Salah satu perkara yang tidak ternilai dan paling nikmat saat menuntut ilmu adalah dapat menatap muka secara langsung dengan guru yang mengajar (muwajaha). Sebagaimana kata-kata para ulama, “Ilmu agama itu didatangi, bukan ilmu yang mendatangi.”
Di dalam keadaan pandemik, menghadiri majlis ilmu semakin mudah melalui jaringan internet. Tetapi, jika tiada halangan dan berkesempatan untuk menghadiri majlis ilmu, perkara ini tentu saja jauh lebih baik dan utama. Imam Malik merupakan salah seorang yang mengamalkan kalimat, “Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi.”
Para Khalifah pada masa Umaiyah dan Abbasiyah menghantar anak-anak mereka untuk belajar dan mendatangi Imam Malik kerana Imam Malik menolak untuk datang ke istana. Aktiviti mendatangi para Khalifah hanya untuk menasihati agar berbuat baik dan menghindari perbuatan zalim sahaja.
Imam Malik juga mengatakan, “Murid itu laksana timba dan ilmu itu seperti sumur. Jadi timbalah yang perlu mendatangi sumur.” Beliau juga berkata, “Setiap muslim yang diberikan ilmu dan fikih oleh Allah berhak untuk menemui orang yang memiliki kekuasaan untuk memerintahkannya berbuat baik, melarangnya berbuat mungkar dan menasihatinya.”
Kita semestinya sedar bahawa kita memerlukan ilmu-ilmu yang ada pada para guru dan juga ulama. Hanya saja, ketika mereka telah memberikan waktunya untuk menghadiri majlis ilmu, ramai dari kita justeru tidak menghadirinya dengan berbagai alasan. Sangat banyak majlis-majlis ilmu yang sepi tanpa kehadiran orang yang ramai.
Sudah kurang pedulikah sebahagian umat Islam terhadap ilmu agama? Atau terlalu banyak waktu yang perlu diberikan untuk mencari dunia? Tidak sedikit dari mereka perlu bekerja sesak pagi sehingga bertemu pagi lagi untuk memenuhi segala keperluan dan keinginan hidup. Sementara ketika ditimpakan ujian kehidupan, dia menjadi manusia yang rapuh kerana tidak memiliki ilmu agama untuk menyelesaikannya.
Sepatutnya menjadi perhatian kita bersama untuk menambah ilmu agama. Bagaimana mungkin hendak menuju syurga tetapi tidak tahu beramal seperti penduduk syurga? Bagaimana mungkin boleh dikatakan bertakwa tapi tidak tahu syariat-Nya? Menuntut ilmu juga memiliki adab. Berikut merupakan beberapa hal yang tidak boleh kita lakukan ketika menuntut ilmu.
Pertama, terlambat datang dan tidak meminta izin terlebih dahulu tetapi jika gurunya yang terlambat, terus dihubungi dan ditanyakan, “Ustaz, kajiannya jadi atau tidak?”. Perkara seperti ini dikatakan kurang adab terhadap guru.
Kedua, tidak mengabadkan kepada guru atau meminta izin jika kita dapat menghadiri majlis ilmu.
Ketiga, sering duduk pada posisi di belakang dan sambil menyandar (tanpa uzur).
Keempat, ketika kajian berlangsung, sering melihat telefon bimbit atau gadget lain tanpa ada keperluan.
Kelima, banyak bergurau, ketawa sehingga menyebabkan kebisingan dalam majlis tersebut.
Keenam, mencari ilmu hanya untuk mendapatkan kedudukan tinggi dakam masyarakat tanpa memperhatikan atau mencontohi adab dan akhlak gurunya. Ahmad bin Sinan pernah menjelaskan mengenai majlis Abdurrahman bin Mahdi, guru Imam Ahmad, ia berkata, “Tidak ada seorang pun yang berbicara di majlis Abdurrahman bin Mahdi, tidak ada seorang pun yang berdiri, tidak ada seorang pun yang mengasah/meruncingkan pena, tidak ada yang tersenyum.” (Siyaru A’lamin Nubala’, 17/116).
Bahkan, Imam Syafi’e membuka halaman kertas kitabnya secara perlahan-lahan agar tidak terdengar suaranya kerana khuatir akan mengganggu gurunya yang sedang mengajarkan ilmu. Imam As Syafi’e mengatakan, “Aku membuka halaman kertas di depan Imam Malik dengan sangat berhati-hati, sehingga beliau tidak mendengar jatuhnya kertas itu.” (Al Jami’ As Shagir bi As Syarh Al Munawi, 3/253).
Kita juga sepatutnya melakukan hal yang sama seperti yang dicontohkan oleh para ulama dalam bab adab menuntut ilmu. Mendatangi guru, mendatangi sumber ilmu. Jika guru bersedia mendatangi kita dalam majlis ilmu, berilah hormat kepada mereka selama majlis berlangsung dengan beraklak dan beradab baik.
Semoga kita mendapatkan keberkatan ilmu dari pengajaran guru-guru kita dengan sentiasa menjaga adab-adab kita terhadap mereka. Aamin.
Sumber : https://www.facebook.com/812692572241893/posts/2046427575535047/