Imam Syafie rahimahulLaah adalah ulama besar. Mujtahid mutlak. Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah terkemuka. Cukuplah kebesaran sosok Imam Syafie terwakili oleh komentar Imam Ahmad bin Hanbal, salah seorang murid terkemuka beliau. Kata Imam Ahmad, “Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti keselamatan bagi manusia.” (Adz-Dzahabi, Târikh al-Islâm, XIV/312).
Kebesaran Imam Syafie bukan sahaja kerana keilmuannya, tetapi juga kerana keperibadiannya yang luhur. Tentang ini, Thasy Kubri bertutur di dalam Kitab Miftâh as-Sa’âdah, “Para ulama ahli fikih, ushul, hadis, bahasa, nahu dan disiplin ilmu lainnya sepakat bahawa Imam Syafie memiliki sifat amanah (dipercaya), ‘adalah (memiliki kredibiliti dalam agama dan moral), zuhud, warak, takwa, dermawan, perilakunya baik dan darjatnya tinggi.”
Imam Syafie juga seorang ulama ahli ibadah. Beliau biasa membahagi waktu malamnya menjadi tiga: sepertiga untuk ilmu dan menulis; sepertiga untuk solat malam; dan sepertiganya untuk istirehat.
Selain menunaikan solat malam setiap malam, beliau juga sangat rajin membaca al-Quran. Beliau biasa mengkhatamkan bacaan al-Quran setiap hari. Ertinya, dalam sebulan beliau boleh mencapai 29-30 kali khatam al-Quran. Apatah lagi selama Ramadhan. Sebagaimana disebutkan oleh muridnya, Rabi’ bin Sulaiman, “Imam Syafie biasa mengkhatamkan al-Quran selama Ramadhan sebanyak kira-kira 60 kali (ertinya sehari rata-rata 2 kali khatam).” Menurut Ibnu Abi Hatim, khataman al-Quran tersebut biasa sering beliau lakukan di dalam solat-solat beliau (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubalaa’, 10/36).
Meski dikenal keilmuan, ketakwaan, kewarakan dan kezuhudannya, juga ibadah dan kedermawanannya, Imam Syafie tetap merasa rendah dan hina di hadapan Allah SWT. Kerana itu beliau sering merasa khuatir akan nasibnya di akhirat kelak. Kerana itu, beliau juga sentiasa banyak bertaubat dan memohon ampunan kepada Allah SWT (Lihat: Ibnu al-Jauzi, Shifât ash-Shafwah, III/146).
Semoga kita juga dapat meneladani Imam Syafie rahimahullah. Aamiin.
Hikmah Ramadhan:
قلى إبن رجب:
*من لم يربح في هذا الشهر (رمضان) ففي أي وقت يربح؟*
(إبن رجب، لطائف المعارف، 281)
Ibnu Rajab rahimahulLaah berkata: “Siapa saja yang tidak berusaha keras meraih keberuntungan (dengan meraih sebanyak-banyaknya pahala, pen.) pada bulan (Ramadhan) ini, lalu bila lagi dia ada waktu (kesempatan) untuk mendapatkan keberuntungan?
(Ibnu Rajab, Lathaa’if Al-Ma’arif, hlm. 281).[]
– Arief B. Iskandar