, dia wajib memperhatikan dan menjaga akhlak dalam setiap perbuatannya sehingga pada akhirnya dia menjadi seorang muslim yang mempunyai keperibadian Islam yang unik, kuat dan agung. Kerana itulah, akhlak yang agung tidak boleh dipisahkan dari ciri keperibadian Islam yang kuat dan luhur.