Kata-kata yang mesti dijauhi seperti mencela, menipu, mengumpat, dan menghasut. Seseorang yang berpuasa juga hendaklah menahan dirinya daripada perkara-perkara syahwat seperti melihat wanita dan mendengar lagu-lagu. Al-Bukhari (1804) meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah saw. bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan dan beramal dengannya maka Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya.” (HR al-Bukhari, no. Hadis 1770, 5597)
Huraian Hadis:
Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah SWT ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.1
Puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa.1
Perbuatan seperti mencela, menipu, mengumpat, menghasut dan seumpamanya merupakan perkara yang sememangnya diharamkan. Namun, perkara baru dalam masalah ini bagi orang yang berpuasa ialah (selain ia adalah dosa) ia akan menghapuskan pahala puasa walaupun hukum puasanya adalah sah dan dikira telah melaksanakan kewajipan. Oleh itu, perkara-perkara ini dianggap sebagai adab dan sunat-sunat puasa. 2
Sumber :
Kitab Riyadhus Salihin
Kitab Feqah Mazhab Syafie (Jilid 2)