Setiap muslim yang beriman pasti bercita-cita ingin menjadi muslim yang berjaya meraih ketakwaan hakiki. Bagi meraih kejayaan hakiki, perlukan persiapan dan perancangan dari awal agar misi dan visi dapat dicapai. Berikut antara tips mencapai kejayaan dalam Ramadhan:
1. Seorang muslim itu perlu sedar bahawa dirinya adalah manusia yang tidak terlepas dari dosa. Maka, dia perlu menanam azam yang tinggi bagi meraih segala kebaikan yang ada dalam bulan Ramadhan
2. Merancang aktiviti sepanjang Ramadhan dan mengadakan kalender ‘checklist’ sepanjang Ramadhan.
3. Merancang ‘backup plan’ sekiranya gagal melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Contohnya, terlepas menunaikan solat tahajud, digantikan dengan tadarrus atau tadabbur al-Quran pada siang harinya.
4. Poin ke-4 ini sering dilalaikan oleh kebanyakan, iaitu mempelajari Islam serta mendakwahi manusia dengan Islam kerana ianya merupakan satu kewajipan yang tidak seharusnya diabaikan.
Rasulullah SAW merupakan suri teladan kita yang tidak pernah lekang, jemu atau putus asa dengan dakwah. Hidup baginda sentiasa dihiasi dengan dakwah, baik semasa di Madinah (setelah berdirinya Negara Islam), apatah lagi semasa di Mekah. Tatkala di Mekah, Rasulullah SAW menjalankan kewajipan dakwah dengan sungguh-sungguh, siang dan malam, dengan pelbagai ujian dan cabaran yang melanda. Bahkan, berapa ramai di kalangan para sahabat yang diseksa dan syahid semata-mata kerana berdakwah (menyeru) manusia kepada Islam. Walau sehebat mana sekali pun ujian yang melanda, Rasulullah SAW dan para sahabat terus berdakwah sehinggalah mereka berjaya menegakkan Daulah Islam di Madinah yang dengan tertegaknya Daulah Islam-lah, barulah hukum Allah SWT dapat diterapkan secara kaffah dan Islam seterusnya zahir berbanding agama-agama lain dan rahmat Allah tersebar ke seluruh alam.
Inilah beberapa petua kejayaan untuk mendapatkan semaksimum mungkin ganjaran daripada Allah SWT di bulan Ramadhan ini, dan tidak sayugia bagi setiap Muslim melepaskan atau mensia-siakan peluang keemasan ini. Akhir sekali, setiap Muslim hendaklah terus istiqamah melakukan segala amal soleh yang dilakukannya sepanjang Ramadhan, di bulan-bulan lain setelah Ramadhan, sehinggalah datang Ramadhan berikutnya. Dengan ini barulah kejayaan benar-benar menjadi miliknya.
Oleh yang demikian, mari kita jadikan Ramadhan kali ini sebagai madrasah pembentukan takwa, seterusnya melanjutkan momentum ‘ketakwaan’ dalam setiap diri kita di bulan-bulan mendatang dengan meninggalkan segala bentuk keharaman dan maksiat kepada Allah seterusnya melaksanakan segala perintah Allah swt dalam setiap sendi kehidupan kita.
Rujukan : mykhilafah